Badan Sukarela Sedia Bantu Kerajaan Uruskan Pelarian Syria
2015.12.10

Langkah kerajaan Malaysia membuka pintu kepada pelarian Syria mendapat sokongan badan sukarelawan dan organisasi bukan kerajaan (NGO), yang turut bersedia untuk membantu melancarkan perjalanan membawa masuk pelarian itu.
Mereka berpendapat langkah kerajaan menerima permohonan kemasukan pelarian itu ke Malaysia daripada NGO dapat melancarkan proses memberi perlindungan kepada 3,000 rakyat Syria, yang terpaksa mencari perlindungan di negara luar berikutan krisis perang di negara itu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed pada Rabu berkata, kerajaan bersedia untuk menimbang permohonan dari NGO dalam membantu menempatkan pelarian Syria di Malaysia.
Beliau berkata demikian semasa menerima kumpulan pertama pelarian Syria ke Malaysia, selain memaklumkan bahawa setakat ini, kerajaan telah menerima permohonan daripada rakyat Syria yang sedang bekerja di Malaysia.
Katanya, kelulusan itu diberikan oleh Pasukan Petugas Khas selepas mengambil kira kemampuan pemohon untuk menanggung ahli keluarga mereka di negara ini.
Konflik di Syria telah menyebabkan lebih empat juta rakyatnya meninggalkan negara itu, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius di negara jiran sehingga ke benua Eropah manakala 7.6 juta pula menjadi pelarian di negara sendiri.
Semasa mengulas mengenai cadangan Nur Jazlan, Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Kriminologi Prof Madya Dr P. Sundramoorthy memberitahu BeritaBenar pada Khamis bahawa adalah amat penting bagi pihak keselamatan di Malaysia diberi tanggungjawab untuk menapis dan meluluskan semua permohonan sebelum membawa masuk pelarian Syria.
"Susulan insiden serangan berdarah di Paris, faktor keselamatan adalah perkara utama dan perlu diambil kira, hanya pihak keselamatan yang mempunyai kepakaran dan akses untuk mendapatkan maklumat risikan antarabangsa dalam menapis elemen yang mencurigakan bagi memastikan fahaman ekstremis tidak menyusup masuk dari kalangan pelarian itu,” katanya.
Beliau berkata, peranan badan sukarelawan dalam membantu mengurangkan beban rakyat Syria di negara itu tidak boleh dinafikan kerana mereka juga mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk menguruskan penempatan pelarian Syria di Malaysia.
"NGO ini boleh membuat cadangan dari segi kumpulan pelarian yang sesuai untuk dibawa ke Malaysia tetapi kelulusan hanya boleh dibuat oleh agensi kerajaan berkaitan menerusi proses tapisan oleh pasukan keselamatan," ujar beliau.
‘Beri input’
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), satu daripada badan sukarelawan yang aktif dalam misi kemanusiaan di Syria turut menyambut baik cadangan itu sambil menyatakan kesediaannya memberi input kepada kerajaan.
Pengarah Strategik Mapim Ahmad Sani Araby berkata, kerjasama antara kerajaan dan NGO dapat membantu mengenal pasti kumpulan berisiko yang mahu mendapat perlindungan di negara ini, selain mengelak kemasukan elemen pengganas dan Syiah ke Malaysia.
Katanya, Mapim sedang membina sebuah kem pelarian di sempadan Syria-Turki yang dipanggil Malaysia Ummah City, dengan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk sekolah.
"Mapim boleh membantu golongan dewasa yang boleh bekerja dengan pelbagai program latihan dan apabila mereka bersedia untuk pulang ke Syria, mereka dapat membantu rakan senegara dan seterusnya membina semula negara mereka,” katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.
Menurut Ahmad Sani, konsep yang sama telah diterapkan dalam membantu rakyat Bosnia yang mendapat perlindungan di Malaysia ketika negara itu berhadapan dengan konflik peperangan.
“Mereka yang dibantu kini menjadi penggerak utama kepada proses pembangunan semula negara mereka berdasarkan kepada latihan dan pengalaman yang diperolehi sepanjang tinggal di Malaysia," katanya.
‘Kempen Musim Sejuk’
Dalam pada itu, Pengurus Besar Syria Care Malaysia (SCM) Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, SCM dalam usaha untuk memohon bagi membawa masuk anak yatim dan ibu tunggal yang sangat memerlukan bantuan dan perlindungan akibat kehilangan tempat pergantungan.
"Syria Care bersedia menyantuni mereka dan menyediakan prasarana asas, tempat tinggal serta pendidikan dengan bantuan kerajaan. Perincian sedang dijalankan bagi melaksanakan projek tersebut di Malaysia," katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.
Menurutnya, Syria Care sedang menjalankan Kempen Bantuan Musim Sejuk untuk menampung keperluan rakyat Syria yang kini berdepan dengan musim sejuk dan jika tidak dibantu, boleh menyebabkan banyak kehilangan nyawa.
"Kita sedang mengusahakan bantuan gas pemanas dan bantuan bekalan makanan untuk membolehkan mereka meneruskan kehidupan dalam menghadapi musim sejuk terutamanya di kawasan di mana SCM beroperasi,” kata Siti Sakinah kepada BeritaBenar pada Khamis.
Seramai 7.6 juta dari 23 juta penduduk Syria menjadi pelarian di bumi sendiri dan kebanyakan mereka tidak mempunyai tempat tinggal atau rumah yang sesuai bagi menghadapi musim sejuk.