Bekas Pengurusan Tabung Haji Beri Kenyataan Palsu Urusniaga Tanah, Dakwa Firma
2018.12.14
Kuala Lumpur, Malaysia
Bekas pengurusan sebuah dana Malaysia bermasalah, yang ditubuhkan bagi membantu umat Islam menunaikan ibadah haji di Makkah, pada Jumaat didakwa membuat kenyataan palsu mengenai urusniaga pembelian tanah, ketika kerajaan baru negara itu berusaha menyelamatkan dana berkenaan daripada mengalami keruntuhan kewangan.
Syarikat perladangan Trurich Resources Sdn Bhd telah membuat laporan polis dengan mendakwa tiga bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji, iaitu dana negara Malaysia, telah mengelirukannya dalam pengambilalihan dua ladang kelapa sawit di Indonesia pada harga berlebihan yang berjumlah A$58 juta, menurut kenyataan firma itu.
"Salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting telah memudaratkan Trurich yang diperdaya untuk membuat bayaran berlebihan bagi kedua-dua tanah itu serta membeli balik saham-saham yang sudah dibayarnya," kata Trurich.
Laporan oleh Trurich, yang dimiliki bersama oleh Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), telah dibuat di balai polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur oleh setiausaha syarikat itu pada Khamis.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Ismee Ismail dan dua bekas ketua ketua pegawai eksekutif bagi perladangan, Zainal Azwar dan Rashidi Omar, serta dua rakyat Indonesia - Rajasa Abdurachman dan Badai Sakti Daniel – didakwa telah mengelirukan syarikat itu dalam pembelian lading-ladang kelapa sawit berkenaan, kata kenyataan itu.
Bulan lalu, Tabung Haji telah membuat dua laporan polis terhadap Ismee, bekas pengerusinya Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa pegawai pengurusan kanan lain atas dakwaan salah laku kewangan.
Bagaimanapun, Abdul Azeez menafikan dakwaan dalam laporan polis itu dengan menyatakan bahawa ia dibuat dengan niat buruk.
Dakwaan terbaru itu muncul apabila kerajaan Perdana Menteri Malaysia yang baru dipilih Mahathir Mohamad melancarkan satu pelan menyeluruh pada minggu ini bagi menyelamatkan Tabung Haji yang mengalami masalah kewangan. Sebelum ini, Tabung Haji dilihat sebagai contoh bagi sistem pengurusan dana jemaah haji di kalangan negara-negara yang mempunyai ramai penduduk Islam.
Di bawah pelan pemulihan itu, Kementerian Kewangan akan mengambil alih hampir AS$5 bilion daripada aset tidak menguntungkan Tabung Haji, yang akan diletakkan di bawah pengawasan bank pusat berkenaan, bermula Januari ini.
Pendedahan sebelum ini menyatakan bahawa Tabung Haji didakwa memberi dividen kepada pendeposit walaupun ia dihimpit defisit, yang menunjukkan berlakunya salah urus kewangan semasa pentadbiran pimpinan Najib Razak, yang kini menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah.
Mujahid Yusof, menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam berkata, aset Tabung Haji adalah bernilai RM70.3 bilion (AS$16.82 bilion) pada Disember 2017 tetapi liabilitinya berjumlah RM74.4 bilion (AS$17.8 bilion), yang mengakibatkan defisit sebanyak RM4.1 bilion (AS$980 juta).
Mujahid berkata, defisit itu melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995, yang menetapkan bahawa aset itu tidak boleh lebih rendah daripada liabiliti dan ia mesti menjana keuntungan sebelum boleh mengagihkan hibah atau dividen.
"Tindakan Tabung Haji mengisytiharkan dividen sejak 2014 adalah bertentangan dengan Akta kerana asetnya adalah lebih rendah daripada liabiliti," katanya pada sidang media di Parlimen pada Isnin.
Anwar Ibrahim, pemimpin utama parti pemerintah yang bersedia mengambil alih kepimpinan negara daripada Mahathir dalam masa dua tahun lagi berkata, langkah meletakkan Tabung Haji di bawah pengawasan bank pusat akan membolehkan dana itu memberi tumpuan kepada peranan utamanya sebagai tabung simpanan bagi jemaah haji.
"Tabung Haji adalah contoh bagaimana kerosakan telah dilakukan dan kepercayaan telah dikhianati. Ia bukan salah institusi itu atau pelaburnya tetapi pihak pengurusan yang menyalahgunakan kuasa untuk merompak rakyat dan tindakan harus diambil terhadap mereka," lapor Malaysiakini, sebuah portal berita dalam talian, yang memetik Anwar sebagai berkata.
Dilancarkan pada 1963, dana Islam berusia 55 tahun itu ditubuhkan untuk menguruskan simpanan umat Islam bagi menunaikan ibadah haji, dengan ia perlu bebas daripada faedah berbentuk riba yang dilarang dalam undang-undang Islam.
Marah namun terus berharap
Berikutan rasa hormat umat Islam terhadap institusi berkenaan, pendedahan mengenai masalah yang melanda Tabung Haji telah membangkitkan rasa marah dalam kalangan para pendeposit berhubung cara dana itu ditadbir.
Ferut Umar, seorang suri rumah berusia 58 tahun di Pulau Pinang, menyuarakan kekecewaannya dengan bekas lembaga pengarah dana itu dan menyifatkan mereka sebagai pembohong dan mengkhianati orang ramai.
"Tetapi, apa yang lebih mengecewakan adalah masih ramai yang ragu-ragu dan enggan mempercayai bahawa mereka yang pernah menduduki lembaga Tabung Haji telah melakukan salah laku dalam menguruskan dana itu," katanya kepada BeritaBenar.
Ibu kepada empat anak itu membelanjakan RM18,000 (pada 2004) untuk menunaikan ibadah haji di Makkah dan menyimpan hampir RM300,000 (AS$71,770) dalam akaun Tabung Haji sejak awal 1980-an.
Namun, dia tetap mahu meneruskan simpanannya dalam Tabung Haji walaupun terkejut dengan pendedahan itu kerana yakin bahawa pengurusan baru dapat memulihkan dana itu.
Mengulas mengenai pelan pemulihan Tabung Haji, pakar strategi dan dasar perniagaan kanan di Universiti Malaya, Nazari Ismail, berkata Tabung Haji akan berdepan tugas berat untuk menjana pulangan sama seperti masa lalu iaitu kira-kira 8 peratus terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik.
"Namun, jika pulangannya rendah, orang ramai akan sedar bahawa ia adalah cerminan prestasi sebenar TH [Tabung Haji] dan tidak akan berasa terlalu kecewa kelak," katanya kepada BeritaBenar.