Pertemuan Perunding Beri Isyarat 'Era Baru' Proses Damai Selatan Thailand

Pimuk Rakkanam & Mariyam Ahmad
2018.10.26
Bangkok & Pattani, Thailand
181026-TH-MY-talk-negotiators-800.jpg Udomchai Thammasarorat (tengah), perunding utama baru Thailand dalam rundingan damai Selatan Thailand dan Abdul Rahim Mohd Noor, fasilitator baru Malaysia bagi rundingan itu, bercakap kepada pemberita di Hotel Shangri-la, Bangkok, 25 Okt 2018.
[BeritaBenar]

Perunding utama Thailand dan Malaysia dalam perbincangan bagi menamatkan pemberontakan di Selatan Thailand menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk menemui semua kumpulan yang terlibat dan mendengar tuntutan mereka, ketika mereka memulakan kerjasama bagi menghidupkan semula proses damai itu.

Udomchai Thammasarorat, bekas jeneral tentera Thailand, dan Abdul Rahim Noor, bekas ketua polis negara Malaysia, bertemu buat kali pertama di Bangkok minggu ini selepas kerajaan masing-masing  melantik mereka sebagai wakil utama dalam rundingan damai yang diusahakan Malaysia, setelah menggugurkan perunding terdahulu.

"Berdasarkan apa yang saya dengar daripada Tan Sri (Abdul Rahim), semua masalah bukanlah sukar untuk diselesaikan. Pendekatan Thailand adalah kami akan berbincang dengan semua kumpulan penentang yang mempunyai perbezaan pendapat dengan kerajaan Thailand. Kami sedia bertemu dengan semua kumpulan," kata Udomchai pada Khamis, yang menggunakan istilah Thailand yang sinonim dengan kumpulan pemberontak.

Beliau tidak menyatakan dengan khusus sama ada ini termasuk mereka yang tegar dari Barisan Revolusi Nasional (BRN) – kumpulan pemberontak bersenjata paling besar yang melancarkan perang pemisah di Selatan Thailand - dalam rundingan damai semasa itu.

Kenyataan Udomchai itu dirakam dalam video taklimat media di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Bangkok, yang menyusuli perbincangannya dengan Abdul Rahim.

Mereka bertemu di Bangkok selama dua hari dan di luar lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad ke Thailand sejak Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum negara itu pada  Mei. Mereka berkata, ini memberi isyarat permulaan baru dalam proses damai yang berlarutan bertahun-tahun lamanya menerusi pelbagai rundingan.

"Setakat ini, ia adalah era baru dari segi hala tuju dan kesungguhan untuk mempercepatkan proses damai itu, yang telah berlangsung sejak enam tahun lalu," kata Abdul Rahim, yang dilantik sebagai fasilitator Malaysia bagi rundingan damai itu pada Ogos, menurut agensi berita negara, Bernama.

"Kini wujud satu era baru dan momentum yang lebih bertenaga ke arah mencapai keamanan di selatan Thailand serta adanya gesaan supaya proses damai itu dapat dipercepatkan," kata bekas ketua polis negara itu kepada pemberita di Bangkok.

Abdul Rahim berkata, selain pihak Thailand, beliau mahu berkomunikasi dengan kumpulan pemberontak berpendirian sederhana dan tegar, menurut laporan Bernama yang disiarkan pada Jumaat. Beliau telah berbincang dengan kedua-dua kumpulan pemberontak itu selama tiga bulan pertama sebagai fasilitator, lapor artikel berkenaan.

"Secara peribadinya, saya yakin bahawa, berdasarkan momentum yang betul, keamanan di selatan Thailand dapat dicapai dengan lebih cepat berbanding dahulu," kata broker keamanan Malaysia yang baru itu.

"Semua pihak mesti mempunyai kesungguhan politik untuk mencari penyelesaian yang sesuai untuk selatan Thailand," kata Abdul Rahim.

Udomchai, bekas panglima di wilayah tentera yang merangkumi Selatan Thailand, memberitahu bahawa "kami telah melabur dengan banyak" dalam rundingan damai itu sejak beberapa tahun lalu.

"Saya memberitahu Tan Sri bahawa pendekatan itu tidak akan berbeza dengan usaha 30 tahun lalu semasa beliau berurusan dengan [komunis], Malaysia adalah pihak yang melakukan rundingan," kata perunding utama Thailand itu, sambil memberitahu bahawa peranan baru rakan sejawatannya dari Malaysia sebagai broker damai adalah peranan yang berpatah balik kepadanya.

