Suspek Pemberontak Kelima Ditembak Mati di Selatan Thailand

Tentera masih menjalankan operasi untuk memaksa pemberontak yang bersembunyi di kawasan paya sejak 28 Sept lepas keluar.
Mariyam Ahmad
2021.10.08
Pattani, Thailand
Suspek Pemberontak Kelima Ditembak Mati di Selatan Thailand Penduduk kampung serta ahli keluarga seorang saspek pemberontak yang ditembak mati pihak berkuasa pada 7 Okt 2021 menghadiri majlis pengebumiannya di Dugu, sebuah kampung dalam daerah Bacho di wilayah Narathiwat, Selatan Thailand, 8 Okt 2021.
[BenarNews]

Pasukan keselamatan menembak mati seorang lagi individu yang disyaki menganggotai kumpulan bersenjata pada Khamis malam dalam operasi di Selatan Thailand yang memasuki hari ke-11 dan menyaksikan empat askar serta lima pemberontak terbunuh setakat ini, kata pegawai kerajaan.

Kolonel Kiatisak Neewong, jurucakap ISOC-4, pusat pemerintahan tentera bagi wilayah itu, berkata bbeliau tidak pasti bila operasi itu boleh dihentikan kerana pemberontak telah menjadikan kawasan paya seluas 35 ekar di perkampungan Hutaelueyo, Narathiwat sebagai tempat persembunyian mereka.

"Terdapat satu lagi insiden berbalas tembakan pada waktu tengah hari semalam dan seorang daripada suspek yang bersembunyi di dalam hutan telah terbunuh. Kami telah mengambil mayat suspek hari ini dan mengembalikannya kepada keluarga," kata Kiatisak kepada BenarNews pada Jumaat mengenai suspek lelaki itu yang dikenal pasti sebagai Maragree Urae, 43.

"Operasi di kawasan hutan paya Hutaelueyo setakat ini menyaksikan lima pemberontak terbunuh - mereka telah dikenal pasti dan semua jenazah mereka telah dikembalikan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan," kata Kiatisak.

Polis dan tentera sebelum ini berkata seramai tujuh pemberontak telah dibunuh sejak operasi itu bermula pada 28 Sept. Mereka kemudian mengubah angka kematian kepada lima dan menyatakan keadaan muka bumi serta kekangan penglihatan menyebabkan sukar untuk mengagak jumlah sebenar yang terbunuh.

Kiatisak berkata antara insiden terbabit ialah pada Ahad lepas yang menyaksikan empat pemberontak maut, bukannya enam. Di pihak pasukan keselamatan Thailand pula, seorang leftenan tentera darat terbunuh dalam insiden berbalas tembakan itu manakala tiga lagi maut dalam pertempuran pada 28 Sept.

Seorang saudara Maragree, individu yang ditembak mati malam semalam, pula mendakwa terdapat maklumat salah mengenai bilangan suspek yang terbunuh.

"Penduduk kampung okay dengan kematian itu. Kami tahu dalam pertempuran, akan berlaku kehilangan nyawa dan mereka memilih untuk mati syahid," kata Mue Yue kepada BenarNews.

"Kami hanya ingin mengebumikan mereka dengan sempurna tetapi pihak berkuasa tidak memberikan kami angka sebenar kematian. Kami terpaksa mendapatkan maklumat dari tempat lain."

Semasa majlis pengebumian Maragree, penduduk kampung dan saudara maranya kelihatan terganggu dengan kematian itu walaupun mereka berkata kesemua pemberontak mati syahid.

Bagaimanapun, Kiatisak mendakwa kumpulan pemberontak telah menghasut mereka dengan menyalurkan maklumat yang salah.

"Saya percaya penduduk kampung tidak berpuas hati kerana kumpulan pemberontak telah mengubah maklumat mengenai operasi di Hutaelueyo bagi membangkitkan perasaan tidak puas hati orang ramai dan merosakkan imej pegawai kerajaan," katanya.

Beliau mendakwa pihak berkuasa telah cuba memujuk pemberontak supaya menyerah diri termasuk dengan membawa ahli keluarga mereka serta pemimpin agama, tetapi gagal.

Siri insiden ganas terbaharu itu bermula selepas mesej yang dikaitkan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dimuat naik ke laman Facebook pada 6 Sept lalu. BRN adalah kumpulan pemberontak bersenjata terbesar di wilayah yang dikenali sebagai Pedalaman Selatan Thailand itu.

Mesej itu mengandungi unsur menggesa para pejuang supaya "meneruskan operasi mempertahankan diri" kerana "pihak keselamatan Siam telah merancang serbuan serta akan melaksanakan pembunuhan walaupun ketika kesukaran berdepan pandemik COVID-19."

Seorang pejuang dan beberapa penganalisis telah mengesahkan bahawa laman Facebook itu mempunyai kaitan dengan pemberontak namun Kiatisak mempersoalkan sama ada ia mewakili kumpulan tersebut.

Pada April 2020, BRN mengumumkan gencatan senjata secara bersendirian bagi membolehkan petugas kesihatan Thailand menjalankan kerja-kerja melawan pandemik.

Pengumuman gencatan senjata itu dibuat sebulan selepas rundingan damai secara bersemuka antara kerajaan Thailand dengan pemimpin BRN ditangguh susulan pandemik. Bagaimanapun, kedua-dua pihak berkata mereka akan bermesyuarat secara dalam talian melalui panel teknikal, dengan negara jiran Malaysia bertindak sebagai fasilitator.

Kali terakhir mesyuarat secara dalam talian diadakan ialah pada Februari, kata Abdul Rahim Noor, penyelaras rundingan damai, ketika mengesahkan perkara itu.

Menurut kumpulan pemikir Deep South Watch yang berpangkalan di Pattani, lebih 7,000 orang terbunuh sejak pertempuran bersenjata meletus semula pada Januari 2004 di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.