Malaysia tolak keganasan bagi selesaikan konflik Selatan Thailand

Kedua-dua negara itu mesti memahami pentingnya kaedah damai dalam mencapai penyelesaian, kata Anwar semasa mengadakan lawatan rasmi ke Thailand.
Wilawan Watcharasakwet
2023.02.09
Bangkok, Thailand
Malaysia tolak keganasan bagi selesaikan konflik Selatan Thailand Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) dan Perdana Menteri Thai Prayuth Chan-o-cha berbual semasa majlis di Rumah Kerajaan di Bangkok, 9 Feb 2023.
[Thai News Pix/BenarNews]

KEMASKINI pada 8 malam waktu tempatan ETS - 2023-02-09

Malaysia dengan tegas menentang keganasan sebagai antara cara untuk menyelesaikan isu pemberontakan di Selatan Thailand, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Bangkok semasa mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke negara jiran itu pada Khamis.

Adalah penting untuk mencapai keamanan dan menyelesaikan konflik puak pemisah di wilayah Selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan lebih 7,000 orang telah terbunuh setakat ini sejak keganasan tercetus semula pada 2004, kata Anwar.

Beberapa penganalisis pula berharap Perdana Menteri baharu Malaysia itu akan memberi nafas baru kepada usaha rundingan damai yang dijalankan di antara kerajaan Thailand dengan kumpulan-kumpulan pemisah Selatan Thailand, yang diperantarakan oleh Kuala Lumpur, terutamanya kerana minat mendalam beliau terhadap isu dan wilayah berkenaan yang berkongsi sempadan dengan Malaysia.

"Saya hadir ke sini dengan mesej yang amat jelas. Kerajaan Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan bagi menyelesaikan apa jua konflik," kata Anwar kepada wartawan semasa sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha.

“Kami akan menggunakan hak kami sebagai rakan dan keluarga kedua-dua negara, Malaysia dan Thailand, serta ASEAN, bagi meluahkan kebimbangan kami, dan pada masa yang sama kami sedar bahawa isu Selatan Thailand adalah isu dalam negara Thailand."

Anwar berkata, beliau dan Prayuth telah membincangkan isu tersebut dalam usaha mencapai "keamanan yang berkekalan bagi kedua-dua negara".

Pemberontakan di Selatan Thailand tercetus semula pada Januari 2004 di wilayah berkenaan yang meliputi Patani, Narathiwat dan Yala, serta empat daerah di Songkhla.

Sejak itu, lebih 7,300 orang telah terbunuh sementara 13,500 yang lain tercedera dalam insiden-insiden ganas yang berlaku di serata wilayah berkenaan, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan. Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang berjuang untuk mewujudkan sebuah negara merdeka bagi orang Melayu Islam yang membentuk majoriti penduduk di wilayah selatan itu.

Insiden sedemikian, kata Anwar, telah "membawa kepada rasa curiga dan kebencian."

"Dan kita perlu merayu kepada kedua-dua belah pihak, termasuk yang berada di Thailand, di wilayah selatan, dan juga di Malaysia supaya memahami bahawa keamanan adalah perkara yang paling penting... kita perlu memastikan dan memahamkan rakan-rakan kita di kedua belah kawasan sempadan supaya mencari jalan penyelesaian," kata Anwar.

Pada hari lawatannya ke Bangkok, seramai enam anggota tentera negara itu yang sedang melakukan rondaan keselamatan di kawasan landasan kereta api, telah mengalami kecederaan selepas sekumpulan individu yang dipercayai anggota puak pemisah melancarkan serangan menggunakan bom dan senjata api di Rue Soh, sebuah daerah di Narathiwat, menurut pihak berkuasa.

Anwar mahu ‘jadikan legasinya’

Perdana Menteri Malaysia itu, yang menggalas harapan banyak pihak untuk mencari penyelesaian bagi konflik di Selatan Thailand, turut bercakap mengenai "tugas" negaranya dalam memudah cara proses ke arah mencapai keamanan di negara itu.

