Mahkamah Thailand jatuhkan hukuman 10 tahun penjara, tentera bunuh orang awam

Tiga penduduk kampung ditembak mati oleh unit renjer tentera dalam insiden pada 2019 di kawasan pergunungan Selatan Thailand.
Nontarat Phaicharoen
2025.01.16
Bangkok, Thailand
Mahkamah Thailand jatuhkan hukuman 10 tahun penjara, tentera bunuh orang awam Pegawai penyiasat dan forensik memeriksa lokasi kejadian tembakan maut di kawasan pergunungan Khao Ta We, daerah Ra-ngae, wilayah Narathiwat, Selatan Thailand, 17 Disember 2019.
[Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri]

Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara ke atas seorang renjer tentera kerana sabitan kesalahan membunuh tiga orang awam di wilayah Selatan Thailand pada 2019 dan membebaskan seorang anggota sukarelawan unitnya.

Keputusan ini adalah satu kes pendakwaan yang jarang dilakukan terhadap anggota keselamatan di wilayah bergolak akibat pemberontakan itu.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu mengubah hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Wilayah Narathiwat sebelum ini ke atas Koperal Nutthawut Butthum dan sukarelawan Sitthichai Songchuay atas tuduhan kecuaian yang menyebabkan kematian.

Dalam kejadian pada 16 Disember 2019, unit renjer tentera telah melepaskan tembakan terhadap tiga penduduk tempatan Budiman Mali, Manasi Sama-ae dan Hafisi Mada-o, yang ketika itu sedang menebang pokok di hutan Khao Ta We, sebuah kawasan pergunungan di daerah Ra-ngae, Narathiwat.

Pihak berkuasa pada awalnya menggambarkan kejadian tembakan itu sebagai satu kesilapan dengan menyatakan bahawa unit tentera tersalah sangka ketiga-tiga mangsa sebagai pemberontak.

Kawasan Selatan Thailand merupakan lokasi lama konflik antara kerajaan dan kumpulan pemisah Melayu Muslim.

Pada Julai 2023, Nutthawut dan Sitthichai dikenakan pertuduhan melakukan pembunuhan dengan niat.

Pada Februari lalu, mahkamah wilayah di Selatan Thailand itu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun penjara ke atas mereka atas kecuaian yang menyebabkan kematian, tetapi mengurangkannya kepada empat tahun kerana tertuduh memberi kerjasama ketika siasatan.

“Keadaan lokasi kejadian menunjukkan anggota tentera dan mangsa dipisahkan oleh sebatang sungai. Tertuduh pertama, yang merupakan ketua pasukan telah melepaskan tembakan melintasi sungai dengan alasan mempertahankan diri tetapi kemudian bertindak menyeberangi sungai dan menembak lagi,” kata Pornpimol Mukkuntod, peguam dari Cross Cultural Foundation yang mewakili keluarga mangsa kepada BenarNews.

“Mahkamah mendapati perbuatan itu melampaui tindakan mempertahankan diri dan menganggapnya sebagai pembunuhan dengan niat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun, yang kemudiannya dikurangkan kepada 10 tahun kerana terdapat keterangan berguna.”

Mahkamah Rayuan membebaskan Sitthichai, renjer sukarelawan itu kerana dalam keterangannya menyatakan bahawa dia telah melepaskan tembakan amaran yang tidak menyebabkan kematian, kata Pornpimol.

Selepas insiden itu, penduduk kampung berhimpun untuk menyoal pihak berkuasa tentang insiden pembunuhan itu tetapi tiada maklum balas diberikan. 

Media tempatan melaporkan bahawa pasukan keselamatan membunuh tiga anggota kumpulan militan RKK (Runda Kumpulan Kecil) dan merampas senjata.

Kemudian Leftenan Jeneral Pornsak Poolsawat yang ketika itu merupakan komander Wilayah Tentera Keempat mengakui insiden itu merupakan kesilapan operasi oleh tentera.

