Kafe moden ubah budaya kehidupan di selatan Thailand
2024.09.27
Yala, Thailand
Peralihan budaya sedang berlaku di Yala, salah satu wilayah di selatan Thailand, di mana kedai-kedai teh yang sudah berakar umbi sejak sekian lama berdepan dengan kerancakan kemunculan kafe yang lebih moden.
Di premis tradisional Kedai Teh (dikenali oleh orang tempatan sebagai Keda Tae) di bandar Yala, orang ramai boleh melihat lelaki tua membaca surat khabar bercetak dan menghirup secawan teh atau berteleku sambil bermain dam 'haji' dengan menggunakan penutup botol minuman soda.
Kedai-kedai teh gaya Melayu ini merupakan pusat kehidupan masyarakat yang telah lama wujud dan ia menjadi satu ruang sosial di mana kebanyakan pelanggan lelaki berkumpul bagi berkongsi berita dan bergembira antara satu sama lain.
Namun perkembangan terkini kedai tradisional itu menghadapi persaingan dari kafe kopi yang dilengkapi kemudahan wi-fi dalam memenuhi keperluan pelanggan lebih muda dan mempunyai kepelbagaian termasuk hipster dari era digital.
“Kedai teh telah menjadi ruang sosial yang penting bagi kami,” kata guru sejarah Ihsan Tuwaeside kepada BenarNews.
“Sukar untuk membayangkan komuniti kita tanpa mereka.
“Kedai teh kami menggunakan penapis kain dengan pelbagai adunan teh dan menyediakan teko air panas yang dicampur teh nipis di atas meja untuk diisi semula oleh pelanggan.
“Malah terdapat kedai yang menawarkan air rebusan halia atau pandan, bergantung kepada resipi mereka,” katanya.
Pemerhati berkata, pertembungan budaya antara kedai teh dan kedai kopi mencerminkan perubahan sosial lebih luas berlaku di rantau Melayu Islam di sepanjang sempadan dengan Malaysia dan berlatarbelakangkan pemberontakan yang berpanjangan.
Perbualan pelanggan sering menyentuh tentang politik tempatan dan poster kempen menjelang pilihan raya banyak ditampal di kedai teh di Yala, selatan Thailand, 7 September 2024. [Muhammadfaton Mateh/BenarNews]
Sebahagian kedai teh masih dibuka sehingga lewat malam atau pada awal pagi bagi memenuhi keperluan pelanggan lebih tua yang datang untuk menonton berita, aksi tinju atau perlawanan bola sepak.
Selebihnya dibuka selepas solat Subuh, sekitar pukul 6 pagi dengan menyajikan hidangan sarapan seperti nasi kerabu, bubur nasi, lempeng (penkek tradisional) dan nasi goreng.
“Sebelum era telefon pintar, [kedai ini] menyediakan surat khabar dan menjadi ruang untuk sembang sosio-politik.
“Kadang-kadang mereka bertindak sebagai pihak atas pagar untuk perdamaian politik semasa pilihan raya,” kata Sulaiman Maja, seorang sukarelawan perhubungan masyarakat dan tetap di Kedai Teh di Yala kepada BenarNews.
Budaya kedai teh sudah tertanam di bandar Yala sehinggakan ia mempunyai lebih 50 buah premis yang terselerakan di hampir setiap sudut jalan dan menjadi landskap fabrik tempatan.
“Ruang kedai teh menjadi kawasan untuk membina rangkaian bagi memastikan keselamatan dan keselamatan hidup.
“Ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk bersantai malah menjadi sumber harapan dan laluan untuk mewujudkan keselamatan dan keselamatan untuk penduduk di wilayah selatan,” kata saintis sosial dan arkitek Purin Rueanghiran dalam tesis sarjana untuk Universiti Silpakorn yang diserahkan pada 2022.
Perubahan generasi
Kebangkitan Internet telah membuka jalan kepada pembukaan kafe moden yang menarik generasi muda dan tenaga kerja profesional.
“Sekarang kami mempunyai lebih 100 buah kafe di Yala,” kata Kittisak Pattani yang dikenali oleh orang tempatan tempatan sebagai Ma Fu, pemilik The Hooman.
Diasaskan hampir sedekad lalu, The Hooman merupakan salah satu kafe pertama di bandar tersebut.
“Orang ramai melihatnya sebagai zon selamat terutamanya dalam persekitaran sensitif keselamatan kami,” kata Kittisak kepada BenarNews.
Kafe-kafe ini telah menjadi tempat tumpuan para pekerja bebas dan penulis serta mereka yang ingin mengikuti perkembangan terkini sosial dan politik, katanya.
Banyak kafe yang menawarkan kemudahan sumber elektrik, akses Internet dan pendingin hawa untuk menarik pelanggan pelbagai tugas yang bekerja atau belajar sambil berehat.
Pemandangan kafe di Yala telah menjadi pelbagai, menawarkan segala-galanya daripada mesin espreso standard hingga menggunakan pembancuh kopi Moka yang moden. Mesin espreso yang ditekan menggunakan tangan dan kaedah titisan.
