Penggiat seni berusaha ubah 'imej keganasan' Selatan Thailand

Para pelukis dan aktivis berganding bahu untuk memberi gambaran berbeza mengenai wilayah sempadan yang kaya budaya namun dihimpit pemberontakan itu.
Subel Rai Bhandari
2022.09.20
Pattani, Thailand
Penggiat seni berusaha ubah 'imej keganasan' Selatan Thailand "Field Work", sebuah karya oleh pelukis Thailand Savinee Buranasilapin, dipaparkan di sebuah ladang garam berhampiran bandar Pattani di Selatan Thailand sebagai sebahagian daripada sebuah pameran seni, 1 Sept 2022.
[Subel Rai Bhandari/BenarNews]

Kawasan pantai wilayah Pattani yang terletak di Selatan Thailand masih terserlah indah namun ia sepi tanpa pengunjung.

Sukar untuk melihat orang luar melawat atau melancong ke kawasan berkenaan kerana wilayah sempadan itu, yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu, amat sinonim dengan kegiatan pemberontakan bersenjata yang telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu tanpa sebarang petunjuk ia akan berakhir dalam masa terdekat ini.

Tetapi, golongan pelukis dan penduduk di bandar Pattani, iaitu pusat wilayah dan hab perdagangan garam di kawasan selatan, tetap berusaha untuk mengubah imej negatif yang ada dengan mengetengahkan warisan kebudayaan dan karya seninya, yang tidak dapat ditemui di mana-mana kawasan lain di Thailand.

"Kami mahu bawakan cerita yang berbeza," kata Hadee Hamidong, penganjur Pattani Decoded iaitu pameran kreatif dan seni yang bermula pada 2019 tetapi terpaksa dihentikan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

"Kami mahu mengubah imej ganas dan tonjolkan sisi yang lain. Ada banyak lagi benda di sini selain kejadian ganas yang berlaku. Di sini, ada insan dan aspek kehidupan yang berbeza. Ia juga mempunyai warisan dan sejarah ratusan tahun," kata beliau kepada BenarNews.

"Deep Salt" (Garam Selatan) telah dipilih sebagai tema untuk pameran seni itu bagi tahun ini. Diadakan pada awal September, acara itu telah berjaya menarik kira-kira 30,000 pengunjung ke lokasi pameran di bandar Pattani serta beberapa tempat lain, kata Hadee. Antara lokasi pameran itu termasuklah sebuah ladang garam di mana seorang daripada artis yang mengambil bahagian telah memaparkan karyanya di situ (gambar di atas).

Ketika wakil BenarNews melawat wilayah berkenaan awal bulan ini, satu lagi kumpulan, Patani Artspace, yang mengumpulkan 10 galeri seni di bawah satu payung, turut menganjurkan festival seni yang dijangka berlangsung sehingga hujung November depan di bandar-bandar sekitar Pattani serta wilayah lain di Selatan Thailand.

Pattani, bandar pesisir pantai dan menghadap Teluk Thailand, telah lama menjadi pusat pemprosesan garam dari laut dan merupakan hab perdagangan untuk mengeksport produk berkenaan ke China serta pasaran luar yang lain. Garam yang dihasilkan di kawasan itu telah diberi nama jolokan "sweet salt" (garam manis) kerana rasanya yang agak lembut berbanding garam dari kawasan lain.

Bagaimanapun, aktiviti penghasilan garam di wilayah itu telah menyusut dengan mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh perubahan iklim, musim yang tidak menentu serta hujan pada masa yang tidak sepatutnya.

"Kerja ini memerlukan usaha keras dan memerlukan tanah, air serta cahaya matahari," kata Abdul Ka-bu, seorang pengusaha garam tempatan yang menghadiri pameran 'Deep Salt' kepada BenarNews. "Kami tidak lagi boleh berharap kepada semua ini sepertimana sebelum ini."

Dalam satu video yang ditayangkan pada pameran itu, seorang pengusaha ladang garam mengeluh bahawa beliau hanya dapat menjual 10 karung garam pada 2021 berbanding antara 500 ke 600 karung beberapa tahun sebelum itu.

Selatan Thailand adalah satu daripada wilayah termiskin di negara itu. Di Pattani, kadar kemiskinan berada di paras 34.2 peratus berbanding kadar seluruh negara pada 6 peratus, menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pada 2019.

