Aktivis Selatan Thailand disyaki lakukan aktiviti rahsia

NGO di wilayah sempadan negara itu menghantar surat terbuka kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa perkhidmatan keselamatan mengganggu aktivis, kumpulan masyarakat sivil.
Mariyam Ahmad dan Nontarat Phaicharoen
2024.01.09
Pattani dan Bangkok, Thailand
Aktivis Selatan Thailand disyaki lakukan aktiviti rahsia Aktivis Selatan Thailand beratur di luar Balai Polis Sai Buri di wilayah Pattani, Selatan Thailand untuk mendengar butiran aduan terhadap mereka, 9 Jan 2024.
[BenarNews]

Sembilan aktivis di Selatan Thailand hadir di balai polis tempatan pada Selasa untuk menjawab aduan yang difailkan minggu lalu, yang mendakwa penglibatan dalam aktiviti sulit serta memaparkan bendera pemberontak BRN pada perhimpunan mereka baru-baru ini.

Kehadiran mereka di balai polis di wilayah Pattani dilakukan selepas lebih 30 kumpulan hak asasi manusia dan NGO di wilayah sempadan selatan menyatakan mengenai kes itu dalam surat terbuka kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana mereka mendakwa polis dan perkhidmatan keselamatan Thailand telah mengganggu kumpulan masyarakat sivil apabila mereka mengadakan perhimpunan umum.

Dalam surat mereka, kumpulan itu menyeru PBB untuk menyiasat dakwaan pelanggaran kebebasan bersuara oleh pegawai keselamatan Thailand terhadap sembilan lelaki itu.

“Pendakwaan jenis ini menunjukkan niat pihak berkuasa untuk menghentikan aktiviti. Ia akan membuatkan orang ramai di kawasan itu berasa tertekan. Mereka tidak berpeluang untuk meluahkan perasaan mereka,” kata Muhammadladee Dengni, seorang daripada sembilan lelaki yang dinamakan dalam aduan itu.

Tuduhan itu berpunca daripada penyertaan dalam sambutan Hari Raya 2021 – cuti dua hari umat Islam di seluruh negara – dan difailkan di bawah Perkara 116 Kanun Jenayah.

Selatan Thailand, sebuah wilayah yang didominasi kaum Melayu Islam dan dipantau ketenteraan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia, juga dibelenggui dengan pemberontakan pemisah yang sudah berdekad lamanya.

“Saman-saman itu dikeluarkan sebagai tindak balas kepada aktiviti pada 4 dan 10 Mei 2022, termasuk aktiviti rahsia dan pemaparan bendera BRN. Aktiviti itu juga termasuk pembacaan puisi yang ditafsirkan sebagai seruan bertindak untuk anak muda bagi mengorbankan nyawa mereka demi bangsa Melayu dengan matlamat utama pemisahan, yang melanggar Perlembagaan Thailand,” kata Kolonel Kiattisak Neewong, jurucakap Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), kepada BenarNews.

Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan dan pemberontak yang terbesar dan paling berkuasa di wilayah itu, telah mengambil bahagian dalam rundingan damai yang diaturkan Malaysia dengan kerajaan Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi ia masih belum menampakkan sebarang kejayaan.

Selepas tiba di balai polis Sai Buri di Pattani, Muhammadaladee melahirkan rasa terkejut dengan aduan itu sambil menyatakan bahawa beliau dan yang lain telah berbincang dengan pegawai ISOC sebelum mendapat kebenaran untuk mengadakan perhimpunan itu.

Pada Selasa, Muhammadaladee dan yang lain yang berpakaian tradisional Melayu Muslim, secara simbolik menutup mulut mereka dan memegang papan tanda bertulis "kami Melayu" bagi menunjukkan pandangan mereka bahawa aduan itu adalah cubaan untuk menutup mulut mereka.

“Rundingan damai boleh terganggu lagi. Sudah lebih 10 tahun dan semua orang cuba untuk menghasilkan kemajuan, tetapi insiden seperti ini membuatkan kami takut, semuanya akan terhenti semula,” kata Muhammadaladee.