THAI2.jpeg
Ketua tentera Thailand ketika itu, Jeneral Apirat Kongsompong (depan, kanan) memeriksa barisan anggotanya di pejabat Wilayah Tentera Keempat di Pattani, seminggu selepas kejadian tembakan maut terhadap tiga orang awam di Narathiwat, Selatan Thailand, 23 Disember 2019. [BenarNews]

Selepas insiden tembakan itu, Mahkamah Wilayah Narathiwat menjalankan siasatan ke atas kematian tersebut dengan penyertaan peguam mewakili keluarga mangsa.

Mahkamah kemudian mendapati terdapat alasan untuk membuat pertuduhan terhadap anggota tentera terbabit.

“Semua tiga mangsa adalah penduduk kampung, bukan pemberontak. Walaupun pegawai berhati-hati, mereka tersalah anggap mangsa sebagai pelaku kekerasan. Apabila berlaku kematian, pegawai terlibat tidak boleh lari daripada tanggungjawab mereka dan mesti berdepan dengan tindakan undang-undang,” kata Pornsak pada 17 Disember 2019.

Paisa Tateh, seorang penduduk di Khao Ta We menyifatkan keputusan itu sebagai petanda baik kerana menunjukkan bahawa apabila penduduk Selatan Thai mencari keadilan, mereka boleh mendapat hasil yang positif.

“Eloklah renjer itu dikenakan hukuman kerana sebelum ini mereka tidak pernah dikenakan hukuman atas perbuatan mereka sebelum ini, atau mengaku kesalahan.

"Malah mereka menipu penduduk dengan mendakwa ia merupakan tindak balas pertempuran. Jika mereka mengakui kesalahan, semuanya boleh diselesaikan,” katanya kepada BenarNews.

Pornpen Khongkachonkiet, pengarah Cross Cultural Foundation berkata kes tersebut merupakan prosiding jenayah pertama terhadap pasukan keselamatan dengan anggota tentera dibicarakan di mahkamah sivil atas kesalahan membunuh penduduk kampung.

“Ia menjadi kes duluan yang baik untuk keadilan, walaupun mungkin merupakan kes terpencil. Kita perlu berterima kasih kepada pendakwa raya dan polis kerana mengekalkan kepercayaan awam terhadap sistem keadilan,” katanya kepada BenarNews.

Kes tembakan sama

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya terdapat tiga kes tembakan akibat tersalah mengenal pasti identiti mangsa yang dianggap pemberontak terjadi di kawasan sempadan.

Insiden pertama berlaku pada 29 Januari 2012, apabila anggota tentera melepaskan tembakan ke arah penduduk kampung yang sedang dalam perjalanan satu upacara pengebumian di daerah Pulo Puyo, Pattani hingga mengakibatkan empat terkorban.

Kejadian kedua berlaku pada 26 Mac 2015, apabila pasukan keselamatan menembak mati dua penduduk kampung dan dua pelajar Universiti Fatoni ketika mereka memburu pemberontak di kampung To Chud, Pattani.

Pada 28 Julai 2017, tiga penduduk kampung ditembak dan cedera semasa menaiki trak pikap selepas anggota tentera tersalah anggap mereka sebagai suspek pemberontak ketika sampai di sebuah pos pemeriksaan di daerah Kraso, Pattani.

Bagaimanapun, tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap individu yang terlibat dalam kes tembakan itu. 

Insiden terkini

Keganasan berkaitan pemberontakan kumpulan pemisah telah menyebabkan kira-kira 7,500 kematian dan 14,000 kecederaan sejak konflik itu bermula semula pada Januari 2004, menurut Deep South Watch, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memantau kawasan tersebut.

Bermulanya 2025, tiga serangan besar telah berlaku. Beberapa hari selepas sambutan tahun baharu, pemberontak meletupkan bom dengan menyasarkan anggota polis di sebuah pos pemeriksaan di daerah Sai Buri, Pattani hingga mencederakan enam pegawai.

Pada minggu lalu, satu lagi letupan berlaku di bandar Pattani yang mencederakan enam sukarelawan pertahanan awam.

Dalam serangan terbaru pada Selasa, anggota militan yang disyaki menyerang hendap sebuah trak pikap yang membawa tenaga pengajar Polis Sempadan di daerah Si Sakhon, Narathiwat. Serangan itu mengorbankan dua tenaga pengajar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.