220920-TH-MY-DsT-inside1.jpg

Piraporn Pean, seorang pelukis dan pengukir berusia 27 tahun, menunjukkan karyanya pada pameran di bandar Pattani, Thailand, 2 September 2022. [Subel Rai Bhandari/BenarNews]

Pameran itu yang dianjurkan oleh Hadee, antara lain turut mengetengahkan arangan seni dan reka bentuk, kraftangan dan kaligrafi, persembahan muzikal, bengkel pakar bagi menghasilkan bongkah, mengecat bot, mencanting batik serta demonstrasi masakan makanan tempatan.

"Kami mahu memperkenalkan identiti, budaya, warisan, kostum dan ilmu pengetahuan tempatan," kata Hadee dari Melayu Living iaitu sebuah koperasi pelukis yang berpusat di Pattani.

Satu daripada karya seni yang dipaparkan pada pameran itu, "Field Work" oleh pelukis arkitek Savinee Buranasilapin, telah dihasilkan menggunakan 600 keping cermin bulat kecil yang disusun pada batang besi yang diletakkan di tengah-tengah ladang garam di Na Kluea Laem Nok di pinggir bandar Pattani. Konsep karya itu adalah untuk menonjolkan sejarah perdagangan garam di Pattani pada masa dahulu apabila banyak kapal dagang berlabuh berhampiran kawasan bandar yang bergemerlapan dengan cahaya.

220920-TH-MY-DsT-Inside2.jpg

Seorang pekerja berjalan melintasi sebuah kafe burger semasa satu festival seni dan reka bentuk yang diadakan di bandar Pattani, Thailand, 2 September 2022. [Subel Rai Bhandari/BenarNews]

Nattapon Pichairat, 40, seorang pelukis dan pereka pakaian, pula melukis gambar tumbuhan yang terdapat di sekitar ladang garam pada kertas sebelum mencetak karya itu ke atas fabrik "bagi mengubah posisi dan mengubah bentuk persepsi".

"Saya memilih tumbuhan kerana ia adalah objek kecil yang cantik dan membawa rasa gembira serta kedamaian... Saya mahu memberitahu orang ramai mengenai kecantikan dan keindahan semulajadi Pattani dan kawasan sekitarnya," kata beliau, dan menambah kata bahawa beliau mahu "menggambarkan semula bandar itu sebagai sebuah hab kebudayaan."

Dalam karya "Le Sel de La Vie [Garam Kehidupan]," Emsophian Benjametha menghasilkan barangan kraftangan seramik yang diinspirasikan dari proses penghasilan dan penghantaran produk "garam manis" ke destinasi jualan.

"Tanpa garam, tidak ada kehidupan. Dan tanpa kehidupan, tidak akan ada seni. Tanpa seni, tidak akan ada ketamadunan," kata beliau.

"Semua orang dialu-alukan ke Pattani, sebuah bandar kecil yang berjiwa besar dan kaya dengan sejarah. Ia bukanlah bom dan bahaya. Banyak benda yang bagus terdapat di sini: hasil kraf, seni bina, makanan, rumah lama," kata Emsophian, seorang pereka dan pelukis berusia 43 tahun yang menjalani latihan di Perancis, kepada BenarNews.

220920-TH-MY-DsT-Inside3.jpg

Pelukis Emsophian Benjametha bergambar di belakang karyanya "The Salt of Life" pada satu pameran di bandar Pattani, Thailand, 2 September 2022. [Subel Rai Bhandari/BenarNews]

Wilayah itu, yang kini menjadi sebahagian daripada Selatan Thailand, sebelum ini merupakan sebuah pusat pentadbiran kerajaan Islam yang meliputi beberapa wilayah berdekatan yang lain. British kemudian telah menyerahkannya kepada Thailand, yang mengambil alih wilayah itu pada 1909. Kumpulan pemisah telah melancarkan pemberontakan di wilayah itu sejak 1960-an.

Rueanglada Punyalikhit, seorang pensyarah di Universiti Silpakorn, berkata program seperti pameran "Deep Salt" dapat membantu wilayah itu untuk mengikis identiti ganas yang mencemari imej Pattani.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, beliau cuba membantu pengusaha tempatan untuk membangunkan produk semulajadi yang inovatif termasuk herba, makanan, minuman, tekstil dan kraftangan yang diperbuat daripada bahan mentah yang ditemui di kawasan berkenaan.

"Untuk membiarkan identiti ditakrifkan oleh keganasan semata-mata adalah sesuatu yang tidak wajar," kata Ruenglada kepada BenarNews. "Daripada luar, situasi [di Pattani] kelihatan tidak bagus kerana adanya berita mengenai insiden keganasan. Tetapi, apabila anda datang ke sini, anda akan dapat melihat bahawa kehidupan di sini adalah seperti biasa dan bukan seperti yang dianggap oleh orang lain."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.