"Sebab itu kami telah bersetuju untuk melantik fasilitator yang boleh diterima semua daripada seorang bekas panglima angkatan tentera yang telah bersara, yang dikenali oleh perdana menteri untuk melaksanakan tugas dan mencari jalan membantu [usaha perdamaian]," kata beliau kepada media.

Anwar merujuk kepada satu daripada inisiatif dasar luar negara pertamanya sebagai perdana menteri, dengan menukar fasilitator Malaysia bagi rundingan damai yang disertai wakil kerajaan Thailand dan pihak pemberontak yang diketuai BRN.

Siri rundingan tersebut telah bermula seawal 2020, sebelum Malaysia turut dilanda pandemik COVID-19, namun ia tidak mencapai banyak kemajuan.

Bulan lepas, Anwar menggantikan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator rundingan damai itu dengan Zulkifli Zainal Abidin, yang merupakan bekas Panglima Tentera Darat Malaysia.

"Saya secara peribadi dikenali oleh ramai rakan-rakan di wilayah selatan, dan kita akan berusaha menangani defisit kepercayaan ini, serta kebimbangan mengenai isu agama dan budaya," kata Anwar.

Sejak dilantik, Zulkifli telah mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Thailand pada minggu lalu, dengan siri rundingan damai seterusnya dijadual disambung di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Februari ini.

PM Thailand Prayuth, yang menerajui sesi taklimat bersama Anwar, turut mengesahkan mengenai kerjasama kedua-dua negara dalam isu Selatan Thailand, menurut satu kenyataan bersama.

Prayuth telah "bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam pengurusan keselamatan sempadan bagi memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan dan aktiviti haram lain".

Kedua-dua pemimpin berkenaan turut "mengulangi mengenai pentingnya mempromosikan keamanan dan keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara dengan mempertingkatkan lagi pembangunan sosioekonomi yang mampan, seimbang dan inklusif" di wilayah-wilayah sempadan, menurut kenyataan itu.

Mengulas mengenai lawatan Anwar, seorang pegawai kerajaan Thailand berkata, beliau percaya Anwar mahu menjadikan penyelesaian konflik di Selatan Thailand sebagai kejayaannya yang akan dikenang ramai.

"Saya percaya PM Anwar mempunyai kemahuan untuk melaksanakan usaha ini bagi menjadikannya sebagai legasi beliau," kata ketua penasihat keselamatan kerajaan Thailand, Panitan Wattanayagorn, kepada BenarNews.

"Beliau telah mengambil bahagian dalam isu sempadan sejak dari mula lagi, iaitu mengenai pengurusan keselamatan sempadan dan rondaan bersama. Tindakan ini akan dapat memintas pelarian dari Malaysia menyeberang masuk ke Thailand, dan sebaliknya. Ia akan menghalang sesiapa yang mahu menyeberang sempadan ke Thailand daripada menimbulkan masalah," kata Panitan.

Pegawai itu merujuk kepada dakwaan Thailand bahawa sesetengah anggota kumpulan pemisah telah memasuki negara itu dari Malaysia untuk melaksanakan serangan ganas sebelum melarikan diri semula ke Malaysia.

Sementara itu di Malaysia, seorang Menteri Besar di negeri bersempadan dengan Thailand dan turut terkesan dengan kegiatan pemberontakan, memuji rancangan kerajaan untuk membangunkan ekonomi di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand. Beliau menyifatkan usaha itu sebagai "tepat pada masanya".

"Usaha bersama Malaysia-Thailand untuk menyelesaikan pemberontakan selama beberapa dekad di selatan Thailand, sekiranya membuahkan hasil, boleh merangsang pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara, terutama sekali di negeri-negeri sempadan seperti Perlis, yang terletak di utara Malaysia," kata Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

"Saya telah berbincang mengenai isu ini dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke Perlis sebelum ini. Ia adalah satu peluang yang amat baik untuk melonjakkan ekonomi kami dengan membuka semula sempadan ketika aktiviti perdagangan sedang berkembang pesat di kedua belah pihak."

Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand, Ili Shazwani Ihsan di Perlis, dan Noah Lee di Kuala Lumpur, Malaysia, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.