Thaksin sebagai penasihat mampu tingkat rundingan damai selatan Thailand - Penganalisis

Bekas Perdana Menteri Thailand kini merupakan penasihat khas kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.
Mariyam Ahmad dan Nontarat Phaicharoen
2025.03.04
Pattani dan Bangkok, Thailand
Thaksin sebagai penasihat mampu tingkat rundingan damai selatan Thailand - Penganalisis Bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra (memegang bunga) bertemu dengan kakitangan Sekolah Samphan Witthaya di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 23 Februari 2025.
[Rapee Mama/BenarNews]

KEMASKINI pada 1 petang waktu tempatan ETS - 2025-03-07

Peranan baharu bekas pemimpin Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat kepada pengerusi ASEAN, Malaysia berpotensi membantu rundingan damai di wilayah sempadan selatan Thailand yang bergolak, kata penganalisis keselamatan.

Rundingan antara Bangkok dan kumpulan pemisah Melayu-Muslim tidak menunjukkan sebarang tanda ia dapat disambung semula sejak lebih enam bulan lalu, iaitu selepas anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra dilantik menjadi Perdana Menteri Thailand.

Namun pelantikan Thaksin oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim sebagai penasihat khas kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mungkin mengubah keadaan itu, menurut pakar yang ditemu bual BenarNews.

“Pelantikan Thaksin sebagai penasihat kepada Pengerusi ASEAN mungkin membantu melibatkan Brunei dan Indonesia dalam proses damai,” kata Panitan Wattanayagorn, penasihat lama kepada kerajaan Thailand dalam hal keselamatan kepada BenarNews.

Kuala Lumpur telah bertahun-tahun lamanya menjadi orang tengah dalam pelbagai rundingan bagi menamatkan pemberontakan pemisah di wilayah sempadan selatan Thailand yang majoriti penduduknya masyarakat Melayu-Muslim.

Bagaimanapun, siri rundingan tersebut sama ada menemui jalan buntu atau tidak mencapai kemajuan yang ketara.

“Thaksin mungkin menggunakan hubungan rapatnya dengan Anwar untuk menyelesaikan masalah melalui saluran belakang dan menangani isu-isu yang sukar diselesaikan secara terbuka,” kata Srisompob Jitpiromsri, pengarah Deep South Watch, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengesan keganasan berkaitan pemberontakan di wilayah sempadan.

Pada minggu lalu, Anwar memberitahu ahli parlimen Malaysia bahawa pelantikan Thaksin sebagai penasihat boleh membantu membawa kesan positif dalam usaha menamatkan konflik itu.

“Ia membantu, walaupun ada kontroversi yang dibangkitkan. Beliau baru-baru ini pergi ke selatan Thailand untuk meminta maaf atas insiden Tak Bai dan memberi jaminan bahawa beliau akan bekerjasama dengan Malaysia untuk mencari jalan damai,” kata Anwar.

Permohonan maaf Thaksin

Perdana Menteri Malaysia itu merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai pada 2004 yang berlaku di selatan Thailand ketika Thaksin menjadi perdana menteri.

Seramai 85 orang terbunuh akibat tindakan pasukan keselamatan Thailand, namun tiada seorang pun pegawai yang didakwa atas insiden pembunuhan Tak Bai – peristiwa paling terkenal dalam pemberontakan yang bermula semula pada 2004.

Sebagai penasihat kepada ASEAN, Thaksin melawat kawasan selatan Thailand pada 23 Februari.

Semasa lawatannya, beliau meminta maaf apabila ditanya mengenai insiden itu.

“Kesilapan boleh berlaku dalam pemerintahan. Jika saya melakukan kesilapan yang tidak memuaskan, saya meminta maaf supaya kita boleh kembali dan menyelesaikan masalah bersama. Saya tidak mahu salah faham kecil terus berlarutan,” kata Thaksin.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau mempunyai niat yang baik dan mengambil berat terhadap semua pihak sebelum rampasan kuasa tentera menggulingkannya pada 2006.

Beliau kembali ke Thailand pada 2023 selepas bertahun-tahun tinggal dalam buangan.

Insiden Tak Bai berlaku pada 25 Oktober 2004 apabila pasukan keselamatan Thailand bertindak secara ganas ketika menyuraikan penunjuk perasaan di hadapan balai polis di daerah Tak Bai, wilayah Narathiwat.

Kebanyakan mangsa terbunuh dalam trak tentera akibat sesak nafas setelah mereka disusun bertindih-tindih seperti kayu balak dalam keadaan meniarap dengan tangan diikat.

Statut tempoh had masa pendakwaan selama 20 tahun bagi mengheret dalang insiden itu ke muka pengadilan berakhir tahun lalu sekali gus menyebabkan tiada sebarang pertuduhan dilakukan.