Kafe moden tersebut menawarkan pelbagai jenis minuman kopi, daripada espresso hingga latte dan minuman mocha serta minuman dan makanan ringan lain.
Ketika purata minuman di kedai teh tradisional dijual pada harga kira-kira 10 hingga 20 baht (AS30 sen hingga 60 sen) secawan, kedai kopi baharu menawarkan minuman yang harganya jauh lebih tinggi iaitu purata kira-kira 50 hingga 70 baht (AS$1.40 hingga AS$2) secawan.
Ma Fu berkata kedainya, The Hooman telah menjual purata 100 hingga 200 cawan kopi setiap hari dengan menjana jualan harian kira-kira 10,000 baht (AS$305). Walaupun dengan peningkatan jumlah kafe di Yala, The Hooman mampu menjual sekurang-kurangnya 40 hingga 50 cawan setiap hari.
Pemilik kedai Asan Doni menyediakan minuman kopi untuk pelanggannya di Yala, selatan Thailand, 14 September 2024. [Asmadee Bueheng/BenarNews]
Kewujudan Universiti Yala Rajabhat di bandar itu juga membantu memacu trend budaya kafe. Seorang pemilik kedai kopi kecil berkata pelanggan utamanya ialah pelajar, aktivis dan penjual pakaian dalam talian.
“Jika pasaran dalam talian berjalan lancar, kedai turut sibuk. Kedai kopi terutamanya membuka ruang untuk pekerja dalam talian,” kata Asan Doni kepada BenarNews.
Pada April lalu, pegawai tempatan menganjurkan festival 'Coffee Run Yala' pertama dengan menghimpunkan pemilik kedai kopi, penanam kopi dan pemanggang biji kopi.
Kira-kira 10,000 penduduk menyertai larian amal itu, mencerminkan peningkatan populariti kafe moden.
Wanita muda lebih suka kafe
Kebangkitan budaya kafe moden di Yala bukan hanya tentang perubahan dalam pilihan minuman, ia juga mewakili anjakan ketara dalam dinamik social terutamanya bagi golongan wanita.
Selama bertahun-tahun, semakin ramai wanita selatan Thailand keluar bekerja, menjadikan satu keperluan bagi menyediakan untuk ruang untuk bertemu, bertukar-tukar idea, atau sekadar meluahkan perasaan.
Kafe moden ini telah muncul sebagai tempat yang bersedia untuk menampung perubahan zaman ini, membawa kepada peningkatan pesat dalam jumlahnya dalam tempoh tiga hingga empat tahun lalu, kata seorang pelanggan kepada BenarNews.
Sekumpulan penjual pakaian vintaj dalam talian minum kopi selepas membeli-belah pakaian di Pasar Maprao, Yala, selatan Thailand, 14 September 2021. [Asmadee Bueheng/BenarNews]
Sebagai perbandingan, norma budaya tertentu di selatan Thailand telah menjadikan kedai teh sebagai ruang untuk didominasikan oleh golongan lelaki yang secara tidak langsung meminggirkan wanita, kata pemilik kafe Ma Fu.
“Secara budaya, ia dianggap ganjil bagi wanita untuk berada di kedai teh,” katanya.
“Terdapat tanggapan bahawa wanita perlu berada di dapur. Kedai-kedai teh dengan cerek berasap kekal menjadi ruang bagi lelaki dan warga emas.
“Bagaimanapun, kedai kopi telah menjadi ruang untuk generasi baharu dan golongan wanita serta dilihat sebagai bergaya.”
Asma Tanyongdaoh, seorang pekerja tidak berasaskan keuntungan dan penaung kafe, bersetuju bahawa kedai teh dan kafe mewakili ruang sosiobudaya yang berbeza di bandar.
“Ketika muda, saya masih ingat pergi ke kedai teh kampung bersama datuk dan bapa saya,” katanya.
“Tetapi apabila saya semakin dewasa, terdapat sesuatu perkara yang membuatkan saya rasa tidak sepatutnya duduk di kedai teh.
“Walaupun seluruh keluarga kami penggemar teh dan saya meminati politik, terdapat sesuatu membuatkan saya rasa bahawa kedai teh adalah untuk lelaki, menjadikan politik seolah-olah topik khusus lelaki.”
Semasa Yala mengharungi peralihan budaya ini, masa depan kedai teh tradisional masih tidak menentu.
Walaupun sesetengahnya telah ditutup dan ada yang telah berubah menjadi kafe untuk memenuhi keperluan generasi muda, sekurang-kurangnya seorang peniaga berkata kedai teh dan kafe moden boleh wujud bersama, melayani demografi dan keperluan sosial yang berbeza.
“Bagi saya, kedai teh tidak bersaing dengan kafe. Kedai teh mempunyai kelompok pelanggan yang khusus dan tidak berubah,” kata pemilik kedai teh, Ihsan.
“Kedai kopi telah membuka ruang kepada generasi baharu dan berfungsi sebagai tempat pertemuan wanita. Ia adalah ruang yang nampaknya terlepas daripada norma budaya bahawa wanita yang baik perlu kekal di rumah. Jadi, kedua-duanya berbeza.”