Kerajaan Thailand dan Kumpulan Pemisah Bakal Sambung Rundingan Damai Bersemuka Bulan Depan, kata Sumber
2021.12.23
Kuala Lumpur & Patani, Thailand
Malaysia akan menganjurkan pertemuan bersemuka di antara kerajaan Thailand dan pemberontak BRN selatan negara itu pada bulan depan, yang diadakan buat pertama kalinya sejak hampir dua tahun lalu, kata sumber kedua-dua pihak berkenaan pada Khamis berhubung rundingan bersemuka yang tergendala berikutan penularan pandemik COVID-19.
Rundingan itu akan diadakan tidak lama lagi selepas meningkatnya perbalahan di antara pasukan keselamatan dan kumpulan pemberontak yang dikatakan daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah paling berkuasa di Selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk Islam.
"Kami akan menyambung semula (rundingan) pada Januari jika semuanya berjalan lancar," kata sumber itu, yang tidak dibenarkan bercakap dengan media, kepada BenarNews semasa dihubungi menerusi telefon pada Khamis.
"Ia akan menjadi perbincangan secara bersemuka di Kuala Lumpur."
Wilayah di bahagian selatan negara itu - Narathiwat, Patani dan Yala- yang dirujuk sebagai Selatan Thailand, mempunyai ramai penduduk beragama Islam dan berketurunan Melayu serta terletak bersempadan dengan Malaysia.
Kali terakhir para pegawai kerajaan Thailand dan pemberontak BRN mengadakan perbincangan adalah secara maya pada Februari 2021, dengan dua rundingan secara bersemuka terakhir diadakan di Kuala Lumpur pada Mac 2020.
Ketua perunding Thailand Jeneral Wanlop Rugsanao tidak menjawab panggilan BenarNews bagi mendapatkan komen mengenai perkara itu pada Khamis.
Ketua induk bagi 32 pertubuhan masyarakat awam di Selatan Thailand, bagaimanapun, memberitahu BenarNews bahawa kerajaan Thailand dan BRN berkemungkinan mengadakan pertemuan itu di Kuala Lumpur pada 11 Jan.
"Daripada apa yang kami dengar daripada orang dalam, mesyuarat panel rundingan damai kerajaan Thailand dan BRN akan diadakan di Kuala Lumpur, mungkin pada 11 Jan," kata Ruckchart Suwan, kepada BenarNews melalui telefon pada Khamis, namun enggan menamakan sumbernya.
"Kami adalah sebahagian daripada pihak yang mendesak supaya dilaksanakan penyelesaiannya."
Komander Tentera Darat Wilayah Ke-4 Selatan Thailand yang merangkumi wilayah-wilayah selatan, serta unit operasinya, ISOC-4, terlibat pada "peringkat kerja dan peringkat teknikal" bagi membincangkan kemungkinan penyelesaian secara damai berhubung isu itu dengan sektor swasta dan para pemberontak yang berada di dalam negara ini, kata para pegawai tanpa menberi penjelasan secara lanjut.
Lebih 7,000 orang telah terbunuh di wilayah sempadan selatan sejak BRN dan kumpulan pemisah bersenjata yang lain kembali melakukan pemberontakan berdekad lamanya terhadap Thailand, yang majoriti penduduknya adalah penganut Buddha, sejak 17 tahun lalu.
Peningkatan serangan sejak September
Sementara itu, Ruckchart, yang berpejabat di Yala, mengunjungi Parlimen untuk mengemukakan cadangan bersama-sama seorang ahli pembangkang supaya sebuah jawatankuasa Dewan ditubuhkan untuk "menyusuli perkembangan rundingan damai sedia ada."
"Sejumlah bajet besar telah dibelanjakan untuk melaksanakan banyak perbincangan dan adalah wajar untuk menubuhkan jawatankuasa bagi memantau proses itu," kata Ruckchart.
Parlimen mungkin menyenaraikan cadangan itu untuk dipertimbangkan semasa sesi persidangan akan datang pada awal tahun depan, kata ahli parlimen pembangkang Kamolsak Leewamoh di Parlimen.
Sebulan selepas perbincangan secara bersemuka terakhir diadakan antara pegawai kerajaan Thailand dan wakil BRN, kumpulan pemberontak itu mengisytiharkan gencatan senjata sebelah pihak untuk membolehkan para petugas kesihatan Thailand melaksanakan usaha memerangi pandemik COVID-19.
Walaupun dilaksanakan gencatan senjata - yang tidak pernah diisytiharkan berakhir secara rasmi - beberapa serangan sekali sekala berlaku pada awal tahun ini, yang didakwa dilakukan oleh pemberontak.
Peningkatan ketara serangan itu bermula pada September selepas satu mesej yang dikaitkan dengan BRN disiarkan di laman Facebook dengan menggesa para pejuang supaya "menyambung semula operasi mempertahankan diri" kerana, dakwanya, pasukan keselamatan telah menjalankan "pelaksanaan hukuman mati walaupun ketika negara dilanda masalah COVID."
Pada penghujung bulan itu, tiga kakitangan kerajaan dan seorang suspek pemberontak terbunuh semasa berbalas tembakan di Narathiwat, kata pegawai kerajaan.
Pada Oktober, anggota tentera berkata mereka berjaya menamatkan operasi selama 17 hari untuk mengusir pemberontak yang disyaki pemisah dari kawasan paya yang seluas 35 ekar. Namun, operasi itu membawa kepada kematian empat anggota keselamatan kerajaan dan enam suspek, kata pegawai.
Sejak itu, empat serangan bom melanda Selatan Thailand apabila kumpulan pemisah terbesar itu pada 9 Dis mengumumkan sokongannya kepada penduduk Songhkla yang membantah projek perindustrian di daerah Chana.
Serangan terbaharu yang berlaku pada 13 Dis menyasarkan sebuah kereta api penumpang di Patani sehingga mencederakan tiga orang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam tiga serangan terdahulu.
Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha pada 15 Dis membayangkan bahawa projek Chana mungkin tidak diteruskan jika penduduk tempatan tidak mahukannya semasa "penilaian persekitaran strategik" diadakan nanti dengan merangkumi penyertaan rakyat.