Tentera Thailand gugur rancangan gali mayat pemberontak untuk ujian DNA
2022.12.12
Pattani, Thailand
Identiti seorang lelaki yang ditemukan maut di sebatang sungai di sempadan Thailand-Malaysia pada September lepas kekal misteri selepas seorang ahli keluarga menghalang usaha tentera untuk menggali mayatnya bagi melakukan ujian DNA.
Balu Yahree Dueloh, yang dikenal pasti oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) sebagai anggota kanan kumpulan pemberontak itu, berkata dia mengecam mayat seorang lelaki yang telah kembung sebagai suaminya berdasarkan kepada parut tersendiri yang terdapat pada jasad itu. Bagaimanapun, para pegawai tentera mendakwa cap jari tidak sepadan manakala hasil ujian pertama DNA ke atas mayat itu adalah tidak konklusif.
Kumpulan pemisah BRN yang berpengaruh mendakwa Yahree, 42, juga dikenali sebagai Zahri Bin Abdullah, telah diculik dari Malaysia dan dibunuh oleh para pegawai Thailand. Bagaimanapun, Thailand menafikan dakwaan itu dan mendakwa mayat itu tidak melalui proses autopsi yang betul bagi mengenal pasti identitinya.
Pada Sabtu, pasukan tentera, polis dan pakar forensik terpaksa meninggalkan tanah perkuburan di Sungai Padi, sebuah daerah dalam Narathiwat, kerana ahli keluarga Yahree menghalang mereka daripada menggali mayat lelaki itu untuk melakukan ujian DNA.
“Tidak mengapa jika tidak dapat menggali mayat itu. Kami sudah mematuhi undang-undang dan membuktikan bahawa ia bukan mayat beliau,” kata Leftenan Jeneral Gen. Santi Sakuntanak, pemerintah tentera di bahagian Selatan Thailand kepada BenarNews pada Isnin.
Santi berkata undang-undang mengkehendaki mayat seseorang individu diproses dan dikenal pasti menggunakan teknik sains forensik yang betul. Pada Oktober, beliau berkata cap jari yang diambil daripada mayat lelaki itu menunjukkan bahawa ia bukan Yahree, jadi beliau ingin melakukan ujian tambahan DNA.
“Mengikut undang-undang, kami perlu menggali mayat itu dan mengenal pasti ia milik siapa – kalau-kalau ahli keluarga atau saudara maranya sedang mencari beliau,” kata Santi. “Saya tidak tahu mengapa mereka menolak permintaan kami. JIka itu bukan mayat suaminya …saya tidak tahu mengapa mereka ingin menyimpan mayat itu.”
Balu Yahree, Nuraining Deromae, pada Sabtu berkata isu mengenai identiti mayat itu sudah berakhir.
Pada Isnin, beliau memaklumkan BenarNews: “Mayat itu adalah suami saya, jadi saya telah mengambil untuk melakukan upacara pengebumian. Saya tidak tahu perkara lain selain itu.”
Sebelum ini, Nuraining telah menggelarkan pihak pendakwaan sebagai pembunuh. Mayat itu, yang didakwa menunjukkan tanda-tanda bahawa ia telah diseksa, telah ditemukan pada 29 Sept dan disimpan di rumah mayat Hospital Sungai Kolok.
Semasa berkunjung ke hospital itu buat kali kedua pada 3 Okt lepas, Nuraining telah mengenal pasti parut di bahagian kakaki mayat itu sebagai menyerupai tanda yang terdapat pada badan Yahree.
Keluarga Yahree kemudian menuntut mayat itu dan mengebumikannya di tanah perkuburan Pahong Guepus di Sungai Padi sebelum ujian DNA dilakukan, kata para pegawai.
Polis berkata mereka memerlukan sampel tulang belakang untuk melakukan ujian DNA yang sempurna di hospital Universiti Prince of Songkla. Tisu yang sudah reput daripada mayat lelaki kembung itu tidak boleh diterima untuk ujian tersebut, kata Kolonel Prushaya Baiteh, ketua balai polis di Sungai Kolok.
Seorang lagi pegawai kanan polis berkata kes itu belum berakhir kerana autopsi asal hanya melakukan sebahagian sahaja prosesnya.
“Autopsi utama adalah tidak lengkap kerana mayat itu tidak dikenal pasti,” kata Leftenan Jeneral Nanthadej Yoinual, yang mengetuai pasukan polis di Selatan Thailand. Beliau enggan menyatakan langkah lain yang boleh diambil oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti mayat itu.
Dakwaan yang tersebar
Pihak berkuasa mendakwa Yahree telah bersembunyi di Malaysia dan menambah bahawa beliau dikehendaki bagi beberapa siri jenayah termasuk kes bakar khianat serta curi kenderaan di sekitar Narathiwat kira-kira empat atau lima tahun lepas.
BRN mendakwa Yahree telah diculik oleh sekumpulan anggota pasukan keselamatan Thailand dari sebuah pekan kecil di Rantau Panjang dalam negeri Kelantan di Malaysia yang terletak berhampiran sempadan Thailand.
Tentera Thailand telah menafikan mempunyai peranan dalam penculikan itu manakala polis hanya mendiamkan diri mengenai siasatan yang dijalankan.
“Kami telah cuba mencari pelakunya namun gagal setakat ini,” kata seorang detektif polis yang enggan dikenali kerana beliau tidak diberikan kuasa untuk bercakap kepada media kepada BenarNews pada Isnin. Detektif itu enggan memberikan butiran lanjut mengenai siasatan tersebut.
Sejak puak pemisah menghidupkan semula pemberontakan di Selatan Thailand pada Januari 2004, sekurang-kurangnya 7,344 orang terbunuh manakala 13,641 lagi cedera dalam keganasan yang berlaku di wilayah sempadan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu, demikian menurut data setakat Mac 2022 oleh Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.
Para pegawai kerajaan Thailand dan BRN telah memulakan rundingan damai yang dipelopori oleh Malaysia pada awal 2020. Kesemua perbincangan ini adalah susulan rundingan selama bertahun-tahun antara pihak kerajaan Thailand dengan MARA Patani, penaung yang menghimpunkan kumpulan pemberontak di Selatan Thailand termasuk BRN.