Asia Tenggara: Pendekatan Serupa Bukan Caranya Perangi Ektremisme, Kata Pegawai AS
2018.04.12
Kota Kinabalu, Malaysia
Kerajaan-kerajaan Asia Tenggara perlu meningkatkan usaha mereka untuk menentang ancaman Negara Islam (IS) kerana kumpulan pelampau itu mahu mewujudkan tempat selamat untuk bertapak di rantau itu selepas kecundang di Syria dan Iraq, menurut pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Irfan Saeed, pengarah Biro Memerangi Ekstremisme Ganas (CVE) jabatan itu, secara khususnya menamakan Malaysia, Indonesia dan Filipina sambil memuji usaha negara berkenaan memerangi keganasan ketika beliau mengadakan persidangan menerusi telefon dari Washington dengan wartawan di Asia Timur minggu ini.
"Kita perlu memahami tentang penggerak ekstremisme ganas global dan tempatan kerana situasi di kedua-dua kawasan adalah berbeza di lapangan," katanya sambil memberitahu bahawa penggerak yang mencetuskan radikalisasi rakyat di Filipina adalah berbeza daripada mereka yang berada di Indonesia atau Malaysia.
Irfan menekankan tentang perlunya penyelidikan untuk mengenal pasti penggerak tempatan ekstremisme ganas berbanding dengan pendekatan sama untuk semua. Penyelidikan, katanya, merupakan pendekatan pertama lima serampang CVE yang berupaya memerangi ekstremisme ganas diikuti dengan pencegahan, deradikalisasi dan integrasi semula serta menangani mesej.
Beliau memuji ketiga-tiga negara itu kerana sudah pun melaksanakan usaha untuk memerangi ekstremisme.
"Malaysia melakukan CVE yang baik dalam sektor pendidikan dan perspektif pembaharuan kerajaan selain mempunyai inisiatif seperti Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Memerangi Keganasan," katanya kepada pemberita ketika semasa persidangan menerusi telefon itu pada Rabu. "Filipina mempunyai program anti-ekstremisme jangka panjang di negaranya sementara Indonesia juga melaksanakan dengan baik dalam memahami penggerak ekstremisme ganas."
Namun, Irfan memberi amaran bahawa rantau itu mesti sentiasa berwaspada, walaupun Negara Islam telah pun kehilangan wilayah di Iraq dan Syria.
"Pada masa ini tahun lepas, saya fikir tumpuan kami adalah mengenai lebih 1,000 pejuang pengganas asing yang meninggalkan Asia Tenggara dan pelbagai bahagian lain Asia Tenggara untuk ke Syria dan Iraq bagi menyertai perjuangan ISIS," katanya merujuk kepada IS dengan singkatan lain.
"Selepas setahun, banyak usaha baik yang telah dilaksanakan rakan-rakan kami di seluruh Asia Tenggara, rakan kami di seluruh dunia, Gabungan Global, dan berita gembiranya adalah kami tidak lagi membincangkan tentang pergerakan besar-besaran pejuang ke Syria dan Iraq."
Bagaimanapun, berita buruknya adalah Negara Islam sedang mengintai bahagian lain di dunia untuk meneruskan operasinya, kata beliau.
"Mereka sedang meninjau bahagian-bahagian lain di dunia, dan malangnya, saya rasa, Asia Tenggara berada dalam radar mereka. Mereka melihat dengan jelas bagaimana untuk membina kawasan selamat di seluruh selatan Filipina dan bahagian-bahagian lain di Asia Tenggara. Oleh itu, semasa kita berusaha memerangi ekstremisme ganas dan membanteras keganasan, adalah penting untuk memastikan kita tidak memberi mereka ruang selamat yang diperlukan mereka," kata Irfan.
Negara-negara itu juga perlu mengawasi ancaman bahawa kumpulan-kumpulan seperti IS "tidak melakukan penyusunan semula, mereka tidak melakukan pengukuhan, dan mereka tidak terus memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan tindakan kekerasan," katanya, sambil memberitahu bahawa Jemaah Islamiyah (JI), Abu Sayyaf dan kumpulan lain tidak harus dibenarkan mengambil alih tempat mereka.
"Kami tidak boleh membiarkan mereka berkembang dalam ruang yang dahulunya pernah diduduki ISIS," kata Irfan.
Belajar daripada satu sama lain
Untuk memerangi kesemua usaha IS itu, pegawai Jabatan Negara itu berkata, setiap negara mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada yang lain dan adalah penting bagi mereka untuk belajar daripada satu sama lain dalam menangani ancaman keganasan yang tidak pernah berkesudahan. Negara-negara itu juga boleh mempelajari tentang inisiatif negara lain termasuk Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Britain.
Negara-negara Asia Tenggara juga harus mengesan jejak IS dan menggunakan media sosial untuk menentang mereka dengan memperhebatkan kempen bagi mengusir kumpulan militan, kata Irfan, sambil memberitahu bahawa setelah hilang kekuatannya di Iraq dan Syria, IS menggunakan media sosial untuk menubuhkan khalifah baru.
Di Malaysia, Mohamad Abu Bakar, seorang penganalisis keselamatan antarabangsa yang bersara dari Universiti Malaya, menyokong gesaan Jabatan Negara itu. Perkongsian amalan CVE terbaik di kalangan negara-negara Asia Tenggara sememangnya diperlukan kerana adanya keadaan dan situasi yang unik, katanya.
"Apa yang sesuai untuk Malaysia mungkin tidak boleh digunakan di Indonesia pada masa ini, contohnya," katanya kepada BeritaBenar.
"Tetapi dengan adanya perkongsian, Indonesia boleh bersiap sedia untuk menghadapi penggerak ekstremisme ganas jika ia muncul pada masa depan. Dan bagi penggerak seperti itu, orang Indonesia akan tahu bagaimana untuk menanganinya berikutan tunjuk ajar negara lain yang mempunyai pengalaman sedemikian pada masa lalu, "kata beliau.
Mohamad juga berkata negara-negara Asia Tenggara boleh belajar daripada negara Timur Tengah dalam menangani konflik seperti itu.
"Keluhan dunia Arab yang berakar umbi sejak daripada zaman penjajahan telah lama menjadi konflik dalam apa yang saya panggil sebagai 'zon luluh," katanya. "Di Asia Tenggara, konflik kita bermula hanya baru-baru ini, oleh itu, kita dapat belajar juga daripada pengalaman negara-negara Timur Tengah."
Usaha Malaysia
Malaysia mengalami hanya satu serangan yang berpunca daripada IS - serangan bom tangan pada Jun 2016 di sebuah kelab malam di Puchong yang mencederakan lapan orang. Wahyudin Karjono dan Jonius Indie (alias Jahali) dijatuhi hukuman penjara 25 tahun pada Mac 2017 setelah didapati bersalah melakukan serangan itu dan masing-masing dikenakan tambahan 10 tahun penjara kerana menyokong kegiatan pengganas.
Polis mendakwa Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, ahli IS Malaysia yang berpangkalan di Syria, yang mengatur serangan itu. Wanndy terbunuh dalam serangan drone di Syria pada April 2017, menurut pegawai Malaysia.
Dalam tempoh empat tahun yang lalu, pihak berkuasa Malaysia menahan 371 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas, termasuk 71 orang asing, mengikut statistik kerajaan.
Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta orang penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan 19 plot pengganas sejak 2013 termasuk yang menyasarkan Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos 2017, kata timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed.
Tiga puluh empat rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria. Seramai 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak lagi dipercayai berada di Syria tetapi mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana pertempuran berlaku, kata polis Malaysia.
Staf BeritaBenar di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.