Udomchai merujuk kepada pemberontakan komunis Malaysia yang berpanjangan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia, di mana Abdul Rahim membantu menyelesaikan keganasan itu beberapa dekad yang lalu ketika beliau berkhidmat sebagai perunding negaranya dalam konflik itu.

Faktor BRN

Beberapa hari sebelum lawatan rasmi Mahathir ke Bangkok dan pertemuannya dengan rakan sejawatannya di Thailand, Prayuth Chan-o-cha, BRN mengingatkan bahawa perbincangan itu akan hanya berjaya jika pihak Thailand berunding secara langsung dengannya.

Sebelum ini, kumpulan itu mengkritik perbincangan semasa antara kerajaan tentera Thailand dan MARA Patani - kumpulan induk yang mendakwa melakukan rundingan bagi pihak semua kumpulan pemberontak selatan serta memasukkan wakil BRN dalam panelnya.

“Kami perlu memaklumkan kepada mereka hari ini, kedua-dua PM itu, bahawa mereka perlu mengiktiraf kami sebagai penting," kata jurucakap BRN, Abdul Karim Khalid, kepada BBC News Thai pada 22 Okt.

“Jika kedua-dua pihak tidak berminat atau bersikap dogmatik untuk melakukan perkara yang sama, saya boleh katakana bahawa rundingan ini tidak akan membawa sebarang makna,” katanya.

Baru-baru ini, MARA mengumumkan perluasannya iaitu dari lima kepada lapan kumpulan, dan dijenamakan semula sebagai MARA Patani Plus. Bagaimanapun, jurucakapnya Abu Hafez Al-Hakim, yang tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkara itu pada Jumaat, enggan mendedahkan nama kumpulan tambahan tersebut.

Perbincangan antara junta dan MARA bermula pada pertengahan 2015, tetapi setakat ini gagal menghasilkan sebarang gencatan senjata terhad - atau apa yang dikenali sebagai zon keselamatan – yang dilihat sebagai pelopor kepada proses damai di luar perbincangan di meja rundingan.

Perbincangan dengan MARA itu menyusuli beberapa siri rundingan yang diusahakan oleh Malaysia, yang telah diadakan secara langsung antara BRN dan kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra sebelum ini.

Rundingan itu bermula pada  Februari 2013 tetapi tiada penghujungnya pada Disember tahun itu, selepas kerajaan Thailand menolak lima tuntutan yang dikemukakan dalam video YouTube oleh perunding dan BRN, Hassan Bin Toyib.

Satu daripada tuntutan itu ialah Thailand perlu memberikan kedaulatan kepada Selatan Thailand dan mengiktiraf "Negara Melayu Patani", yang tidak dapat diterima oleh Bangkok.

Pada Mei 2014, kerajaan Yingluck digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Prayuth, yang ketika itu panglima angkatan tentera.

Pemberontakan itu berlanjutan sejak berpuluh tahun di Selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah mereka yang beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu. Selatan Thailand, merangkumi wilayah Narathiwat, Patani dan Yala serta empat daerah Songkhla, menyaksikan hampir 7,000 orang terkorban sejak pemberontakan tercetus semula pada 2004.

Menurut Rungrawee Chalermsripinyorat, pakar mengenai konflik di wilayah sempadan selatan Thailand, perbincangan itu tidak akan menarik perhatian melainkan kerajaan Thailand menerima penyertaan kepimpinan BRN dalam rundingan itu.

"BRN bersedia ke meja rundingan jika Bangkok membenarkan adanya pemerhati antarabangsa. Jika ia menerima perkara ini, rundingan damai boleh diteruskan dengan cara yang lebih bermanfaat dan bermakna," kata Rungrawee kepada BeritaBenar.

"Sama ada Mahathir ingin atau boleh memujuk Thailand untuk menerima apa-apa pra-syarat, ia terpulang kepada beliau."

Selepas tiba di Bangkok pada Rabu, Perdana Menteri Malaysia yang berusia 93 tahun itu berjanji bahawa kerajaannya akan "membantu dalam cara yang mungkin untuk menamatkan keganasan itu."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.