Malaysia, Thailand Bincang Isu Babitkan Nelayan
2018.08.20
Kuala Lumpur & Narathiwat, Thailand
Malaysia dan Thailand sedang berunding untuk menyelesaikan pertikaian melibatkan sempadan barat kedua-dua negara itu, yang menyaksikan setiap pihak menahan empat rakyat dari negara masing-masing di Laut Andaman pada Ahad.
Pegawai Malaysia mendakwa perompak, yang dipercayai rakyat Thailand, telah menculik empat nelayan Malaysia berhampiran Langkawi, sebuah pulau peranginan yang bersempadan dengan Satun, wilayah di selatan Thailand. Keempat-empat ‘lanun’ itu kini dalam tahanan pihak berkuasa Malaysia.
Pegawai Thailand pula mendakwa tiga anggota polis dan seorang penduduk kampung diserang oleh sekumpulan rakyat Malaysia selepas penduduk Satun cuba mengusir nelayan dari negara jiran itu keluar dari perairan Thailand, dan dapat menahan empat daripadanya.
"Kami berbincang untuk membawa pulang rakyat masing-masing secepat mungkin. Ia perbincangan yang baik, " kata Gabenor Satun, Pattarapon Ratanapicjatechai, merujuk kepada pertemuan dengan Konsul Jeneral Malaysia di Songkla dan seorang pegawai dari Pejabat Perdana Menteri Malaysia.
"Pegawai kami akan ke tempat kejadian untuk menyiasat. Insiden itu mungkin berlaku akibat salah faham,” katanya sambil memberitahu bahawa pihak berkuasa Thailand sedang menyiasat kejadian itu.
Selain itu, tujuh anggota serta seorang ketua kampung digantung tugas mereka bagi membolehkan siasatan telus dijalankan.
Dakwaan menceroboh
Polis Thailand mengenal pasti empat rakyat Malaysia itu sebagai Hamzar bin Yaacob, Malik bin Mat, Abdul Rahman bin Omar serta Mohamad Rafi bin Yunus, yang kesemuanya ditahan di balai polis Satun.
Konflik itu berpunca daripada laporan polis tempatan Satun mengenai nelayan Malaysia mencerobohi perairan Thailand selama berbulan-bulan lamanya, yang menimbulkan kemarahan di kalangan penduduk tempatan negara itu, kata polis Thailand.
Tetapi, polis Malaysia melihat kejadian penahanan itu dari sudut penculikan kerana nelayan negara itu didapati berada di perairan Malaysia berdasarkan data Sistem Kedudukan Global (GPS).
Pembantu ketua kampung, Salaeman Endagun, pula berkata: "Kami telah melaporkan kepada polis dan ketua kampung untuk memintas nelayan yang menggunakan bot tempatan di Pulau Sam.
"Ini adalah perbuatan yang salah dan pihak polis memberitahu yang mereka boleh ditangkap tetapi mereka meminta bantuan daripada pegawai Malaysia. Ini adalah perbuatan yang salah, jadi, pihak polis memberitahu yang mereka boleh ditangkap tetapi mereka menghubungi pegawai Malaysia.
"Kami telah memaklumkan kepada pegawai Malaysia bahawa nelayan negaranya menceroboh perairan Thailand tetapi mereka tidak percaya malah merosakkan bot dan menahan empat pegawai Thailand," dakwa Salaeman.
Salaeman memberitahu demikian kepada BeritaBenar dan mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah pulau kecil di luar pantai Satun, yang bertentangan dengan Langkawi di Malaysia.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Langkawi, Mohd Iqbal Ibrahim memberitahu BeritaBenar bahawa beliau tidak menerima sebarang maklumat yang menyatakan empat lelaki yang disyaki lanun itu adalah anggota polis Thailand.
“Lanun yang ditahan itu juga tidak memperkenalkan diri mereka sebagai anggota penguatkuasa dan tidak pun memakai jaket rasmi penguatkuasa," katanya.