HRW dakwa aktivis demokrasi Myanmar dan keluarga diculik di Malaysia
2023.07.17
Kuala Lumpur
Aktivis demokrasi Myanmar dan keluarganya, yang juga pemegang kad pelarian Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah diculik dari rumah mereka di Kuala Lumpur awal bulan ini, kata Human Rights Watch (HRW) pada Isnin.
Menurut kumpulan hak asasi manusia itu, individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kerajaan Malaysia mungkin terlibat dalam insiden penculikan tersebut.
Aktivis Thuzar Maung menjadi sasaran kerana menyokong pergerakan prodemokrasi menentang junta Burma dan ini merupakan kali pertama pemegang kad UNHCR dijadikan sasaran, kata sumber yang bekerja dengan kumpulan migran di Malaysia.
“Apa yang jelas kejadian pada 4 Julai di Kuala Lumpur itu dirancang dengan begitu profesional serta dilakukan dengan tahap kecekapan yang sangat tinggi tanpa meninggalkan banyak petunjuk dan ini telah menimbulkan kebimbangan bahawa mereka yang terlibat mungkin mempunyai kaitan dengan kerajaan Malaysia,” kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah HRW bagi Asia kepada BenarNews.
Polis Malaysia pula berkata mereka telah menerima laporan mengenai insiden itu dan sedang menjalankan siasatan.
Malaysia adalah antara negara Asia Tenggara yang begitu lantang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap junta Myanmar kerana telah menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada Februari 2021. Bagaimanapun ia telah menghantar pulang ribuan rakyat Myanmar termasuk anggota tentera yang telah berpaling tadah, menurut HRW.
HRW mendakwa berdasarkan kenyataan saksi dan video rakaman CCTV, sekumpulan lelaki yang tidak dikenali telah menculik Thuzar Maung, 46, dan suaminya Saw Than Tin Win, 43, anak perempuan mereka, Poeh Khing Maung, 16, serta dua anak lelaki Aung Myint Maung, 21, dan Thukha Maung, 17, dari kediaman mereka di Ampang Jaya, Kuala Lumpur.
"Rakan-rakan Thuzar Maung telah mencuba pelbagai cara untuk mengenal pasti apa yang berlaku kepada beliau dan keluarganya namun gagal.
“Atas alasan ini, kami tampil mendesak kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan segera bagi menyiasat kes ini dengan serius dan terperinci serta memberikan keutamaan yang selayaknya ia terima.”
Robertson berkata setakat ini, tiada sebarang bukti ditemui bagi menentukan secara konklusif dalang di sebalik penculikan itu.
“Namun pihak yang mempunyai motif jelas untuk melakukan jenayah penculikan terkutuk ini ialah junta Myanmar serta kedutaan negara itu di Malaysia dan kemungkinan ini harus disiasat sepenuhnya dengan kadar segera,” katanya.
Menurut HRW, pada 4 Julai sekitar 4.30 petang, sebuah kereta memasuki kawasan komuniti berpagar di mana keluarga itu tinggal.
“Pemandu kereta telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada kepada pengawal keselamatan. Dua jam kemudian, semasa berbual dengan Thuzar Maung dalam telefon, rakannya terdengar Thuzar menjerit kepada suami beliau bahawa beberapa lelaki yang tidak dikenali telah memasuki rumah mereka, sebelum panggilan itu diputuskan.
“Pada sekitar 7.10 malam, kereta yang sama serta dua lagi kenderaan milik keluarga Thuzar Maung telah dilihat meninggalkan kawasan kejiranan itu.
“Telefon milik Thuzar Maung dan suami serta anak-anak mereka didapati telah dimatikan serta-merta kerana sebarang panggilan tidak dapat disambung sejak itu,” dakwa HRW lagi.
Kumpulan hak asasi itu juga berkata rakaman CCTV menunjukkan pemandu sebuah daripada kenderaan milik keluarga Thuzar Maung telah memakai sarung tangan hitam ketika memegang kad laluan pintu pagar semasa keluar dari kawasan kejiranan tersebut.
“Butiran pergerakan menunjukkan kereta yang sama telah memasuki kawasan komuniti berpagar itu pada 19 Jun. Rakan-rakan Thuzar Maung yang bergegas ke rumah keluarga itu pada 5 Julai berkata mereka tidak menemui sebarang kesan yang menunjukkan berlakunya insiden seperti rompakan,” tambah HRW.
Polis sahkan terima laporan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan ketika dihubungi BenarNews pada petang Isnin mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat mengenai insiden itu.
