Penganalisis: Anwar mungkin 'beri nafas baharu' kepada rundingan damai di Selatan Thailand
2022.12.15
Kuala Lumpur
Perubahan mungkin berlaku dalam rundingan damai di Selatan Thailand yang progresnya agak perlahan sekali gus dilihat gagal membuahkan sebarang hasil setakat ini, kata pemerhati apabila Perdana Menteri baharu Malaysia menunjukkan minat terhadap konflik itu dan bukan rakan fasilitator semasa, yang pernah menumbuknya dalam insiden mata lebam.
Perbincangan antara perunding yang mewakili kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak di kebanyakan wilayah sempadan yang majoriti penduduknya beragama Islam telah ditangguhkan secara tidak rasmi apabila Malaysia – yang menjadi pelopor rundingan damai itu selama bertahun-tahun – mengadakan pilihan raya umum pada November. Kali terakhir kedua-dua pihak berunding ialah pada Ogos.
Pemimpin baharu Malaysia, Anwar Ibrahim, telah bertemu Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan. Bagaimanapun, kedua-dua pihak bertindak mendiamkan diri mengenai hala tuju masa depan rundingan damai itu, dan hanya berkata mereka sedang membincangkan perkara itu termasuk sama ada fasilitator Abdul Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara, akan digantikan.
Tarikh seterusnya pusingan rundingan damai itu juga belum disahkan meskipun fasilitator Malaysia tersebut memaklumkan kepada BenarNews minggu lepas bahawa ia akan berlangsung pada Januari 2023. BenarNews cuba mendapatkan maklumat daripada para pegawai Thailand namun panggilan kepada ketua dan setiausaha panel rundingan damai Thailand tidak diangkat.
Sementara itu, seorang anggota kanan Barisan Revolusi Nasional (BRN) – kumpulan pemberontak terbesar dan paling berpengaruh di Selatan Thailand – baru-baru ini berkata bahawa ia akan bersikap terbuka kepada autonomi berbanding kemerdekaan, jika itu yang dimahukan oleh penduduk di wilayah tersebut.
Anggota kanan BRN itu memberikan temu bual di depan kamera yang jarang dilakukan kepada BenarNews pada Ogos dengan syarat identiti beliau dirahsiakan manakala suaranya diubah.
“Matlamat akhir kami ialah kemerdekaan… Untuk mencapai matlamat ini, sokongan penduduk Patani adalah faktor utama,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai 'Mustakim.'
“Bagaimanapun, jika rakyat melihat sepanjang perjuangan ke arah itu terdapat pilihan yang lebih baik berbanding kemerdekaan, seperti yang berlaku di Aceh atau Mindanao, [maka] itu mungkin menjadi konsensus mereka.”
Kumpulan pemberontak di Aceh, Indonesia dan Mindanao di selatan Filipina, pada asalnya memperjuangkan kemerdekaan namun menerima autonomi demi menjaga keamanan.
Mustakim berkata rundingan damai Selatan Thailand agak mengecewakan.
“Proses rundingan damai tidak memenuhi standard yang ideal, apabila dibandingkan dengan kejayaan yang dicapai di negara ASEAN yang lain seperti di Indonesia bagi wilayah Acheh,” katanya.
“Mereka mempunyai proses terperinci dan ketara sehingga membawa kepada perjanjian damai dalam tempoh yang singkat, bukannya 10 atau 20 tahun.”
BRN telah berjuang bagi mewujudkan sebuah negara yang bebas untuk orang Melayu beragama Islam yang merupakan penduduk majoriti di wilayah sempadan selatan Thailand. Tidak dapat dipastikan sama ada Mustakim melahirkan pandangan rasmi atau pendapat peribadi, dan sama ada BRN telah memberi kuasa kepadanya untuk bercakap kepada pemberita.
Anwar ‘boleh memainkan peranan penting’
Sementara itu, pemerhati konflik serantau itu turut menyaksikan progres yang agak lembap dalam rundingan damai tersebut.
Wakil kerajaan Thailand dan BRN memulakan rundingan damai yang dipelopori Malaysia itu pada awal 2020, sejurus sebelum penularan pandemik koronavirus di negara jiran. Kesemua perbincangan ini menyusuli rundingan selama bertahun-tahun antara kerajaan Thailand dan MARA Patani, sebuah kumpulan penaung yang menghimpunkan kumpulan pemberontak di Selatan Thailand termasuk BRN.
Mohd Mizan Mohammad Aslam daripada Universiti Pertahanan Negara Malaysia berkata rundingan damai itu tidak merubah apa-apa di lapangan kerana pada pandangan beliau, konflik itu sebenarnya telah meningkat selepas pandemik COVID-19.