09-TH-deep-south2.jpg
Aktivis melekatkan pita pada mulut mereka semasa mereka dan penyokong berjalan menuju ke Balai Polis Sai Buri di wilayah Pattani, Selatan Thailand untuk mendengar aduan terhadap mereka, 9 Jan 2024. [BenarNews]

Sementara itu, pihak berkuasa berkata mereka merancang untuk menjadualkan pertemuan dengan aktivis berkenaan bagi menjelaskan aduan terhadap mereka. Aktivis itu berkata mereka merancang untuk mengumpul bukti termasuk testimoni daripada ahli akademik yang pakar dalam isu Selatan Thailand untuk menentang kes itu.

Komander tentera: 'Bukan bertujuan menutup mulut'

Surat terbuka kepada PBB, yang ditandatangani oleh 31 organisasi bertarikh 6 Januari dan disiarkan di Facebook pada Isnin, telah meminta supaya siasatan diadakan terhadap saman yang dikeluarkan oleh polis Thailand.

“Kami … menggesa agensi anda untuk menyiasat pencabulan hak dalam mengadakan perhimpunan aman dan aktiviti Melayu Islam di Thailand,” demikian menurut surat itu.

“Tindakan kerajaan untujk membuat mengenakan pertuduhan jenayah berkaitan keselamatan yang menghalang kebebasan berhimpun terhadap aktivis di kawasan konflik, dengan cara seolah-olah ia gangguan yang membawa kepada pertuduhan jenayah adalah bercanggah sepenuhnya dengan pendekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi dan menjaga hak asasi manusia serta peranan dan tanggungjawab Majlis Hak Asasi Manusia.”

Pegawai PBB di Thailand tidak segera menjawab permintaan BenarNews untuk mengulas mengenai urat itu.

Satu daripada pihak yang menandatangani surat itu, Yayasan Silang Budaya, telah menyatakan bahawa sejak 2017, lebih 40 aktivis di wilayah sempadan selatan telah dipanggil oleh polis untuk menghadapi pertuduhan jenayah. Dalam beberapa kes, plaintif yang memfailkan aduan telah dikenal pasti sebagai Mejar Jeneral Santi Sakuntanak, komander tentera di Selatan Thailand.

"Operasi penguatkuasaan undang-undang mematuhi sepenuhnya tatacara undang-undang," kata Santi sebagai maklum balasnya. “Individu tertuduh mempunyai setiap peluang untuk membela diri di mahkamah dan menunjukkan mereka tidak bersalah.

“Kami mendukung prinsip kepelbagaian budaya dan menggalakkan kebebasan bersuara dalam lingkungan undang-undang. Walau bagaimanapun, menyokong pemisahan atau kemerdekaan secara jelas melanggar Perlembagaan Thailand dan tidak boleh dibiarkan. Percayalah, prosiding undang-undang ini bukan bertujuan untuk mendiamkan perbezaan pendapat, tetapi untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.”

Pornpen Khongkachonkiet, pengarah Yayasan Silang Budaya, melahirkan kebimbangan mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah sempadan selatan walaupun berlakunya perubahan kerajaan daripada yang diketuai oleh bekas ketua junta Prayuth Chan-o-cha kepada yang menerajui kini Srettha Thavisin.

Selatan Thailand merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla.

“Kerajaan harus berhenti mendakwa rakyat kerana ia memusnahkan penyelesaian konflik secara aman. Kerajaan harus menggerak proses undang-undang yang adil,” kata Pornpen kepada BenarNews.

“Pada masa ini, penggunaan keganasan dan senjata hampir dihentikan, mungkin kerana mereka menganggap bahawa mereka mempunyai wakil di Parlimen. Bagaimanapun, penyataan hak secara aman, yang dijamin oleh perlembagaan, sedang dihalang. Kerajaan harus menghentikan amalan ini.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.