Pemimpin Thailand, Malaysia Ikrar Bawa Keamanan Di Selatan Thailand

Wilawan Watcharasakwet & Nontarat Phaicharoen
2018.10.24
Bangkok, Thailand
181024-TH-MY-mahathir-620.jpg Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, (kiri) dan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha, mengadakan sidang media bersama di Rumah Kerajaan di Bangkok, 24 Okt 2018.
[Nontarat Phaicharoen/BeritaBenar]

Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperluas ruang kerjasama dua hala bagi membendung pemberontakan di sempadan bersama mereka selepas masing-masing menukar perunding damai, dan semasa memulakan lawatan ke Bangkok pada Rabu, Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, berjanji untuk membantu menyelesaikan konflik tersebut.

Mahathir, yang berusia 93 tahun, bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha, dalam lawatan negara pertamanya ke Thailand sejak menyandang semula jawatan perdana menteri lima bulan lalu.

"Sekarang, anda menghadapi masalah di selatan dan kami berikrar untuk membantu dalam apa sahaja cara yang mampu untuk menamatkan keganasan ini," kata Mahathir pada sidang berita bersama-sama Prayuth di Rumah Kerajaan.

Sejak 2013, Malaysia telah menjadi pemudah cara bagi pelbagai rundingan damai antara Thailand dan pemberontak yang melancarkan perang pemisah di Selatan Thailand.

Beberapa minggu lalu, Thailand dan Malaysia telah menggantikan ketua perunding utama dalam rundingan damai itu manakala MARA Patani, kumpulan induk yang berunding bagi pihak beberapa kumpulan dan puak pemberontak, pula menyatakan bahawa ia menerima penyertaan beberapa kumpulan baru dan menamakannya semula sebagai MARA Patani Plus. Bagaimanapun, jurucakap MARA enggan memberitahu nama kumpulan yang menyertai kumpulan induk itu.

"Tiada masalah yang berlaku antara Thailand dan Malaysia. Malah, kita mempunyai sejarah kerjasama yang utuh apabila Malaysia menghadapi masalah keganasan sebelum ini, "kata Mahathir, yang memimpin Pakatan Harapan untuk mengalahkan gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei.

"Thailand telah membantu dalam banyak cara untuk menamatkan kegiatan itu dan kami amat berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Thailand," katanya, yang merujuk kepada pemberontakan komunis yang mengganas di sempadan Malaysia dan Thailand beberapa dekad lalu.

Prayuth pula mengesahkan bahawa perbincangan bagi menyelesaikan konflik pemisah itu akan diteruskan dengan Malaysia masih berperanan sebagai perantara keamanan.

"Saya berpendapat bahawa ini adalah demi kepentingan utama Thailand dan Malaysia, dan untuk rantau ini, keadaan di wilayah sempadan Selatan mestilah diselesaikan," kata Prayuth. "Bagaimanapun, ia akan dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Thailand."

Perbincangan antara pihak junta dan MARA bermula pada pertengahan 2015. Ia menyusuli beberapa perbincangan antara kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Barisan  Revolusi Nasional (BRN) dengan kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Rundingan sebelum itu terhenti pada Disember 2013 dan kerajaan Yingluck telah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Prayuth, panglima angkatan tentera, pada Mei 2014.

Pada sidang berita Rabu, Prayuth berkata, negara-negara jiran akan mengembangkan ruang kerjasama mereka termasuk pembangunan ekonomi dan usaha untuk menangani keganasan merentas sempadan, ekstremisme dan jenayah transnasional.

"Ketika kita mahu memulakan babak baru dalam hubungan Thailand-Malaysia, saya mencadangkan supaya kedua-dua belah pihak meningkatkan kerjasama ekonomi kita ke tahap 'Perkongsian Ekonomi Strategik Diperluaskan.'"

"Dalam hubungan ini, kedua-dua negara akan bersama-sama menggalakkan projek-projek kerjasama yang telah ditangguhkan, ada beberapa di antaranya, dengan memberi penekanan khusus kepada pembangunan kawasan sempadan, kesalinghubungan, perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua pihak," kata Prayuth tanpa memperincikan  projek-projek berkenaan.

