Serangan maut: Thailand dikecam kerana gagal teruskan rundingan damai

Enam mangsa terkorban dalam beberapa serangan disyaki dilakukan pemberontak di wilayah sempadan selatan Thailand sejak Sabtu.
Mariyam Ahmad dan Nontarat Phaicharoen
2025.03.10
Pattani dan Bangkok, Thailand
Serangan maut: Thailand dikecam kerana gagal teruskan rundingan damai Pegawai skuad bom polis memeriksa lokasi letupan di hadapan pejabat daerah di Su-ngai Kolok, wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 9 Mac 2025.
[Balai Polis Sungai Kolok]

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik pembangkang menyalahkan kerajaan kerana tiada dasar yang jelas terhadap keamanan dan kegagalan meneruskan rundingan damai susulan serangan maut disyaki dilakukan pemberontak hingga mengorbankan enam nyawa serta mencederakan berbelas yang lain sejak Sabtu lalu.

Menurut tentera Thailand, kumpulan pemberontak di wilayah selatan yang majoritinya berbangsa Melayu Muslim meningkatkan keganasan sepanjang bulan suci Ramadan yang bermula pada 2 Mac.

Siri serangan pada Sabtu dan Isnin menjadikan jumlah korban akibat keganasan berkaitan pemberontakan meningkat kepada 15 orang sejak awal tahun di wilayah yang bersempadan dengan Malaysia itu.

“Insiden sebelum ini seperti membakar tiang elektrik atau memasang kain rentang protes sudah mencerminkan rasa tidak puas hati tetapi kerajaan masih berdiam diri terhadap isyarat ini tanpa sebarang maklum balas,” kata Anchana Heemmina, pengerusi Persatuan Bantuan Kemanusiaan Duay Jai (Dengan Hati), sebuah NGO tempatan.

“Kini keganasan yang menjejaskan orang ramai telah bermula. Sebahagian perkara ini mungkin berpunca daripada kelemahan operasi, tetapi kerajaan tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab kerana tidak menunjukkan niat yang jelas mengenai proses dialog damai,” katanya kepada BenarNews.

Sejak kerajaan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Ogos lalu, tidak ada sebarang tanda menunjukkan rundingan damai di mana Malaysia menjadi orang tengah akan disambung semula.

Bapanya bekas PM Thaksin Shinawatra baru-baru ini dilantik sebagai penasihat khas ASEAN bagi membantu Kuala Lumpur menangani isu selatan Thailand ketika Malaysia menjadi pengerusi blok Asia Tenggara itu pada 2025.

Pusingan terakhir rundingan damai antara wakil Thailand dan kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) berlangsung di Kuala Lumpur 13 bulan lalu.

Sehingga kini, kerajaan Paetongtarn masih belum melantik ketua perunding baharu bagi proses damai tersebut selepas jawatan itu dikosongkan pada Oktober.

Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai yang juga Menteri Pertahanan Thailand berkata Bangkok bersedia untuk meneruskan rundingan tetapi dengan syarat.

“Malang sekali insiden ini berlaku dan mengorbankan nyawa. Kami telah menyatakan secara terbuka bahawa keganasan perlu dihentikan buat sementara waktu.

"Jika ia boleh dihentikan, ini menunjukkan keinginan sebenar untuk berunding. Kami meminta gencatan senjata sebelum rundingan diadakan,” kata Phumtham kepada pemberita pada Isnin.

Serangan bertubi-tubi

Pada Sabtu lalu, penyerang mengebom dan melepaskan tembakan ke arah pejabat daerah Su-ngai Kolok serta melancarkan serangan di beberapa lokasi lain di wilayah Narathiwat, membunuh dua sukarelawan pertahanan dan mencederakan kira-kira 10 orang awam, menurut pihak berkuasa Thailand.

Pada malam yang sama di daerah Sai Buri, wilayah Pattani, pemberontak menyerang pasukan khas Rejimen Renjer, menyebabkan seorang pegawai dan dua orang awam terbunuh serta seorang lagi cedera.

Pada pukul 2 pagi Isnin, lelaki bersenjata menembak mati seorang lagi sukarelawan pertahanan kampung di daerah Krong Pinang, wilayah Yala, kata pegawai.

