Kes Pemerdagangan Manusia, 88 Defendan Hadir di Mahkamah
2015.11.10
Seorang jeneral Thailand tiga bintang, yang dipercayai menjadi ahli sindiket pemerdagangan manusia, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyeludup masuk pendatang tanpa izin ke negara itu dan Malaysia pada Mei lepas.
Left. Jen Tentera Darat Manas Kongpaen bersama 87 defendan yang lain dibawa dengan bas ke sebuah mahkamah di tengah-tengah ibukota Bangkok, bagi menghadiri hari pertama perbicaraan awal yang dijadual berlangsung selama empat hari, pada Selasa.
Kes pemerdagangan dan penyeludupan manusia itu telah menggegarkan Thailand dan dikaitkan dengan puluhan orang lain,kebanyakannya merupakan pegawai tentera, pegawai kerajaan tempatan dan polis.
Satu panel tujuh hakim pada Selasa membacakan pertuduhan terhadap 88 defendan itu yang didakwa mengikut undang-undang pemerdagangan manusia dan undang-undang jenayah merentas sempadan.
Setiap daripada mereka boleh menghadapi empat hingga 10 tahun penjara kerana memperdagangkan manusia dan dari empat hingga 15 tahun penjara jika sabit kesalahan jenayah merentasi sempadan negara, menurut Kanun keseksaan negara itu.
Peguam Negara mengemukakan 15 kotak mengandungi bukti yang mengesahkan pemindahan wang dan senarai panggilan telefon untuk menunjukkan cara beberapa suspek berhubung.
Media dihalang daripada membuat liputan di dalam kamar mahkamah tetapi dibenarkan mengikuti penghujahan kes itu menerusi televisyen litar tertutup yang terletak di luar.
Perbicaraan itu mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun dan melibatkan keterangan beratus-ratus orang saksi, menurut laporan Reuters.
"Ada 500 saksi dalam kes ini. Kesemuanya nanti mengambil masa kira-kira 200 mesyuarat untuk meneliti saksi yang bermaksud perbicaraan mungkin mengambil masa dua tahun," lapor agensi berita British itu yang memetik seorang pegawai mahkamah sebagai memberitahu pemberita di Bangkok.
Perbicaraan akan bermula minggu depan, lapor BBC News.
62 orang masih bebas
Kes itu berpunca daripada penemuan 30 kubur cetek warga Rohingya pada Mei lalu, di wilayah selatan Songkhla, yang dipercayai mengandungi mayat pendatang tanpa izin yang diseludup masuk ke Thailand, kata pihak berkuasa.
Susulan dari pertemuan di Thailand itu, polis Malaysia turut menemui 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis yang bersempadan dengan Thailand.
Selatan Thailand amat terkenal sebagai pusat transit penyeludupan warga Islam Rohingya ke Malaysia. Mereka yang tidak mempunyai negara itu, melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.
Selepas penemuan kubur-kubur pendatang Rohingya di Thailand, beratus-ratus pendatang tanpa izin ditahan di pantai Selat Melaka
Skandal itu mencetuskan tindakan keras Thailand terhadap pemerdagangan manusia, yang membawa kepada sekatan maritim hingga memaksa bot-bot yang sarat dengan warga Islam Rohingya dan pendatang Bangladesh supaya belayar jauh ke selatan, menyebabkan berlakunya krisis kemanusiaan serantau.
Sejak siasatan bermula, seramai 91 suspek telah ditangkap dan 62 lagi masih bebas.
Tiga daripada 91 suspek dalam tahanan itu, ditangkap kemudian dan akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi, kata Mej. Jen Polis Paween Pongsirin, yang mengetuai penyiasatan itu, berkata kepada pemberita di mahkamah.
Paween baru sahaja mengumumkan peletakan jawatannya, dengan berkata beliau menolak untuk menerima pertukaran ke wilayah selatan Thailand yang bergolak kerana bimbang pihak yang ada kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia yang disiasatnya itu, akan menyasar beliau dan ahli-ahli pasukannya.
"Saya tidak boleh menyatakan sama ada tugas saya sudah selesai tetapi saya cuba melakukan yang terbaik. Ini adalah tugas pasukan penyiasatan baru untuk cuba menangkap 62 suspek yang dapat melarikan diri," katanya.