Lebih banyak keganasan di Selatan

Sehari sebelum lawatan rasmi Mahathir, polis menyatakan suspek pemberontak melancarkan serangan bom tangan di sebuah kedai tayar di Yala, sebuah wilayah di Selatan Thailand. Tiada siapa yang cedera.

Dalam reaksi terhadap serangan itu, Zachary Abuza, seorang kolumnis BeritaBenar dan pakar mengenai Selatan Thailand, memberitahu bahawa ia adalah pengeboman pertama yang dilakukan di wilayah itu sejak 9 Sept.

"Pada malam menjelang pertemuan Malaysia-Thailand, ia  seolah-olah BRN mahu menghantar isyarat," kata Abuza dalam catatan Twitter pada Rabu.

Pada Rabu juga, seorang pemimpin berusia 58 tahun di Talubo, perkampungan berkelompok di wilayah Patani, ditembak di dada dan kakinya tetapi berada dalam keadaan selamat, kata polis sambil memberitahu bahawa seorang wanita berusia 52 tahun, juga ditembak di kakinya, turut berada dalam keadaan selamat.

Anggota kumpulan aktivis, "Deep South Peaceful Thais," memegang sepanduk di luar pejabat Konsulat Malaysia wilayah Songkhla di Selatan Thailand, yang mendesak Malaysia supaya berhenti menyokong pemberontak, 24 Okt 2018. (Mariam Ahmad/BeritaBenar)

Bantahan rakyat Thailand


Di wilayah Songkhla pada Rabu, kira-kira 30 aktivis kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Deep South Peaceful Thais’ berhimpun di luar pejabat Konsulat Malaysia bagi menyerahkan surat bantahan kepada konsulat jeneral, dengan mendesak negara itu supaya berhenti menyokong pemberontak yang dalam buangan.

Ramai pemberontak Selatan Thailand dipercayai mendapatkan perlindungan di seberang sempadan di utara Malaysia.

Kumpulan itu menggesa kerajaan Malaysia "supaya menangkap penjenayah, semua militan, pemimpin atau penyokongnya yang melakukan kejahatan di Thailand," kata pemimpin kumpulan, yang enggan dikenali.

"Selepas melakukan serangan, mereka melarikan diri dan bersembunyi di Malaysia - pangkalan mereka setelah melakukan keganasan terhadap rakyat Thailand," katanya.

Beliau dan kumpulan itu beramai-ramai memegang sepanduk dalam bahasa Thai dan Inggeris yang tertera "Malaysia, tolong jangan tawarkan perlindungan kepada penjenayah  Thailand."

Sementara itu, penganalisis Selatan Thailand mengingatkan para pegawai supaya mengambil langkah-langkah positif dalam usaha mencapai keamanan.

"Untuk menjadikan proses damai itu bermakna bagi penduduk di Selatan Thailand, Malaysia harus menghantar mesej yang jelas kepada pemberontak pemisah BRN bahawa mereka mesti segera berhenti menyerang orang awam dalam perjuangan bersenjata mereka menentang Thailand," kata Sunai Phasuk, seorang penyelidik kanan Thailand kepada BeritaBenar.
"Untuk itu, Malaysia mesti berhenti membantu  pemberontak yang bertanggungjawab melakukan pencabulan hak asasi manusia yang serius."

BRN, kumpulan pemberontak bersenjata yang paling besar di Selatan, mengawal hampir semua pejuang di wilayah itu dan mengkritik proses damai antara MARA Patani dan kerajaan tentera Thailand, dengan menyatakan bahawa ia mahu berunding secara langsung dengan Bangkok.

"Sebaliknya, Malaysia harus menegaskan kepada Bangkok bahawa sesuatu proses damai  memerlukan kepercayaan dan keyakinan penduduk etnik Melayu Islam, yang tidak akan berlaku selagi pasukan keselamatan Thailand menggunakan taktik tidak adil dan melakukan operasi sewenang-wenangnya," kata Sunai.

Pemberontakan sejak puluhan tahun lalu di Selatan Thailand yang diduduki mereka yang beragama Islam dan berbahasa Melayu - yang merangkumi wilayah Narathiwat, Patani dan Yala, serta empat daerah Songkhla – telah menyebabkan  hampir 7,000 orang terbunuh sejak ia tercetus semula pada  2004.


Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.