Komander tentera Thailand di wilayah itu, Lt. Jen. Paisan Nusang berkata pemberontak bertindak dengan sengaja sepanjang Ramadan.

“Mereka percaya melakukan tindakan ini dalam bulan Ramadan mendapat pahala kerana insiden seumpama itu biasanya meningkat dalam bulan ini.

“Saya telah mengarahkan kajian semula dilakukan terhadap langkah kawalan kejadian serta penguatkuasaan undang-undang untuk menjejaki pelaku mengikut pelan operasi,” kata Paisan kepada BenarNews.

10-TH-bomb2.jpg

Tiga anggota panel rundingan damai terakhir lebih setahun lalu – Chatchai Bangchuad yang mewakili kerajaan Thailand (kiri), fasilitator Malaysia Zulkifli Zainal Abidin dan wakil delegasi Barisan Revolusi Nasional (BRN), Anas Abdulrahman bertemu pemberita di Kuala Lumpur, 7 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Sambung rundingan damai

Anchana menggesa kerajaan agar bertindak secara proaktif.

“Sejak Perdana Menteri Paetongtarn [Shinawatra] bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia pada Disember lalu, kerajaan masih belum menemui cara untuk menangani isu sempadan selatan. Mereka kekal pasif, mencerminkan kurangnya komitmen untuk menyelesaikan masalah ini. Kini, keganasan semakin meningkat,” kata Anchana.

Ahli politik pembangkang, Natthaphong Ruengpanyawut, pemimpin Parti Rakyat turut mengecam keganasan terbaru di selatan Thailand.

“Saya menggesa kerajaan mempercepatkan usaha mencari dalangnya untuk dihadapkan ke muka pengadilan dan menyegerakan proses dialog damai secara serius,” katanya kepada pemberita.

“Proses ini seharusnya menjadi komponen utama dalam mengurangkan keganasan dari semua pihak dan mencari penyelesaian yang berkekalan,” kata Natthaphong dalam hantaran di Facebook.

Rundingan damai bermula pada 2013 antara wakil kerajaan dan BRN dan kemudian melibatkan kumpulan pemberontak lain dengan Malaysia berperanan sebagai fasilitator.

Pada Disember, organisasi masyarakat sivil di wilayah selatan, termasuk Yayasan Cross Cultural, Persatuan Bantuan Kemanusiaan Duay Jai serta lebih 10 organisasi lain bersama warga tempatan menyeru kerajaan agar menyambung semula rundingan damai dengan BRN.

Usaha kerajaan dalam rundingan damai dilihat semakin lesu, menurut pengarah yayasan itu, Pornpen Khongkachonkiet.

“Keengganan untuk melantik ketua pasukan dialog damai sedangkan keganasan meningkat dengan ketara adalah punca secara langsungnya,” kata Pornpen.

“Kerajaan perlu segera menubuhkan pasukan dialog rasmi dengan wakil dari semua pihak, tanpa menunggu arahan daripada Thaksin dan Anwar.”

Kebimbangan Malaysia

Sementara itu, susulan serangan pada Sabtu, Kementerian Luar Malaysia mengeluarkan nasihat perjalanan ke wilayah selatan Thailand termasuk Pattani, Yala dan Narathiwat agar pelancong menangguhkan semua lawatan yang tidak penting.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di wilayah itu supaya mendaftar dengan Konsulat Jeneral di Songkhla.

Di samping itu, Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek, menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar-pelajar yang menyeberangi sempadan dari Thailand untuk bersekolah di Rantau Panjang.

“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan kami sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara untuk memastikan setiap aspek keselamatan anak-anak diberikan perhatian sepenuhnya,” katanya kepada pemberita pada satu program di Kelantan.

“Mengenai keselamatan pelajar terutamanya mereka yang menyeberangi sempadan, kami telah mengambil langkah awal antaranya, memastikan mereka tinggal di asrama atau bersama saudara-mara yang boleh menjamin keselamatan mereka,” katanya.

“Ini bermakna mereka tidak perlu menyeberangi sempadan setiap hari. Langkah ini telah dilaksanakan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.”

Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.