Malaysia perlu merombak keseluruhan proses rundingan untuk mencapai penyelesaian yang boleh dilaksanakan dan ia termasuk menggantikan fasilitatornya, Abdul Rahim Noor, kata beliau.
“Kerajaan [Malaysia] mempunyai dua pilihan: sama ada inginkan seorang yang bertenaga, agak muda dan memiliki keazaman untuk menyelesaikan amanah atau tugasan, atau mahukan seorang yang amat berpengalaman serta bijaksana bagi menangani isu ini,” katanya kepada BenarNews.
Mohd Mizan percaya Anwar boleh memainkan peranan yang penting.
“Beliau adalah antara tokoh yang amat dihormati di Thailand. Saya tahu semasa memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah membantu ramai orang Islam terutama dalam isu madrasah di selatan Thailand. Jadi dengan itu, saya percaya beliau boleh memainkan peranan penting,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Altaf Deviyati, pengasas bersama dan pengarah IMAN Research, sebuah badan pemikir di Kuala Lumpur, pula berkata Malaysia sudah tidak proaktif sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam isu membabitkan Selatan Thailand.
“Malaysia kini berfungsi secara literal sebagai pejabat sekretariat… [Bagaimanapun] Anwar Ibrahim telah menunjukkan minat terhadap situasi di Selatan Thailand dan keselamatan di ASEAN secara amnya,” kata beliau kepada BenarNews.
“Saya berpendapat beliau akan menunjukkan minat secara peribadi terhadap progres dialog dalam rundingan damai ini… Saya rasa fasilitatornya juga mungkin digantikan.”
Minggu lepas, Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata kemungkinan menggantikan Rahim Noor adalah antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan.
“Sampai masa kita akan umumkan [pelantikan fasilitator baharu] … Saya boleh sebut bahawa perkara itu turut disentuh dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya minggu lepas.
“Ia terlalu spesifik dan terperinci dengan beberapa komitmen bersama perlu dibincangkan, tetapi masih terlalu awal untuk saya berikan maklumat mengenai perkara ini buat masa sekarang.”
Para penyokong pemimpin pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim memegang sepanduk insiden mata lebam yang bertulis 'Justice for Anwar' semasa melaungkan beberapa slogan dalam satu tunjuk perasaan di Kuala Lumpur, 5 Feb 2010. [Lai Seng Sin/AP]
Rahim Noor telah dilantik sebagai fasilitator dalam rundingan damai di Selatan Thailand pada September 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad.
Parti Keadilan Rakyat pimpinan Anwar, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan gabungan Mahathir, membantah sekeras-kerasnya pelantikan itu. Ahli parti itu tidak pernah lupa bahawa Rahim Noor, sebagai Ketua Polis Negara, telah menumbuk Anwar di penjara pada 1998 selepas Mahathir memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, dalam kes yang terkenal sebagai 'insiden mata lebam.'
Dua tahun selepas itu, Rahim Noor telah dihukum penjara dua bulan bagi kesalahan melakukan serangan itu. Pada 2005, bekas Ketua Polis Negara itu memohon maaf kepada Anwar secara terbuka dalam mahkamah.
BenarNews telah menghubungi Rahim Noor minggu lepas untuk mendapatkan komen namun beliau enggan mengulas. Para pegawai di Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri tidak memberikan maklum balas kepada soalan BenarNews iaitu sama ada fasilitator bagi rundingan damai itu akan digantikan.
Don Pathan, seorang penganalisis keselamatan yang berpangkalan di Thailand, menolak untuk memberikan komen berkaitan hubungan Anwar-Rahim Noor namun berkata fasilitator baharu dalam rundingan damai itu mungkin mempercepatkan proses tersebut.
“Mengenai Rahim Noor, mungkin sudah tiba masanya untuk beliau berundur. Beliau adalah pilihan Dr Mahathir,” kata Pathan kepada BenarNews.
“Kini PM Anwar yang berkuasa, dan beliau kelihatan lebih terlibat dalam isu ini dengan melakukan kunjungan singkat ke Bangkok beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan,” kata Pathan yang merujuk kepada lawatan Anwar ke ibu kota Thailand pada 22 Sept.
Perjuangan puak pemisah bersenjata dari wilayah Selatan Thailand menentang negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha itu telah bermula pada 1960-an.
Selatan Thailand terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla. Sejak pemberontakan dihidupkan semula pada Januari 2004, lebih 7,344 orang terbunuh manakala 13,641 yang lain cedera dalam keganasan itu, demikian menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.