Malaysia Mahu Hantar Pulang Rakyat Syria Yang Tinggal Hampir 7 Bulan di Terminal Lapangan Terbang
2018.10.02
Kuala Lumpur, Malaysia
Pihak berkuasa Malaysia merancang untuk mengekstradisi seorang warganegara Syria, yang tinggal selama tujuh bulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas enggan pulang ke negara asalnya kerana bimbang dipaksa menyertai pasukan tentera.
Hassan Al Kontar, 37, yang menghabiskan masa selama 209 hari di kawasan pelepasan lapangan terbang itu, ditahan polis Malaysia pada Isnin.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Mustafar Ali berkata, Hassan akan diserahkan kepada jabatannya selepas pihak polis selesai menjalankan siasatan terhadap lelaki Syria itu.
"Penumpang yang mempunyai pas masuk di kawasan pelepasan sepatutnya menaiki penerbangan mereka. Tetapi, lelaki ini tidak berbuat demikian, "kata Mustafar kepada pemberita di ibu pejabat Jabatan Imigresen pada Selasa.
"Jadi, dia berada di dalam zon larangan. Oleh itu, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan sewajarnya.
"Kami akan berhubung dengan Kedutaan Syria untuk memudahkan pengusiran lelaki itu ke negara asalnya," kata Mustafar.
Ketua Polis Daerah KLIA Zulkifli Adamshah memberitahu BeritaBenar bahawa Hassan kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan polis kerana didakwa melanggar Akta Imigresen setelah gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Sekiranya disabitkan kesalahan selepas didakwa di mahkamah, Hassan boleh dihukum penjara lima tahun, didenda RM10,000 (AS$2,418) dan maksimum enam sebatan.
Menyifatkan dirinya sebagai seorang pencinta keamanan, Hassan berkata, beliau bekerja di Emiriah Arab Bersatu sejak 2006 dan memutuskan untuk tinggal di sana secara haram selepas tercetusnya konflik Syria 2011 setelah Kedutaan Syria di sana enggan membaharui pasportnya.
Pada 2017, dia telah dihantar ke Malaysia di mana rakyat Syria menikmati kelonggaran memasuki negara itu tanpa visa, dan terus berada di negara tersebut walaupun selepas tamat tempoh kebenaran melancong selama tiga bulan.
Hassan berkata, beliau berada di klia2 sejak 7 Mac lalu selepas cuba menaiki penerbangan ke Ecuador, satu lagi negara yang boleh dimasukinya tanpa visa, tetapi ditolak oleh Turkish Airlines. Dia kemudian ke Kemboja tetapi dihalang masuk oleh pihak berkuasa di Phnom Penh.
Kumpulan tawarkan bantuan
Dalam video yang dimuat naik di laman Twitter pada 23 Mac, Hassan berkata, dia merasa "kesepian, dipinggirkan dan tidak diingini."
"Saya kehilangan semua wang saya, hampir AS$2,300 untuk pembelian tiket yang tidak boleh dikembalikan, oleh itu, saya berada di sini," kata Hassan sambil memberitahu bahawa kumpulan hak asasi manusia juga tidak membantunya.
"Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa pun. Saya hanya boleh menyalahkan diri kami sendiri, rakyat Syria,"katanya. "Inilah yang kami lakukan kepada diri sendiri, terus bersengketa dengan satu sama lain."
Kumpulan hak asasi di Malaysia mencabar dakwaan Hassan bahawa dia tidak mendapat pertolongan, sebaliknya memberitahu bahawa lelaki itu sengaja menolak usaha mereka dengan harapan memperoleh peluang yang lebih baik termasuk pergi ke Kanada.
Pada 10 April lalu, bekas wartawan British Columbia Laurie Cooper menawarkan bantuan kepada Hassan dengan memulakan usaha mengumpul sumbangan daripada orang ramai dan menulis surat kepada Menteri Imigresen Kanada untuk mempercepatkan permit pemastautin sementara di negara itu.
Lilianne Fan, pengasas Yayasan Geutanyoe memberitahu BeritaBenar bahawa agensinya memutuskan untuk menghentikan usaha bagi membantu Hassan setelah dia berkali-kali menolak bantuan daripada kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Terdapat banyak lagi kes pelarian yang kami rasa berhak menerima bantuan kami," kata Fan. Walaupun membuat kenyataan sedemikian, Fan menggesa kerajaan Malaysia supaya tidak mengusir Hassan ke Syria kerana ia bertentangan dengan prinsip yang tidak memaksa pelarian pergi ke negara di mana mereka berdepan tindakan penganiayaan.
Dalam catatan Twitter pada 1 Sept lalu, Hassan menafikan kenyataan kumpulan hak asasi berkenaan dengan berkata: "Saya tidak menolak sedikit pun tawaran daripada UNHCR seperti yang didakwa mereka.”