Ahli Parlimen persoal keputusan Putrajaya terus biayai projek kapal tergendala
2023.06.12
Kuala Lumpur
Seorang penggubal undang-undang Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim pada Isnin mempersoalkan keputusan Kementerian Pertahanan negara itu membuat pembayaran berlebihan kepada syarikat yang telah dianugerahkan kontrak membina kapal tempur persisir bagi Tentera Laut Diraja Malaysia, walaupun projek tersebut lama tergendala dan masih disiasat atas dakwaan penyelewengan.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar meminta kerajaan membuat justifikasi ke atas kenaikan kos RM11.2 bilion (AS$476 juta) bagi kontrak pembinaan kapal tempur yang masih tertangguh itu dengan jumlah pembinaan kapal dikurangkan dari enam kepada lima buah.
“Pada peringkat awal [projek bernilai] RM9 billion, dinaikkan kepada RM11 billion, kini RM11.2 billion, serta pengurangan spesifikasi dari enam kapal kepada lima kapal. Adakah kita menunggu pembentangan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara), sebelum harga dinaikkan dan jumlah kapal dikurangkan…..Tidak! Ia bagaimanapun tetap dibuat oleh Kerajaan baharu.
“Anda tidak boleh menaikkan RM2.2 billion begitu sahaja, umumkan minggu lepas, kurangkan bilangan kapal dari enam kepada lima, jawab (penerangan) dalam hanya satu minit dan mengharapkan semua orang menerimanya dan bertolak ansur, itu tidak betul.
“Sebagai Ahli Parlimen saya akan bertanya, mengapa ada kenaikan yang begitu ketara, mengapa berlaku kenaikan, siapa yang putuskan angka-angka tersebut, adakah ia melibatkan tender terbuka, siapa pesaing kompetitif yang lain?
“Debat (di Parlimen) adalah jalan dua hala di mana kita dapat mencari kebenaran, bukannya jalan sehala,” persoal Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan tegas semasa sidang media di Parlimen pada Isnin.
Bekas Menteri Belia dan Sukan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang pertama pada 2018 lalu itu, turut membidas rakan-rakannya dari Angkatan Muda Keadilan (AMK), sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri.
Beliau mempersoalkan tindakan AMK yang disifatkannya “hanya membisu dan memekakkan telinga” berhubung isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) tersebut biarpun lantang bersuara menuntut siasatan sebelum Piihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Sebelum pilihan raya kata lain, dan selepas pilihan raya berkata lain pulak, tapi yang pelik dan ajaibnya, tiba-tiba hendak syorkan tindakan diambil ke atas saya kerana menyuarkan keresahan rakyat, iaitu keresahan sama yang mereka suarakan sebelum pilihan raya. ‘Let’s be fair on this matter (Marilah kita bersifat adil terhadap perkara ini).
“Ini adalah skrip sama yang digunakan oleh menteri pertahanan sebelum ini. Kita tidak menerimanya sebelum ini, jadi mengapa kita menerimanya sekarang? Tetapi bila kita ingin tahu perkara ini secara mendalam, kita lupakan dan diamkan, bisukan mulut, pekakkan telinga serta butakan mata,” ujur bekas menteri itu lagi.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, sayap PKR itu mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan ke atas Syed Saddiq dan parti MUDA kerana menyebarkan maklumat yang dikatakan kurang tepat dan separa benar kerana mendakwa Ahli Parlimen Muar itu mengkritik kerajaan secara tidak adil, walaupun menjadi sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.
AMK mendakwa Syed Saddiq cuba memberi gambaran seolah-olah Dewan Rakyat dan kerajaan telah secara tidak langsung mengelak dan melindungi siasatan LCS, sebaliknya Ahli Parlimen Muar itu menegaskan yang bahasa usul tergempar LCS perlu disegerakan kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai.
Syed Saddiq turut menjelaskan yang beliau menghormati teguran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, Khamis lalu yang mendakwa bekas menteri itu membuat andaian apabila mengkrtitik keputusan speaker menolak usul membincangan isu LCS.
Johari pada minggu lepas telah menolak usul tergempak Syed Saddiq untuk membahas isu ketirisan dalam projek LCS pada sesi sidang Parlimen kerana menurut Speaker Dewan Rakyat PAC belum mengeluarkan laporan mengenai perkembangan terbaru isu berkenaan.
Dalam pada itu Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin pada Isnin mendakwa MUDA cuba memesongkan maklumat kerana terdesak.
“Saya ingin menasihati Syed Saddiq agar tidak terlalu gopoh menunggang isu yang sedang diselesaikan. Kerajaan Perpaduan hari ini telah memberi komitmen penuh dalam menyelesaikan isu ini serta ruang untuk berbahas dibuka seluas-luasnya setelah PAC memberikan laporan penuh.
“Kita faham dalam keadaan MUDA yang terdesak kerana tidak ada isu populis lain untuk ditunggang sempena Pilihan Raya Negeri, MUDA perlu lebih matang dalam mengangkat suatu isu,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Thomas Fann, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyokong tindakan Syed Saddiq kerana tegas membangkitkan isu berkenaan biarpun ia memalukan kerajaan yang didokongnya.
“Setiap Ahli Parlimen diberikan kebebasan untuk bercakap berdasarkan isi hati mereka dan mendesak kerajaan bertanggungjawab. Ini tidak seharusnya dilihat sebagai tidak setia atau pengkhianatan. Penyokong kerajaan tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai pasukan sorak kepada kerajaan atau sekadar meluluskan sesuatu sewenang-wenangnya,” ujar beliau kepada BenarNews.
Kenaikan kos
Khamis lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dalam jawapannya di Parlimen berkata, antara punca kenaikan kos pembinaan kapal LCS adalah kerana tambahan 83 bulan untuk menyiapkan projek tersebut dan juga perubahan spesifikasi.
Disebabkan kelewatan berkenaan, beliau berkata tarikh kapal LCS pertama hanya akan disiapkan pada penghujung 2026.
Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tahun lalu, projek kapal perang pesisir yang sarat dengan pelbagai masalah urustadbir dan penyelewengan masih gagal disiapkan walaupun sebuah dengan kerajaan telah membelanjakan RM6 billion.
Menurut laporan itu lagi, audit forensik mendedahkan syarikat berkenaan, yang telah dianugerahkan kontrak secara rundingan terus, berkemungkinan mencatatkan kerugian RM890 jutat (AS$196 juta) dari dana yang diluluskan.
Ogos tahun lalu, bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Ahmad Ramli Mohd Nor yang juga mantan Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) didakwa di mahkamah atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan dana syarikat lebih RM21 juta berkaitan projek LCS itu.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri Anwar memaklumkan kepada Parlimen bahawa beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneruskan siasatan ke atas skandal pembinaan LCS “kerana pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi, memandangkan ia membabitkan skandal berskala besar dan ketirisan.”
Bagaimanapun, bulan lalu Kementerian Pertahanan Malaysia menganugerahkan kontrak baharu kepada syarikat yang sama.
Menteri Pertahanan Mohamad Hasan dilaporkan berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat BNS.
Ketika diminta mengulas langkah berkenaan, Anwar dilaporkan berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil alih syarikat itu untuk memastikan projek berkenaan dapat diselesaikan selepas membelanjakan RM6 bilion
Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.