Tentera Thailand Soal Siasat Suspek Militan Dikehendaki Pihak Berkuasa Malaysia
2018.04.19
Narathiwat, Thailand
Seorang warganegara Thailand yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia telah dibebaskan oleh pegawai tentera di Selatan Thailand selepas mereka memutuskan bahawa lelaki itu tidak mempunyai hubungan dengan militan termasuk Negara Islam (IS), kata seorang jurucakap tentera pada Rabu.
Awae Wae-Eya, warganegara Thailand yang dinamakan oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai suspek militan, disoal siasat mengenai dakwaan berkaitan hubungannya dengan pihak militan, kata Kolonel Pramote Prom-in, jurucakap Pemerintah Wilayah Tentera Keempat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand (ISOC 4) kepada pemberita.
"Awae tidak mempunyai kaitan dengan keganasan di dalam negara atau pun IS. ... Dia hanya ‘komando kerusi empuk’," kata Pramote, yang menggunakan istilah slanga untuk merujuk kepada individu yang bersemangat tentang operasi ketenteraan namun tidak pernah terlibat dalam pertempuran senjata.
Awae, 37, mungkin mencatatkan komen di laman web pro-IS, tetapi pihak berkuasa memutuskan untuk membebaskannya kerana dia tidak mempunyai rekod jenayah, kata Pramote.
Para penyiasat mengunjungi Awae di kediamannya di daerah Cho I-rong di wilayah Narathiwat, tidak jauh daripada sempadan dua negara, dan memintanya menghadiri soal siasat di kem tentera selepas Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan bahawa dia adalah antara empat suspek militan yang berjaya melarikan diri daripada serbuan polis di negeri selatan Johor di Malaysia, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Malaysia Mohamad Fuzi Harun pada Isnin berkata bahawa Awae adalah antara empat suspek sel IS termasuk tiga rakyat Malaysia yang merancang melakukan serangan bom di rumah ibadat bukan Islam.
Timbalan Perdana Menteri THailand, Prawit Wongsuwan, memberitahu wartawan di Bangkok pada Rabu bahawa IS mungkin cuba mendekati mereka yang berkemungkinan merasa simpati dengannya di Thailand.
"[IS] mungkin cuba melangkau masuk ke Thailand tetapi ... ia tidak mungkin bertindak sehingga menubuhkan cawangannya di sini," kata Prawit. "Namun, mereka mempunyai kecenderungan untuk menyerang mana-mana negara pun."
"Kami sedang mengawasi sebarang pergerakan dan memantau IS atau pengganas, terutama jika selatan Thailand menjadi sasarannya," katanya.
Pada Isnin, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memberitahu satu forum pertahanan bahawa seramai 389 orang telah ditangkap di Malaysia sejak 2013 kerana disyaki terlibat dengan kegiatan berkaitan IS. Beliau berkata seramai 34 daripada 95 rakyat Malaysia yang diketahui menyertai IS di Syria dan Iraq, telah terbunuh di zon-zon konflik itu.