Kumpulan Pertama Pelarian Syria Tiba Di Malaysia
2015.12.09

Lapan individu dalam dua keluarga menjadi kumpulan pertama daripada 3,000 pelarian Syria yang tiba untuk mendapatkan perlindungan di Malaysia, susulan konflik peperangan di negara mereka.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada petang Rabu menerusi penerbangan Turkish Airlines dan disambut oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed.
Dua keluarga itu akan menyertai saudara mereka yang telah pun menetap di Malaysia sebelum ini, selepas permohonan mendapat perlindungan diluluskan oleh kerajaan Malaysia.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Nur Jazlan sebagai berkata, permohonan itu telah dibuat secara peribadi kepada kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas oleh dua anggota keluarga mereka iaitu Mohamed Ibrahim, 29, dan Ali Abdul Naser, 30, yang bekerja di negara itu sejak 2012.
"Untuk imigran yang memiliki pasport ini, kerajaan akan memberikan pas lawatan sementara sebagai perlindungan kepada mereka sehingga proses dokumentasi selanjutnya dilakukan," katanya seperti dilaporkan agensi itu.
Pada Oktober lalu, semasa berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangs Bersatu (PBB) di New York, Perdana Menteri Najib Razak berkata, Malaysia bersedia membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria untuk tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha meringankan krisis pelarian negara bergolak itu.
Najib berkata, negara Islam bertanggungjawab memastikan kesejahteraan rakyat Syria yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka dengan jumlah yang besar akibat perang dan mencari perlindungan di negara-negara Eropah.
'Bertemu PM'
Dalam pada itu, kesemua lapan rakyat Syria itu berpeluang bertemu dengan Najib dan Timbalannya Ahmad Zahid Hamid di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, venue berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2015, pada lewat petang Rabu.
Terdahulu, Nur Jazlan menegaskan kerajaan sentiasa berhati-hati dalam memperhalusi setiap permohonan pelarian Syria kerana mengambil kira faktor birokrasi dan aspek keselamatan.
Selain itu, kemampuan rakyat Syria yang telah berada Malaysia untuk menyediakan tempat tinggal dan segala perbelanjaan keluarga mereka sepanjang tempoh berada di negara itu, antara yang diberi keutamaan oleh kerajaan.
Mohamed, yang telah empat tahun menetap di Malaysia dan bekerja sebagai penggunting rambut di Bangsar, Kuala Lumpur berkata, beliau amat bersyukur kerana keluarganya dapat dibawa ke negara itu setelah kediaman mereka di Idlib musnah akibat peperangan.
Adiknya Hosam, 24, pula melahirkan kegembiraan kerana dapat mencari perlindungan di Malaysia selepas dia dan tiga lagi saudaranya terpaksa berkongsi sebuah bilik di dalam rumah mereka di Syria, yang musnah akibat perang saudara di negara itu.
"Saya amat bersyukur dan gembira kerana akhirnya selamat sampai di sini, " katanya