Malaysia bakal lantik bekas panglima tentera sebagai fasilitator baharu rundingan damai Selatan Thailand

Sumber berkata kerajaan Anwar Ibrahim akan melantik Zulkifli Zainal Abidin untuk menggantikan Abdul Rahim Noor.
Muzliza Mustafa
2023.01.04
Kuala Lumpur
Malaysia bakal lantik bekas panglima tentera sebagai fasilitator baharu rundingan damai Selatan Thailand Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral (B) Zulkifli Zainal Abidin dilihat berada di pejabat Majlis Keselamatan Negara, Putrajaya, Malaysia pada 3 Jan 2023.
[Ihsan Majlis Keselamatan Negara]

KEMASKINI pada 7 petang waktu tempatan ETS - 2023-01-04

Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dijangka menamakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia sebagai fasilitator baharu bagi mengelolakan rundingan damai di Selatan Thailand sekali gus menggantikan Abdul Rahim Noor yang dilantik pada 2018, demikian menurut sumber kepada BenarNews pada Rabu.

Zulkifli Zainal Abidin, 65, akan mengambil alih tugas Abdul Rahim sebagai fasilitator dalam rundingan yang bertujuan menamatkan pemberontakan puak pemisah di wilayah Selatan Thailand bersempadan dengan Malaysia, kata Anas Abdul Rahman dan satu lagi sumber yang mempunyai kaitan rapat dengan rundingan damai itu.

Anas, yang merupakan Ketua Perunding daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN) iaitu kumpulan pemberontak paling berpengaruh di Selatan Thailand, berkata mereka sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Kami telah dimaklumkan secara tidak rasmi mengenai perubahan itu dan fasilitator (yang baharu) ialah Zulkifli," katanya.

Satu lagi sumber turut memaklumkan perkara sama kepada BenarNews.

"Ya, pertukaran fasilitator baharu telah disahkan. Beliau adalah bekas panglima tentera Zulkifli Zainal Abidin.

"Beliau akan membuat satu lawatan ke Bangkok bagi memperkenalkan dirinya secara formal kepada kerajaan Thailand," tambahnya tanpa mendedahkan tarikh lawatan itu dan hanya berkata ia akan dilakukan tidak lama lagi.

Pemerintah tentera di selatan Thailand Jeneral Santi Sakuntanak pula berkata beliau sedia maklum mengenai pelantikan Zulkifli bagi menggantikan Abdul Rahim.

"Kami tahu mengenai perkara itu dan kami sedang menyelaraskannya," kata beliau kepada BenarNews.

Zulkifli, yang merupakan seorang penembak tepat terlatih serta pakar senjata taktikal dan operasi antipemberontakan, telah berkhidmat dalam angkatan tentera lebih empat dekad sebelum bersara pada 2020.

Beliau memulakan karier dalam tentera darat pada 1978 dan menjadi panglima pada 2011 sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera semasa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir Mohamad pada 2018.

Ketika dihubungi BenarNews mengenai pelantikan beliau sebagai fasilitator baharu bagi rundingan damai itu, Zulkifli tidak mengesahkannya dan berkata “saya tidak boleh komen apa-apa, tunggu pengumuman PM.”

Rundingan antara wakil kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak dari wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam itu telah ditangguhkan secara tidak rasmi selepas Malaysia, yang sekian lama mengendalikan proses damai itu, mengadakan pilihan raya umum pada November lepas.

Kali terakhir kedua-dua pihak bertemu ialah pada Ogos lepas.

Perdana Menteri Malaysia yang baharu dilantik, Anwar Ibrahim, telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan. Bagaimanapun, kedua-dua kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hala tuju rundingan damai itu setakat ini.

Tarikh rundingan seterusnya masih belum dipastikan meskipun Abdul Rahim memaklumkan BenarNews pada minggu kedua Disember lepas bahawa ia akan diadakan dalam bulan Januari.

Selepas Anwar dinamakan sebagai Perdana Menteri, penganalisis memaklumkan BenarNews bahawa mereka menjangkakan proses rundingan damai yang sebelum ini bergerak perlahan tanpa membuahkan sebarang hasil itu akan mendapat lonjakan baharu kerana pemimpin berkenaan amat berminat dengan isu tersebut.

Para pemerhati juga telah menjangkakan bahawa Anwar akan menggantikan Abdul Rahim yang pernah menumbuk mata beliau ketika di penjara pada 1998 selepas Mahathir memecatnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Peristiwa itu dikenali sebagai 'insiden mata lebam.'

Abdul Rahim telah dilantik sebagai fasilitator pada 2018 dan perkara itu mendapat tentangan parti pimpinan Anwar yang merupakan sebahagian daripada gabungan politik yang membentuk kerajaan pimpinan Mahathir ketika itu.

BenarNews menghubungi Abdul Rahim melalui panggilan telefon dan pesanan teks pada Rabu namun tidak mendapat sebarang balasan.

'Amat berpengalaman'

Sementara itu, Zulkifli telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad pada Selasa. MKN adalah agensi yang mengetuai inisiatif Malaysia dalam mengelolakan rundingan damai Selatan Thailand.

Rodzi berkata beliau dan Zulkifli telah berbincang mengenai banyak perkara termasuk pengukuhan keselamatan negara.

“Dalam kunjungan itu, banyak perkara telah dibincangkan termasuk langkah mengukuhkan pengurusan keselamatan negara dengan menekankan situasi kedamaian, kesejahteraan dan keselamatan.

“Kami berharap Yang Berbahagia Tan Sri (Zulkifli) yang berpengalaman luas dan kini merupakan pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia masih terus dapat memberi sumbangan untuk kebaikan negara,” menurut beliau dalam satu hantaran di media sosial.

Perjuangan puak pemisah bersenjata dari wilayah Selatan Thailand menentang negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha itu telah bermula pada 1960-an.

Selatan Thailand terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla.

Sejak pemberontakan dihidupkan semula pada Januari 2004, lebih 7,344 orang terbunuh manakala 13,641 lagi cedera dalam keganasan di seluruh wilayah sempadan itu, yang kebanyakannya beragama Islam dan berbahasa Melayu, demikian menurut data yang dikemas kini setakat Mac 2022 oleh Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Nisha David dan Noah Lee di Kuala Lumpur serta Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.