Thailand, Pemberontak Selatan Setuju dengan Rangka Kerja bagi Gencatan Senjata Terhad
2017.02.28
Kuala Lumpur & Bangkok
Perunding kerajaan tentera Thailand dan panel yang mewakili kumpulan pemberontak pada Selasa mencapai satu kejayaan kecil dalam perbincangan tinjauan mereka apabila bersetuju dengan rangka kerja bagi gencatan senjata terhad di wilayah Selatan Thailand, kata pegawai daripada kedua-dua pihak.
Pada mesyuarat sehari di Kuala Lumpur yang dikendalikan Malaysia, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memilih satu daripada lima daerah di tiga wilayah di kawasan bergolak itu untuk menjadi apa yang dipanggil sebagai "zon keselamatan" di mana gencatan senjata akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, kata kedua-dua delegasi itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada lewat Selasa.
"Kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk membawa rundingan ini ke hadapan. Itu sahaja yang saya boleh komen, " kata fasilitator Malaysia Ahmad Zamzamin Hashim kepada BeritaBenar.
Ia akan mengambil masa tiga bulan untuk memilih daerah itu dan tiga bulan lagi bagi melaksanakan gencatan senjata terhad mengikut geografi, kata jurucakap MARA Patani, panel yang mewakili pelbagai kumpulan dan puak pemberontak di Selatan Thailand, pada sidang media di Kuala Lumpur selepas mesyuarat pada Selasa.
"Keputusan hari ini adalah satu lagi langkah ke hadapan dengan kami secara bersamanya bersetuju untuk menerima rangka kerja yang telah dilakukan bersama-sama," kata jurucakap MARA Abu Hafiz al-Hakim kepada pemberita.
"Selepas ini, langkah seterusnya adalah untuk menghantar pasukan penilaian bagi melaksanakan tindakan seterusnya," katanya.
Kenyataan hampir sama daripada kedua-dua pihak berkata, mereka akan memilih daerah daripada senarai dua daerah di wilayah Yala, dua di wilayah Narathiwat dan satu di wilayah Pattani.
Kedua-dua pihak itu tidak menyatakan nama kelima-lima daerah yang dipertimbangkan untuk pelaksanaan zon itu tetapi rakyat Thailand beranggapan bahawa pihak tentera akan melindungi perwakilan MARA yang memasuki mana-mana daerah itu dalam tempoh pra-gencatan senjata.
"Thailand akan memberi mereka perlindungan," kata kenyataan itu yang dikeluarkan oleh kerajaan di Bangkok pada petang Selasa selepas delegasi Thailand pulang dari Kuala Lumpur.
Aksara Kerdpol, jeneral tentera yang mengetuai delegasi Thailand, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen pada malam Selasa, tetapi minggu lepas beliau menyatakan bahawa kedua-dua pihak secara umumnya telah menyelesaikan perjanjian mengenai rangka kerja bagi gencatan senjata yang terhad.
"Pada masa ini, semua pihak yang berkepentingan telah bersetuju pada dasarnya untuk mewujudkan [satu] zon keselamatan. Tetapi, akan ada perbincangan bagi merangka garis panduan tentang bagaimana untuk [melaksanakannya] dengan penyertaan penduduk tempatan ... dan menentukan maksud zon keselamatan dan protokol unuk dipatuhi semua pihak, "kata Aksara kepada BeritaBenar.
"Kami akan tunggu dan lihat '
Perjanjian rangka kerja itu dianggap sebagai suatu kejayaan kerana ia menandakan buat pertama kalinya kedua-dua pihak bersetuju untuk membawa isu zon keselamatan ke tahap lebih jauh, selepas mengadakan beberapa pusingan rundingan tinjauan di Malaysia sejak Ogos 2015.
Pelaksanaan zon keselamatan akan dilihat sebagai satu kejayaan dalam usaha rundingan damai rasmi yang bertujuan menamatkan konflik pemisah, di mana hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam kawasan Selatan Thailand, yang majoriti penduduknya adalah orang Islam yang bertutur bahasa Melayu, sejak 2005.
Abu Hafiz bagaimanapun mengakui bahawa MARA perlu memujuk ahli tegar kumpulan pemberontak, yang sesetengah daripada mereka dilaporkan telah menentang proses damai tidak rasmi itu, melalui taklimat di lapangan mengenai prospek pelaksanaan gencatan senjata yang terhad.
"Kami akan tunggu dan lihat hasilnya. Masih terlalu awal untuk membuat ramalan. Beri kami masa untuk melaksanakannya. Jika ini adalah yang terbaik untuk rakyat, maka ia perlu disokong, "kata jurucakap MARA itu.
Satu pasukan teknikal akan melawat lima daerah itu dan mengemukakan cadangannya kepada Kumpulan Kerja Bersama-Kumpulan Kerja Rundingan Damai (JWG-PDP), sebuah badan yang terdiri daripada kedua-dua pasukan rundingan, kakitangan sokongan teknikal mereka, pegawai-pegawai tempatan dan pihak berkepentingan yang lain.
Satu lagi badan yang dikenali sebagai Pasukan Teknikal Bersama (JTT) akan bertanggungjawab untuk menilai keberkesanan "zon keselamatan" itu, yang akan menjadi kes ujian bagi menentukan sama ada konsep itu perlu ditambah baik atau diperluaskan ke kawasan lain dalam Selatan Thailand, kata Abu Hafiz.
'Saya tentukan prosesnya': PM
Di Bangkok pada Selasa, pemimpin junta Thailand dan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha yang mengulas mengenai pusingan terbaru rundingan dengan pemberontak Selatan itu berkata, beliau telah terlibat secara langsung dalam proses tersebut.
"Perdana Menteri perlu tahu tentang rundingan damai daripada peringkat bawahan hinggalah ke atas. Saya menentukan prosesnya untuk perwakilan," kata Prayuth kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan.
"Pencapaian atau kegagalan dalam menubuhkan zon keselamatan akan mencerminkan sama ada mereka yang berunding dengan kami mempunyai kuasa sebenar atau tidak. Jika mereka mempunyai pengaruh, kita boleh membincangkan isu-isu lain,”katanya.