KL-Bangkok Setuju Buka Semula Sempadan Melalui Perjalanan Udara Bebas Kuarantin

Suganya Lingan & Wilawan Watcharasakwet
2022.02.25
Kuala Lumpur & Bangkok
KL-Bangkok Setuju Buka Semula Sempadan Melalui Perjalanan Udara Bebas Kuarantin Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan rakan sejawatannya dari Thailand Prayuth Chan-o-cha menjawab soalan pada taklimat media di Bangkok, Thailand, 25 Feb 2022.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri Malaysia]

Malaysia dan Thailand pada Jumaat telah bersetuju untuk membuka semula sempadan melalui perjalanan udara bebas kuarantin antara Kuala Lumpur dan Bangkok menerusi skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan skim ‘Test & Go bagi pengembara yang lengkap vaksinasi, kata Perdana Menteri Malaysia.

Ismail Sabri Yaakob berkata persetujuan tersebut adalah langkah permulaan terhadap usaha pemulihan bagi kedua-dua negara membuka pintu sempadan yang ditutup sejak dunia dilanda pandemik COVID-19, dua tahun lepas.

“Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi. Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi-destinasi yang lain di masa akan datang,” kata PM Malaysia yang dalam rangka lawatan rasmi pertama sejak menerajui Putrajaya selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Prayuth Chan-o-cha di Bangkok.

Katanya, skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao, serta termasuk semua Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di utara Semenanjung dan Selatan Thailand, serta VTL-Laut di antara Langkawi dan Satun.

“Dalam hal ini, saya dan Perdana Menteri Prayuth telah bersetuju agar perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan untuk membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand,” tambahnya lagi.

Sebelum pandemik, Thailand merekodkan hampir 40 juta pelawat, termasuk 4.1 juta pelancong Malaysia pada 2019.

Minggu lalu, timbalan jurucakap Kementerian Luar Thailand, Natanu Nopakun, berkata kerajaan merancang untuk membuka semula sempadan Thailand-Malaysia pada Mac depan bertujuan meningkatkan kedatangan pelancong, memandangkan pelancong Malaysia merupakan kumpulan terbesar pelawat ke Thailand sebelum pandemik COVID-19.

Beliau berkata, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dan Pusat Operasi Kecemasan Pelancongan (EOC) sudah diarah merangka serta menggariskan langkah mitigasi pandemik untuk pembukaan semula wilayah sempadan selatan di pusat pemeriksaan Songkhla, Narathiwat, Yala dan Satun.

Natanu berkata, pelancong dari Malaysia akan memasuki Thailand melalui program 'Test & Go' tanpa kuarantin, namun pengembara perlu lulus dua ujian RT-PCR COVID-19 pada hari pertama ketibaan dan pada hari kelima.

Pembangunan berdaya saing di sempadan

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan kedua pemimpin berkenaan, Kuala Lumpur dan Bangkok bersetuju tentang pentingnya mempromosikan pembangunan berdaya saing dan komprehensif di sempadan selatan Thailand dan juga negeri-negeri di utara Malaysia bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kemakmuran di sepanjang sempadan dua negara itu.

Tiga wilayah selatan Thailand – Patani, Narathiwat dan Yala yang majoriti penduduknya Melayu-Islam adalah bersempadanan dengan Kedah, Perak dan Kelantan di Malaysia, juga merupakan kawasan persembunyian bagi kumpulan pemberontak pemisah bersenjata yang melawan untuk menuntut kemerdekaan kepada penduduk Melayu Patani di wilayah tersebut.

Malaysia menjadi fasililatator dalam inisiatif damai melalui rundingan secara bersemuka antara Bangkok dan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang sudah diketahui sering merentasi sempadan untuk mendapatkan perlindungan selepas melancarkan serangan di wilayah Selatan Thailand itu.

Thailand telah menakluki wilayah itu pada 1909 sebagai sebahagian daripada perjanjiannya dengan British.

Lebih 7,000 orang telah terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam serangan ganas yang berlaku di wilayah tersebut sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, kata kumpulan pemikir tempatan Thailand Deep South Watch.

Ismail Sabri dan Prayuth dalam kenyataan bersama itu juga memberitahu yang kedua negara turut bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama dalam mengawal keselamatan dalam mengekang jenayah dan aktiviti rentas sempadan lain.

Sempadan Malaysia-Thailand adalah antara kawasan panas yang sering digunakan sebagai laluan tikus bagi sindiket pemerdagangan manusia terutamanya dari Bangladesh dan etnik Rohingya yang melarikan diri dari cengkaman perintah Myanmar.

Selain itu, penjenayah juga menggunakan sempadan untuk mendapatkan bekalan senjata api haram dan penyeludupan pelbagai jenis dadah termasuk sintetik dan ketum.

Pada 2015, Polis Malaysia telah mendedahkan yang pihak berkuasa itu menemui 106 mayat dari 139 kubur di beberapa kem penyeludupan manusia yang terbengkalai berhampiran Wang Kelian di Perlis yang bersempadanan dengan Thailand.

Beberapa hari sebelum pengumuman penemuan oleh pihak berkuasa Malaysia, para pegawai Thailand telahpun berbuat demikian apabila mereka menemui etnik Rohingya dan Bangladesh yang diseludup dan hampir maut ditinggalkan di beberapa kem terbiar di dalam hutan di sempadan negara tersebut.

Pada penghujung 2020, isu penyeludupan dan penggunaan senjata api mendapat tumpuan ramai apabila seorang anggota Pasukan Gerakan Am Polis DiRaja Malaysia ditembak mati semasa bertempur dengan penyeludup juga di sempadan Perlis-Thailand.

Semasa pertemuan dengan Prayuth, kedua-dua Perdana Menteri turut membincangkan mengenai projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand iaitu pembinaan Jajaran Jalan Menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

"Selain pembinaan jambatan persahabatan kedua merentasi Rantau Panjang-Sungai Golok, dan jambatan baharu untuk Pengkalan Kubor-Tak Bai juga perlu disegerakan.

"Kami berdua bersetuju agar agensi berkaitan dapat menyegerakan pembinaan projek-projek ini bagi kelancaran pergerakan rakyat dan barang-barang di antara kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.

Hubungan diplomatik selama 65 tahun antara kedua-dua negara bermula sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.