Kebakaran Tahfiz: Dua Remaja Hadapi Tuduhan Bunuh
2017.09.28
Kuala Lumpur
Sebuah mahkamah Malaysia pada Khamis telah mendakwa dua remaja dengan 23 pertuduhan kerana membunuh dan menyebabkan kebakaran yang membunuh 21 pelajar dan dua guru di sebuah sekolah agama Islam di Kuala Lumpur dua minggu lalu.
Kedua-dua suspek berusia 16 tahun itu tidak membuat sebarang pengakuan terhadap kes kebakaran yang memusnahkan tingkat ketiga asrama Sekolah Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September, kata pendakwa raya.
Kedua-dua kanak-kanak lelaki dan empat suspek remaja lain juga didakwa atas kesalahan berkaitan dadah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Suspek ketujuh telah dibebaskan dari tahanan reman tanpa sebarang pertuduhan kerana kekurangan bukti terhadapnya.
Prosiding pada Khamis itu dijalankan secara tertutup dan hanya anggota keluarga terdekat dibenarkan berada di dalam bilik bicara mahkamah.
Di Malaysia, tuduhan membunuh membawa kepada hukuman mati, tetapi dalam kes-kes yang melibatkan remaja, hukuman maksima adalah hukuman penjara seumur hidup.
Majistret Siti Radziah Kamaruddin telah menetapkan 28 Nov untuk menjatuhkan hukuman, sementara mahkamah menunggu laporan daripada Jabatan Kimia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Polis Malaysia sebelum ini mengatakan bahawa tujuh remaja lelaki itu sengaja membakar sekolah berkenaan, yang diklasifikasikan sebagai pusat "tahfiz" di mana pelajar belajar menghafal al-Quran.
Tiga puluh enam pelajar dan enam guru tinggal di sekolah itu, semasa kebakaran berlaku. Mangsa, remaja lelaki berusia 16 tahun atau lebih muda, dan dua orang kakitangan sekolah berkenaan terperangkap di belakang tingkat yang berjeriji besi yang dihalang dan pintu yang berkunci, kata pegawai bomba. Mereka berkata sekolah itu tidak mempunyai permit keselamatan kebakaran dan sijil penghuni.
Bapa kepada seorang pelajar yang terselamat, Sharifuddin Musa, berkata beliau mahu melihat prosiding mahkamah pada Khamis tetapi tidak dibenarkan oleh pegawai mahkamah.
"Saya boleh memaafkan, tetapi saya juga sedih tentang apa yang berlaku. Ahli keluarga yang lain dan saya hanya boleh berharap hukuman yang adil dikenakan terhadap suspek ini, "katanya kepada pemberita.
Ibu kepada pelajar berusia 12 tahun Nik Mohd Ridzuan, yang meninggal dunia di dalam kebakaran itu turut cuba memasuki bilik bicara mahkamah.
"Saya hanya ingin melihat wajah mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu," katanya.
'Saya tidak rasa apa-apa pada masa ini'
Selepas mendengar pertuduhan membunuh dibacakan, Mas Aliza Ali Bapoo, sepupu kepada tiga anak yatim yang terbunuh dalam kebakaran itu - Muhammad Shafiq Haikal, 13, Muhammad Hafiz Iskandar, 11, dan Muhammad Harris Ikhwan, 10 - berkata dia berasa kebas.
"Saya tidak merasakan apa-apa pada masa ini. Saya rasa kosong, "katanya kepada pemberita.
Enam daripada tujuh suspek itu positif dadah, selepas penahanan mereka pada 15 September, kata polis.
Penyiasat berkata kesemua suspek terlibat dalam "salah faham" dengan pelajar sekolah berkenaan. Kesemua remaja lelaki didakwa berada di luar kawasan sekolah berkenaan sebelum kebakaran itu berlaku dan kehadiran mereka dapat dilihat melalui rakaman TV litar tertutup.
Kedua-dua suspek pembunuhan mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan dadah. Tiga lagi mengaku tidak bersalah, sementara suspek lain mengaku bersalah atas tuduhan dadah yang sama.
Pada Rabu, Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara, memberitahu pemberita bahawa tidak semua suspek terlibat secara langsung dalam pembakaran terbabit.
Kejadian kebakaran itu telah mendorong kepada penyiasatan terhadap sekolah tahfiz di seluruh negara selepas media massa Malaysia melaporkan bahawa lebih daripada 200 kejadian kebakaran telah dilaporkan di sekolah agama swasta di Malaysia dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Akhbar The Star melaporkan terdapat 519 sekolah tahfiz swasta yang didaftarkan di seluruh negara setakat April lalu, tetapi banyak lagi yang dipercayai tidak berdaftar. Lebih 200 kebakaran membabitkan sekolah agama dikatakan telah direkodkan di seluruh negara sejak dua tahun lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membuat kesimpulan dua minggu lepas bahawa perbuatan khianat adalah penyebab kepada berlakunya kebakaran itu. Jabatan itu berkata anggota bomba telah menemui dua silinder gas memasak yang diletakkan di pintu asrama sekolah dan menghalang mangsa daripada melarikan diri.
Ketika kebakaran melanda asrama, saksi-saksi berkata mereka dikejutkan dengan tangisan dan jeritan minta tolong. Pegawai bomba berkata mereka menemui kesemua mayat bertimbun antara satu sama lain, yang menunjukkan bahawa mangsa cuba melarikan diri, tetapi terperangkap akibat tingkat berjeriji besi.
"Daripada siasatan, kami percaya perbuatan khianat ini dilakukan akibat berlakunya ejek mengejek di antara suspek dan beberapa pelajar tahfiz beberapa hari sebelum kebakaran itu," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh Ishar Singh kepada pemberita.