“Memohon maaf adalah lebih baik daripada langsung tidak mengatakan apa-apa, kerana peristiwa tragis yang berkaitan dengan situasi sempadan selatan berlaku ketika Thaksin menjadi perdana menteri. Tidak berkata apa-apa mungkin lebih merugikan,” kata Panitan.

Bagaimanapun, pemerhati dan aktivis hak asasi manusia berkata bahawa permohonan maaf Thaksin masih tidak mencukupi jika dibandingkan dengan tahap kekejaman itu.

“Beliau seolah-olah mengatakan bahawa pegawai mungkin membuat kesilapan. Beliau mungkin mahu berhati-hati agar tidak dipersalahkan atas masalah lalu, tetapi permohonan maafnya itu hanya menyentuh perkara kecil,” kata Srisompob dari Deep South Watch kepada BenarNews.

“Realitinya, dengan mengambil kira perasaan masyarakat di wilayah itu, Thaksin perlu bertanggungjawab dan mengeluarkan kenyataan lebih tegas terhadap insiden Krue Se dan Tak Bai yang menyebabkan mangsa terkorban akibat keganasan melampau," katanya.

04-TH-thaksin2.jpg

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra (tengah, berbaju merah jambu) bertemu dengan pemimpin agama dan pelajar di Sekolah Yayasan Tham Wittaya di wilayah Yala, selatan Thailand, 16 Januari 2025. [Arifeen Paehohele/BenarNews]

Sejak Paetongtarn dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Srettha Thavisin pada Ogos 2024, tidak banyak perkara dilakukan untuk menggalakkan keamanan di wilayah sempadan selatan yang dilawatinya pada Januari lalu selain tiada rundingan rasmi yang diadakan, menurut aktivis.

“Keganasan telah meningkat dengan ketara. Sejak tamatnya had masa untuk pendakwaan kes Tak Bai, harapan penduduk semakin meningkat,” kata Pornpen Khongkachonkiet, pengarah Cross Cultural Foundation, sebuah NGO Thailand, kepada BenarNews.

“Apabila mereka tidak berbuat apa-apa, ia seperti mengabaikan tanggungjawab penting,” tambahnya.

Sembilan orang telah terbunuh dalam keganasan berkaitan pemberontakan sejak awal 2025.

Pada Januari, dua pegawai polis terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam dua letupan bom di tepi jalan di wilayah Narathiwat. Pada bulan yang sama, pasukan tentera Thailand membunuh empat suspek pemberontak di wilayah Yala.

Pada Februari, dua pegawai polis ditembak mati, manakala satu letupan bom di tepi jalan membunuh seorang pegawai polis dan mencederakan tiga yang lain di daerah Nong Chik, wilayah Pattani.

Pada 6 Mac, polis melaporkan bahawa satu letupan di Tambon Sa Teng, Yala menyebabkan beberapa kecederaan. Sementara itu, di Pattani, beberapa kamera litar tertutup (CCTV) telah dibakar oleh individu tidak dikenali.

Kekosongan jawatan

Pentadbiran Paetongtarn masih belum menggantikan ketua perunding Thailand dalam rundingan damai sejak jawatan itu dikosongkan pada Oktober lalu.

Chatchai Bangchuad memegang jawatan itu selama sebelas bulan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) pada bulan tersebut.

Namun, Panitan berkata bahawa majlis itu setakat ini tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam hal rundingan damai.

“Kerajaan mesti segera meningkatkan keupayaan Majlis Keselamatan Negara kerana mereka masih belum cukup berkesan. Mereka mungkin boleh memulakannya dengan menambah penasihat domestik dan luar negara bagi merangka strategi yang berkesan,” katanya.

“Rundingan boleh ditangguhkan, tetapi perlu ada pertukaran maklumat baharu, kawalan situasi di kawasan itu dan membawa semua pihak terlibat ke meja rundingan,” tambahnya.

04-TH-thaksin3.jpg

Waris mangsa insiden Tak Bai mengadakan pertemuan bagi menzahirkan penghormatan menjelang ulang tahun ke-20 kematian ahli keluarga mereka di Tak Bai, wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 24 Oktober 2024. [Madaree Tohlala/AFP]

Phumtham Wechayachai, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Thailand menyifatkan lawatan Thaksin ke Selatan Thailand baru-baru ini sebagai petanda bahawa rundingan damai mungkin berlangsung tahun ini.

“Saya fikir kita akan mempunyai hala tuju yang lebih baik dan tahun depan kita akan menemui jalan penyelesaian. Sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas wilayah selatan, kita sepatutnya boleh mencari penyelesaian,” katanya kepada wartawan pada 27 Februari.

“Saya mengesahkan bahawa proses dialog masih wujud, tetapi saya tidak dapat menentukan rancangannya dalam masa terdekat,” katanya.

Jon Preechawong di Bangkok dan Farhana Farush di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

PEMBETULAN: Laporan ini telah dikemas kini untuk memperbetulkan cara kenyataan Thaksin disampaikan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.