Fasilitator Malaysia: BRN setuju kumpulan lain terlibat dalam rundingan damai Selatan Thailand

Persetujuan wakil pemberontak, kerajaan Thailand dengan pelan bersama mengikut ketetapan masa permulaan yang baik - penganalisis.
Muzliza Mustafa & Nisha David
2023.02.22
Kuala Lumpur
Fasilitator Malaysia: BRN setuju kumpulan lain terlibat dalam rundingan damai Selatan Thailand Fasilitator Malaysia Zulkifli Zainal Abidin, (tengah), Ketua Perunding Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh (kiri) dan wakil Barisan Revolusi Nasional Anas Abdulrahman bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, 22 Feb 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Barisan Revolusi Nasional (BRN) telah bersetuju kumpulan pemisah lain menyertai rundingan damai Selatan Thailand dengan wakil kerajaan negara itu, kata fasilitator Malaysia kepada BenarNews pada Rabu selepas pusingan terkini rundingan tersebut yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur.

Penganalisis berkata fasilitator baharu Malaysia, bekas Panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin telah mencapai satu lagi kemajuan besar apabila beliau berjaya mengadakan sidang akhbar bersama wakil kerajaan Thailand dan BRN.

Zulkifli berkata beliau berharap kumpulan pemisah lain di Selatan Thailand yang majoriti penduduknya bertutur Bahasa Melayu akan turut hadir pada pusingan rundingan berikutnya Mac ini, yang bakal menandakan kali pertama mereka mengambil bahagian dalam rundingan damai sejak 2018.

“Secara prinsipnya mereka telah bersetuju untuk menjemput kumpulan lain kerana mereka juga ingin terlibat dalam rundingan damai ini namun kami perlu menghantar undangan rasmi bagi merealisasikannya,” kata Zulkifli kepada BenarNews dalam temu bual eksklusif.

Ini merupakan pusingan pertama rundingan yang disertai Zulkifli sejak beliau mengambil alih peranan fasilitator tahun ini menggantikan Abdul Rahim Noor meskipun bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu berkunjung ke Bangkok pada awal bulan ini untuk memperkenalkan dirinya kepada pihak kerajaan Thailand.

Selepas dua hari berbincang, Panel Dialog Keamanan Bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand yang diketuai Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan delegasi BRN pula diketuai Anas Abdulrahman, bersetuju meneruskan proses rundingan damai itu di bawah apa yang disifatkan mereka sebagai “Pelan Komprehensif Bersama Ke Arah Kedamaian.”

Bagaimanapun, pelan ini mempunyai ketetapan masa iaitu 2023 hingga 2024 dan bakal menangani isu seperti mengurangkan keganasan serta konsultasi awam yang membawa kepada penyelesaian politik, demikian menurut satu kenyataan kerajaan Thailand.

Menurut kenyataan itu, butiran spesifik akan diusahakan antara Mac dan Mei tahun ini semasa mesyuarat teknikal “yang bertujuan mengemukakan draf berhubung perkara itu bagi pertimbangan dan pengendorsan” pada Jun.

Ditanya sama ada beliau yakin konflik itu akan berakhir dalam tempoh dua tahun seperti yang ditetapkan, Zulkifli memberikan jawapan yang positif.

“Saya yakin kerana kedua-dua rakan saya yang berada di sini,” katanya pada sidang akhbar itu.

BRN telah berjuang untuk menubuhkan sebuah wilayah yang merdeka kepada masyarakat Melayu Islam yang merupakan penduduk majoriti di wilayah selatan sempadan Thailand. Sejak itu, lebih 7,300 orang terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam keganasan di seluruh wilayah tersebut, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

‘Bukan mudah untuk saya’

Penganalisis konflik serantau menyifatkan perkara itu sebagai satu permulaan yang baik namun menambah butirannya perlu diusahakan segera. Mereka juga berkata sidang akhbar bersama itu adalah satu petanda baik.

“Berdasarkan fakta bahawa kedua-dua pihak masih belum menemui titik persamaan dalam kebanyakan isu, perkara ini perlu disambut baik,” kata Don Pathan, seorang penganalisis keselamatan Thailand, kepada BenarNews.

"Hasil rundingan menunjukkan kemajuan” kata Rukchart Suwan, Presiden Buddhist Network for Peace, kumpulan yang berpangkalan di Yala, Thailand.

“Terdapat tempoh masa yang ditunjukkan berkaitan Pelan Komprehensif Bersama Ke Arah Kedamaian,” kata Rukchart kepada BenarNews.

Bagi Fikry A. Rahman dari Institut Penyelidikan Bait Al Amanah di Malaysia, hala tuju dalam pelan itu adalah penting.

“Mempunyai hala tuju akan memberi nilai tambah kepada kemajuan ke arah kedamaian. Bagaimanapun, adalah penting untuk mendapatkan hasil yang kukuh secepat mungkin,” katanya kepada BenarNews.

Zulkifli pula berkata untuk mendapatkan pelan bersama itu bukanlah sesuatu yang mudah namun ia menjadi bukti yang jelas bahawa terdapat komitmen ke arah kedamaian di kedua-dua pihak.

“Bukan mudah untuk saya memujuk kedua-dua pihak untuk bersetuju dalam sesuatu perkara. Untuk mendraf satu perkataan sahaja mungkin mengambil masa sejam atau lebih … perkara ini amat sensitif. Kami terpaksa berhenti berkali-kali bagi memastikan perbincangan berjalan lancar dan mencapai hasil yang diingini,” katanya kepada BenarNews.

“Perdana Menteri [Anwar Ibrahim] sebelum ini berkata defisit kepercayaan perlu diatasi. Kini, kami berjaya mengatasinya. Kami melontarkan buah fikiran, berkongsi pandangan dan menunjukkan bahawa kami sememangnya ikhlas.”

Semasa lawatan rasmi pertama beliau ke Thailand sebagai Perdana Menteri pada awal bulan ini, Anwar berkata Malaysia mengambil pendirian tegas menentang keganasan sebagai kaedah bagi menyelesaikan pemberontakan.

Ramai pemerhati meletakkan harapan yang tinggi kepada Anwar untuk memperoleh penyelesaian kepada konflik berpanjangan di Selatan Thailand berdasarkan minat mendalam beliau dalam isu itu dan wilayah yang berkongsi sempadan dengan Malaysia.

Wilayah di sempadan Malaysia-Thailand adalah terdiri daripada Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah dalam Songkhla. Gerakan pejuang pemisah bersenjata di kawasan itu bermula pada 1960-an.

Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur dan Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.