Dibadai ombak, pantai di Terengganu menunggu hari 'ditelan' laut
2025.01.10
Kuala Lumpur
Sambil duduk di tepi sebuah surau, Zaman Idris, 61, merenung jauh ke arah ombak yang menggulung lalu menghempas pantai di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Terengganu.
Ombak itu tidak pergi begitu sahaja tetapi “menarik” sekali apa yang ada di hadapannya lalu hanyut ke dalam Laut China Selatan.
Ketika musim Monsun Timur Laut yang bermula November hingga Mac, pantai negeri Terengganu dibadai ombak besar yang kuat dengan angin bertiup kencang.
Saban hari dihempas ombak, pantai di negeri pantai timur itu semakin terhakis hingga merebak ke jalan raya.
“Sebenarnya hakisan ini sudah lama, tapi sekarang makin ketara. Ini (di sini) pun semuanya tanah orang belaka (yang hanyut). Jadi sekarang tinggal geran tanah saja, semua (rumah) dalam laut.
“Di pesisiran (pantai) dahulu ada acara pesta pantai, ada kedai-kedai makan. Jadi sekarang habis dah (hanyut ke laut),” luah Zaman kepada BenarNews.
Menurut pakar kajian laut, fenomena hakisan pantai di Terengganu terjadi kerana negeri itu mempunyai garis pantai yang lurus sekali gus menyebabkan ia menerima kesan hentaman ombak secara langsung dari Laut China Selatan berbanding pantai di Kelantan dan Pahang.
Ibarat telur di hujung tanduk. Penduduk di Kampung Pengkalan Maras sentiasa berada dalam kebimbangan dan ‘tidak lena tidur” kerana hakisan tanah pantai di kawasan terbabit mungkin meranapkan rumah mereka.
Bagi Zaman, Surau Pantai, tempat dia bersama penduduk kampung menunaikan solat setiap hari itu hanya membilang hari untuk runtuh jika tidak segera diselamatkan. Tapak surau itu sudah semakin dekat dengan gigi pantai yang telah terhakis.
“Dan penduduk (nak) minta pihak berkenaan selamatkan surau di sini sebab ia satu-satunya surau peninggalan orang tua, jadi kita sayanglah surau ni,” katanya.
Kubur hanyut ke laut
Selain itu, hakisan pantai berkenaan bukan sahaja mengancam penduduk, malah terdapat kubur penduduk setempat terpaksa digali semula untuk dipindahkan apabila nyaris dihanyutkan ke laut.
Seorang penduduk Wan Zakaria Wan Muhammad, 67, berasa terkejut apabila menyedari situasi semakin buruk sejak dua minggu lalu apabila tanah kubur di kampung itu mula dihakis air.
Keadaan itu membuatkan penduduk nekad menggali beberapa kubur yang paling hampir dengan kesan hakisan menerusi pemerhatian pegawai agensi agama untuk mengalihkan jenazah ke kawasan lebih selamat.
“Ada seorang meninggal di sini, jadi kita datang tengok di tepi laut ni. Baru kita perasan kubur di sini sudah dihakis air dan dah nak hanyut ke laut. Jadi kita gali beberapa kubur yang paling diancam hakisan dan angkat jenazah untuk dipindahkan.
“Kalau tiada batu (tambak) di sini, dalam masa satu bulan, memang habis semua kubur terhakis,” katanya.
Benteng penahan sementara
Bagi menangani masalah hakisan pantai itu, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerajaan akan melaksanakan beberapa tindakan jangka pendek antaranya membina benteng penahan sementara seperti beg pasir dan tambakan bongkah batu di lokasi hakisan paling kritikal.
Bagi tindakan jangka panjang permohonan peruntukan pembaikan hakisan pantai secara menyeluruh sedang diusulkan ke kementerian berkaitan, katanya.
Hanafiah berkata pengurusan projek hakisan di pantai itu membabitkan kos RM90 juta (lebih AS$20 juta).
“Projek ini merangkumi 16 pemecah ombak yang sedang berjalan pembinaannya. Sudah 80 peratus (siap). Jadi kita harap dengan siapnya projek itu pada 2026, kita dapat melihat kesannya dan diharap mampu mengawal hakisan pantai.