"Pihak polis telah menerima laporan mengenai perkara ini. Susulan itu, satu siasatan telah dimulakan di bawah Kertas Siasatan Orang Hilang,” katanya kepada BenarNews.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran siasatan.
BenarNews cuba menghubungi Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, Kementerian Luar Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri untuk komen namun tidak mendapat sebarang maklum balas.
Percubaan untuk mendapatkan respons daripada pihak Imigresen Malaysia juga tidak berhasil.
Thuzar Maung, atau nama lainnya Thu Zar Moung, seorang yang lantang menyokong gerakan prodemokrasi Myanmar, merupakan Pengerusi Komuniti Pelarian Muslim Myanmar serta Jawatankuasa Pekerja Migran Myanmar, dan beliau telah berada di Malaysia sejak 2015.
Thuzar Maung mempunyai lebih 93,000 pengikut di Facebook di mana beliau sering memuat naik kecaman terhadap kekejaman junta Myanmar, yang telah mengambil alih kuasa selepas kudeta pada 1 Feb 2021, menurut HRW. Kali terakhir beliau memuat naik hantaran di laman Facebooknya ialah pada 5.05 pagi 4 Julai.
Dalam satu temu bual dengan BenarNews pada September tahun lepas, Thuzar Maung mendedahkan bahawa beliau lari ke Malaysia dari Mandalay, Myanmar selepas menerima tekanan diskriminasi serta berdepan pertuduhan palsu yang mengaitkannya dengan keganasan hanya kerana beliau seorang Islam.
“Komuniti Islam di kawasan itu berdepan dengan pelbagai pertuduhan. Saya menjadi bimbang dan memutuskan untuk lari dari Myanmar. Memandangkan saya memiliki pasport ketika itu, saya menaiki kapal terbang ke Thailand, di mana saya mendapat visa semasa tiba di negara tersebut dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Malaysia.”
“Saya telah ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian di Kuala Lumpur pada 2015 dan membuat rayuan mengenai kes saya. Saya menunjukkan bukti yang saya telah didakwa dan didiskriminasi disebabkan agama saya. Kemudian kami telah menerima kad UNHCR,” katanya kepada BenarNews tahun lalu.
Tidak dihebahkan awal
Sumber, yang enggan identitinya didedahkan kerana bimbang dengan keselamatan kumpulan mereka, berkata sokongan terbuka Thuzar Maung terhadap kerajaan bayangan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) – yang dianggotai bekas pemimpin kerajaan awam dan penentang junta yang lain – mungkin adalah sebab beliau menjadi sasaran.
Menurut sumber itu lagi, Thuzar Maung terlibat dalam membantu NUG berhubung isu berkaitan hak dan kebajikan migran.
“Beliau menyokong dan bekerjasama rapat dengan NUG berhubung perkara ini.
“Dan sebab penculikan itu hanya dihebahkan kepada umum selewat ini adalah kerana rakan-rakan Thuzar Maung memohon supaya ia dirahsiakan hingga minggu lepas berikutan kebimbangan bahawa pendedahan oleh media mungkin mendatangkan bahaya kepada beliau,” kata sumber itu kepada BenarNews.
Menurut sumber itu lagi, pelarian sentiasa bimbang dengan risiko dihantar pulang memandangkan Kedutaan Myanmar di Malaysia mewakili Majlis Pentadbiran Negara, yang pro kepada kerajaan junta Myanmar.
“Namun penculikan membabitkan pemegang kad UNHCR adalah sesuatu yang baharu.”
Pihak berkuasa Malaysia sejak pertengahan Ogos 2022 telah meningkatkan proses penghantaran pulang pemohon suaka politik ke Myanmar, di mana nyawa dan kebebasan mereka terancam, menurut HRW tahun lalu.
Malaysia bukan sebuah negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951. Namun berdasarkan prinsip ‘non-refoulement’, pelarian tidak sepatutnya dihantar pulang ke negara di mana mereka berdepan risiko untuk didakwa, diseksa, dilayan dengan buruk atau hak asasi mereka dinafikan dalam apa jua cara.
Jabatan Imigresen Malaysia sejak April tahun lalu telah menghantar pulang lebih 2,000 warga Myanmar, termasuk anggota tentera yang berpaling tadah, tanpa membuat penilaian ke atas permohonan suaka atau mengambil kira perlindungan yang mereka perlukan.
Menurut sumber itu, enam anggota tentera yang berpaling tadah dan telah dihantar pulang ke Myanmar hujung tahun, telah ditahan sejurus tiba dan masih berada dalam penjara.
Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.