Sekolah Tahfiz Malaysia Akan Dikawal Selia Lebih Ketat, kata Timbalan Menteri
2018.09.25
Kuala Lumpur, Malaysia
Malaysia akan mengetatkan lagi peraturan yang mengawal selia pusat-pusat tahfiz swasta berikutan pertuduhan penderaan seksual pelajar di sebuah institusi itu baru-baru ini, kata seorang timbalan menteri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab berhubung hal ehwal agama Islam, Fuziah Salleh, memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan akan meminda undang-undang semasa yang mengawal selia sekolah-sekolah tahfiz, yang menumpukan kepada pengajian Al-Quran, dalam usaha untuk membendung penderaan seksual serta melindungi pelajar.
Langkah itu diambil selepas seorang pengetua sekolah tahfiz di pinggir bandar raya Kuala Lumpur didakwa dengan 11 pertuduhan di mahkamah beberapa hari lalu berikutan aduan sembilan pelajar lelaki yang mendakwa dia telah mencabul dan meliwat mereka.
Pengetua itu didakwa mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, yang bertujuan untuk melindungi mereka yang berumur 18 tahun dank e bawah daripada jenayah seksual.
"Kes itu telah pun disiasat dan orang berkenaan sudah dihadapkan di mahkamah pada 19 September dengan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," kata polis dalam satu kenyataan pada hujung minggu lalu.
Mengikut undang-undang itu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat, kata laporan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa, pula berkata pengetua itu telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan kes tersebut.
"Saya ingin memberi nasihat kepada ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak ke sekolah agama, pastikan mereka mengetahui latar belakang para guru," kata Mujahid. "Sesetengah guru tidak layak pun untuk mengajar Al Quran."
Pada Mac tahun ini, pihak berkuasa mendakwa seorang sukarelawan berusia 41 tahun di sebuah sekolah tahfiz di Kuantan, ibu negeri Pahang, dengan pertuduhan melakukan serangan seksual dan meliwat 10 pelajar lelaki.
Pada April tahun lepas, seorang budak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia selepas kakinya dipotong setelah didakwa dipukul oleh seorang pegawai di sebuah sekolah tahfiz. Polis berkata kes itu disiasat sebagai kes pembunuhan.
Susulan kes terbaru itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, mengarahkan penutupan semua sekolah tahfiz yang tidak berdaftar di Kuala Lumpur.
"Kami tidak mahu pusat-pusat tahfiz ini diberi sebarang kelonggaran hanya kerana ia institusi keagamaan," kata Khalid pada sidang media. "Ia harus memberikan yang terbaik dari segi keselamatan dan keselesaan kerana ia membawa imej agama."
Sekolah-sekolah tahfiz bukan terletak di bawah Kementerian Pendidikan kerajaan Persekutuan sebaliknya ia dikawal selia oleh majlis agama negeri.
Angka terkini sekolah tahfiz tidak berdaftar belum diperoleh. Tetapi tahun lepas, kerajaan berkata, terdapat 941 sekolah tahfiz berdaftar dengan 9,470 guru dan kira-kira 150,000 pelajar.
Langkah sementara
Mengulas kenyataan Khalid, Fuziah berkata perintah untuk menutup sekolah tahfiz yang tidak berdaftar di ibu negara adalah langkah sementara sehinggalah Parlimen meluluskan peraturan yang lebih ketat untuk mengawal institusi tersebut.
"Pada masa ini, sekolah-sekolah itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan ia di luar jangkauan kerajaan Persekutuan," kata Fuziah kepada BeritaBenar.
Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad al-Bakri pada Selasa menyokong gesaan supaya mendaftarkan sekolah-sekolah tahfiz.
“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak,”kata Zulkifli dalam kenyataan kepada BeritaBenar.
Pada September tahun lepas, kebakaran yang memusnahkan sebuah asrama tiga tingkat sekolah tahfiz tidak bertauliah di Kuala Lumpur telah mengorbankan 21 pelajar dan dua guru, kata pihak bomba. Pihak berkuasa juga telah mendakwa dua remaja dengan 23 pertuduhan membunuh selain didakwa menyebabkan kebakaran itu.