“Sekarang bertahan dulu dan macam sekarang kita tambak dulu di situ untuk pastikan surau dan dua rumah (berhampiran) selamat,” katanya kepada BenarNews.
Mengulas mengenai hakisan pantai sekitar kubur, Hanafiah berkata mesyuarat penyelarasan yang diadakan baru-baru ini telah memutuskan pengalihan kubur akan diuruskan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Kita belum buat keputusan utama untuk mengalihkan kubur, tetapi jika sesuatu yang luar biasa berlaku, kita akan alihkan juga kubur tersebut,” katanya sambil menambah tambakan batu akan dibuat di kawasan kubur terbabit.
Dalam pada itu, seorang peniaga, Mazlan Abdullah, 56, melahirkan kebimbangan kerana hakisan itu sudah semakin hampir dengan kedai dan rumahnya.
“Nak tunggu apa… (Nak buat) breakwater (pemecah ombak) tak siap lagi. Tarikh (projek) 2022, baru dijalankan April 2023. Jadi, kerana inilah keadaan hakisan merebak,” katanya.
“Hakisan sudah sampai dekat rumah saya. Saya ingat kalau kerajaan tak ambil tindakan segera dalam sebulan ini, masalah akan berlarutan, saya akan hilang rumah.”
Walaupun pihak berkuasa tempatan bertindak menambah bongkah batu untuk menghalang hakisan terus berlaku, dia risau ia tidak dapat bertahan lama.
“Memang saya sangat terkilan sebab hakisan ini sudah bertahun. Pihak kerajaan tak cakna hal ini. Apa yang mereka buat cuma tambak tempat itu. Mereka tak tambak semua sebab itulah makin merebak, melarat sampai ke jalan,” kata Mazlan lagi.
Penjual makanan di Batu Rakit, Wan Roslan Wan Husain, 41, pula berkata dia terpaksa merobohkan gerainya sebanyak dua kali kerana berdepan risiko hakisan pantai dan membuka premis di lokasi baharu yang lebih selamat di kawasan sekitar.
“(Sebenarnya) Tindakan kerajaan negeri menambak (sebahagian) kawasan itu dengan batu menyebabkan hakisan semakin teruk. Dulu pantai memang jauh dari gerai dan rumah penduduk,” dakwanya.
Pemecah ombak
Buat masa ini pembinaan struktur pemecah ombak adalah antara langkah yang diambil pihak berkuasa untuk mengatasi masalah hakisan pesisir pantai di Terengganu meskipun terdapat beberapa kesan sampingan.
Effi Helmy Ariffin, profesor madya di Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu berkata pemecah ombak [breakwater] bukan sahaja memberikan kesan positif dengan meleraikan ombak sebelum sampai ke pantai malah meningkatkan kelestarian di kawasan terbabit.
“Kalau tambak tebing dengan batu-batu di pantai, nelayan tak boleh pergi laut sebab (terhalang) batu-batu tu, mereka nak parking (berlabuh) bot di mana? Tapi bila ada breakwater mereka boleh parking di belakang breakwater,” jelasnya kepada BenarNews.
Bagaimanapun, kata beliau struktur “pulau batu” yang dibina beberapa meter dari pantai itu mengakibatkan berlaku ‘tindak balas’ tenaga menyebabkan kawasan pesisir laut berhampiran akan lenyap lebih cepat.
“Pantai ini sebenarnya berfungsi menyerap tenaga ombak tetapi bila ada perbezaan antara struktur keras dan struktur lembut (pantai), jadi ombak akan pergi ke struktur keras.
“Keadaan ini mengakibatkan ombak akan ‘attack’ [serang] ke pantai juga dengan tenaga yang sama. Akibatnya pantai di situ akan hilang dengan lebih cepat,” ujarnya.
Bagaimanapun, kelewatan projek pemecah ombak tersebut siap mengecewakan segelintir penduduk kerana tambak batu yang ditempatkan di pesisir pantai dilihat masih belum berhasil menyelesaikan hakisan.