Mahkamah tertinggi Malaysia kritik siasatan berterusan SPRM terhadap Hakim

Ketua Hakim Negara bersama panel tujuh hakim dalam penghakiman bertulis menyifatkan waktu siasatan SPRM sebagai “mencurigakan” dan melanggar protokol.
Iman Muttaqin Yusof & Haizal Yatiran
2023.02.24
Kuala Lumpur
Mahkamah tertinggi Malaysia kritik siasatan berterusan SPRM terhadap Hakim Bangunan Mahkamah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya, 12 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah tertinggi Malaysia telah mengkritik siasatan berterusan oleh agensi anti-rasuah negara itu terhadap hakim yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak bersalah dalam kes berkaitan 1MDB, dengan menyifatkan sebagai “mencurigakan” dan mengabaikan kebebasan badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan membuat kritikan itu pada satu sidang penghakiman berkaitan satu saman pemula untuk merujuk dua persoalan dalam Perlembagaan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keatas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali oleh agensi itu, sejak Mac tahun lepas.

Penghakiman Jumaat itu, bagaimanapun tidak menghentikan siasatan pendakwaan rasuah oleh SPRM terhadap Mohd Nazlan yang telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (AS$45.6 juta) terhadap bekas perdana menteri Najib kerana menyeleweng dana RM42 juta (AS$9.67 juta) milik SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB.

Tengku Maimun dalam penghakiman bertulis yang dilihat BenarNews menyifatkan waktu siasatan SPRM sebagai “mencurigakan” – yang berlaku beberapa bulan sebelum Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara.

“Melihat kepada fakta dan penelitian ke atas bukti dokumen dalam fail, adalah jelas bahawa sebarang siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap Hakim Nazlan telah dijalankan tanpa mengambil kira kebebasan kehakiman dan melanggar protokol.

“Waktu (siasatan) yang aneh terhadap Hakim Nazlan, yang dilakukan tanpa sebarang rundingan dengan badan kehakiman, juga menimbulkan syak wasangka sama ada siasatan terhadap Hakim Nazlan adalah bona fide (niat baik),” kata Tengku Maimun.

Dalam penghakiman tersebut, Tengku Maimun menjelaskan bahawa mana-mana badan siasatan sepatutnya berunding dengan Ketua Hakim Negara sebelum memulakan siasatan ke atas mana-mana hakim, pihak pendakwa raya juga perlu berunding dengan Ketua Hakim Negara sekiranya mereka berniat untuk mendakwa hakim yang berkenaan, serta penemuan siasatan tidak boleh didedahkan kepada umum.

April tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan dalam satu kenyataan media bahawa badan itu telah memulakan siasatan ke atas “seorang hakim” yang memperoleh kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Azam dilaporkan berkata SPRM memulakan siasatan berkenaan susulan satu laporan yang dibuat berhubung dakwaan tersebut.

Cemar reputasi

Biarpun SPRM tidak menyebut nama Nazlan secara terbuka, Ketua Hakim Negara percaya secara kebetulan laporan media dan catatan sebuah blog palsu sebelum itu merujuk kepada hakim itu, memadai untuk mempengaruhi orang ramai mengesyaki Nazlan telah melakukan jenayah.

“Selain itu, kami mendapati semasa kenyataan tersebut dikeluarkan, wujud kecenderungan media yang jelas bahawa Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan akhir bekas perdana menteri dalam kes SRC International dalam masa yang terdekat.

“Fakta ini sahaja boleh mencemarkan reputasi sebuah badan kehakiman yang bebas,” ujar Tengku Maimun.

Beliau mengingatkan pihak berkaitan bahawa kemungkinan sesuatu aduan itu keseluruhannya benar ataupun direka bertujuan mencemarkan kredibiliti atau reputasi hakim terbabit.

“Kuasa ini mesti digunakan dengan niat yang baik, walaupun perlembagaan menjamin hak badan penyiasat untuk menjalankan siasatan manakala pendakwa raya diberikan budi bicara sama ada untuk memfailkan pertuduhan atau sebaliknya. Sekiranya siasatan dijalankan bagi tujuan cagaran, maka ia bertanggungjawab untuk mengetepikan,” jelas Ketua Hakim Negara itu lagi.

BenarNews telah menghubungi Azam Baki untuk mendapatkan reaksi kepada keputusan tersebut, namun belum mendapat maklumbalas.

Saman pemula itu dibuat oleh seorang aktivis Haris Ibrahim bersama dua lagi peguam Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai telah difailkan di Mahkamah Tinggi pada Mei tahun lalu, ketiga-tiga mereka telah menamakan kerajaan, Azam Baki dan SPRM sebagai defendan.

Para plantif telah diwakili oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, memohon pengisytiharan bahawa badan siasatan jenayah termasuk SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menjalankan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat, kecuali mereka digantung atau dilucutkan jawatan.

Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan jenayah terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat.

Selain itu, para plaintif turut memohon pengisytiharan bahawa siasatan terhadap Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Mahkamah Persekutuan kemudian memerintahkan kes saman pemula berkenaan dipulangkan kembali ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan berdasarkan persoalan perlembagaan yang dijawab Mahkamah Persekutuan.

Jumaat depan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat penghakiman sama ada Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan dibebaskan atau diperintah membela diri berhubung dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

Najib didakwa menyalahgunakan kedudukannya dengan mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi mengelak pendakwaan, manakala Arul pula dituduh membantu Najib membuat pindaan kepada laporan itu bagi melindungi Najib dari pendakwaan.

Kedua-dua Najib dan Arul didakwa mengikut Akta SPRM, yang boleh membawa kepada hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 (AS$2,254) yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.