Pegawai Tentera, Pemberontak Terbunuh Dalam Pertempuran di Selatan Thailand
2021.10.03
Pattani & Narathiwat, Thailand
Sekurang-kurangnya enam pemberontak pemisah dan seorang leftenan Tentera Thailand terbunuh dalam satu pertempuran pada Ahad di Selatan Thailand, di mana pasukan kerajaan telah mengepung suspek pemberontak di sebuah kawasan paya sejak beberapa hari lalu, kata pegawai tentera.
Mayat empat lelaki yang disyaki pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) telah diambil dari lokasi pertempuran itu, yang berlaku sebelum subuh dan berakhir sebelum tengah hari di dalam kawasan paya di dan sekitar Hutaelueyo, iaitu sebuah perkampungan di daerah Bacho, Wilayah Narathiwat, kata jurucakap tentera kepada BenarNews.
"Pemberontak melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa bagi memecahkan pengepungan dan saling berbalas tembakan sehingga menyebabkan kematian Leftenan Krisana Petchchamrus yang berusia 38 tahun," kata Kolonel Kiatisak Neewong, jurucakap ISOC-4 iaitu Pemerintah Wilayah Tentera.
Sehingga Ahad, sekurang-kurangnya tiga pemberontak masih bersembunyi di kawasan itu dan pasukan kerajaan belum dapat mengeluarkan dua lagi mayat daripada enam suspek BRN yang dipercayai terbunuh dalam pertempuran itu, katanya.
"Kami dapat mengusung keluar empat mayat pemberontak dan menghantarnya ke hospital pada 6 petang. Ada sekurang-kurangnya dua lagi mayat yang belum dapat dikeluarkan. Mereka terbunuh dalam kawasan hutan tebal dan kawasan itu belum selamat buat kami,” kata Kiatisak.
Menurut audio dalam rakaman yang diperoleh BenarNews daripada sumber yang rapat dengan BRN, pada satu ketika semasa pertempuran itu, pemberontak didengar seperti melaungkan "Allahu Akbar" dan menyatakan bahawa mereka kehabisan peluru.
Susulan kematian leftenan tentera berkenaan dalam kejadian sebelum subuh itu, pertempuran berlarutan sehingga lewat pagi, kata Kolonel Kiatisak. Pada kira-kira 10 pagi, pegawai keselamatan menghantar rombongan pemimpin agama, pemimpin tempatan dan saudara pemberontak berkenaan sebagai usaha memujuk mereka supaya menyerah diri namun ia tidak berhasil, kata jurucakap ISOC-4.
"Berlaku tembak menembak dan enam daripada mereka terbunuh. Kami merampas satu senapang AK dan dua senapang M-16 serta dapat menangkap seorang daripada mereka,” kata Kiatisak.
Di kawasan lain di Selatan Thailand pada pagi Ahad itu, dua anggota tentera cedera apabila bom meletup di tepi jalan ketika mereka dan anggota tentera lain sedang melakukan rondaan berjalan kaki di Bannang Sata, iaitu daerah di Wilayah Yala. Mereka dikerahkan ke kawasan itu semalam untuk memeriksa CCTV yang dipercayai telah dirosakkan oleh pemberontak, kata pegawai.
Anggota tentera yang cedera itu telah dihantar ke hospital dan dilaporkan selamat, kata pegawai.
Anggota tentera meletakkan dua rakan mereka dalam sebuah trak pikap setelah mereka tercedera akibat pengeboman di tepi jalan di Ngo-gabo, sebuah perkampungan di Bannang Sata iaitu daerah dalam Wilayah Yala, Selatan Thailand, 3 Oktober 2021. [BenarNews]
Di Bacho, Leftenan Krisana terbunuh apabila peluru terkena pipinya sebelum menembusi kepalanya, kata Kiatisak.
“Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Ini adalah kematian kedua di pihak kami,” kata Kiatisak kepada BenarNews.
Kiatisak merujuk kepada seorang anggota tentera yang terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak di daerah yang sama pada 28 September lalu, ketika pasukan gabungan tentera dan polis mula mengepung suspek BRN di kawasan paya seluas 35 ekar itu.
Pada Selasa, polis menyatakan bahawa seorang pemberontak terbunuh semasa pertempuran di Bacho pada hari tersebut. Tetapi pada Rabu, pegawai tentera tidak dapat mengesahkan maklumat itu walaupun, kata mereka, anggota tentera dapat melihat mayat seorang pemberontak yang dipercayai terbunuh dalam pertempuran pada 28 September itu.
Operasi bersama untuk menangkap suspek BRN itu, yang bersembunyi di kawasan paya gambut tersebut, masih berterusan selepas senja Ahad, kata para pegawai.
"Malam ini, para pegawai sedang mengawasi tempat kejadian. Kami percaya ada tiga lagi pemberontak,” kata Kiatisak.
"Pasukan mereka mungkin sudah pun kehabisan bekalan."
Pada Ahad, terdapat satu mesej dimuat naik dalam laman Facebook pro-BRN bagi memberi penghormatan kepada "enam anggota yang syahid" setelah terbunuh dalam pertempuran pada hari itu di Narathiwat, iaitu wilayah yang penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu di Selatan Thailand, di mana pemberontakan terus berlaku sejak beberapa dekad lalu.
"Kami yang masih ada 5 orang lagi," menurut mesej itu yang ditulis dalam Bahasa Melayu. "Kami akan tetap melawan musuh kafir Siam."
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha yang juga bekas ketua tentera Thailand, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Leftenan Krisana Petchchamrus.
Perdana Menteri turut memerintahkan pasukan keselamatan di wilayah bergolak sempadan selatan itu supaya proaktif dalam mengumpulkan maklumat risikan dan meningkatkan keupayaan untuk membanteras lebih banyak keganasan oleh pemberontak BRN, yang dilihat meningkatkan serangan mereka sejak beberapa minggu lalu, menurut pegawai pertahanan Thailand.
Pada pertengahan September, kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kekesalannya apabila kabinet Prayuth melanjutkan tempoh darurat selama tiga bulan lagi di wilayah Selatan Thailand yang dikuasai tentera. Ini adalah kali ke-65 pihak kerajaan memberikan kuasa darurat kepada tentera untuk melakukan penangkapan tanpa waran di wilayah sempadan.
Kuasa darurat di kawasan selatan dilanjutkan setelah BRN - kumpulan pemberontak terbesar dan paling kuat di Selatan Thailand - dilihat memperbaharui gesaan kembali kepada senjata pada awal September.
Mesej yang dikaitkan dengan BRN itu telah dimuat naik di laman Facebook pada 6 September dan menggesa para pejuang supaya "meneruskan operasi mempertahankan diri" kerana, menurutnya, "pasukan keselamatan Siam telah meningkatkan tindakan serbuan dan melaksanakan hukuman mati walaupun semasa tempoh sukar akibat COVID."
Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.