Penyiasat Malaysia mohon kerjasama masyarakat kesan aktivis Myanmar, keluarga yang hilang

Polis memuat naik gambar Thuzar Maung dan keluarga di laman Facebook dalam usaha mendapatkan bantuan daripada orang awam.
Iman Muttaqin Yusof
2023.08.04
Kuala Lumpur
Penyiasat Malaysia mohon kerjasama masyarakat kesan aktivis Myanmar, keluarga yang hilang Aktivis Myanmar yang melarikan diri ke Malaysia, Thuzar Maung, sedang berucap di Kuala Lumpur dalam gambar yang dimuat naik di laman Facebooknya pada 9 Mac 2023.
[Facebook Thuzar Maung]

KEMASKINI pada 5 petang waktu tempatan ETS - 2023-08-04

Polis Malaysia telah memuat naik gambar aktivis demokrasi Myanmar dan keluarganya yang dilaporkan hilang di laman media sosial dalam usaha mendapatkan bantuan masyarakat bagi mengesan kelima-lima individu yang didakwa Human Rights Watch (HRW) telah diculik dari kediaman mereka di Kuala Lumpur sebulan lepas.

Polis berkata kes berkenaan masih lagi dalam siasatan sebagai kes orang hilang dan tidak mempunyai maklumat terkini mengenai Thuzar Maung serta keluarganya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan Human Right Watch mengkritik pasukan keselamatan Malaysia itu kerana tidak mengedarkan gambar mereka kepada umum lebih awal.

“Tumpuan siasatan diberikan kepada kawasan di mana individu yang hilang mungkin berada,” kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar kepada BenarNews.

Beliau berkata polis telah merekodkan kenyataan daripada 20 individu termasuk jiran, kenalan dan ahli komuniti pelarian terbabit.

“Namun tiada sebarang perkembangan positif buat masa ini,” katanya.

Pada lewat Khamis, Polis Daerah Ampang telah memuat naik gambar keluarga itu di laman Facebooknya.

Phil Robertson, Timbalan Pengarah HRW bagi Asia, menggesa polis Malaysia agar menjalankan siasatan dari segenap sudut yang menjurus kepada kehilangan aktivis itu serta keluarganya dan pada masa sama, mengkritik kelewatan pihak berkuasa memohon bantuan orang ramai dalam kes tersebut.

“Sudah tiba masanya polis Malaysia menyiasat kes ini secara serius. Menyiarkan gambar keluarga dan kereta mangsa merupakan sesuatu yang seharusnya dilakukan beberapa minggu yang lalu,” kata Robertson kepada BenarNews pada Jumaat.

“Segala kemungkinan harus diteliti termasuk siapa yang mungkin boleh melakukan penculikan ini secara profesional kerana pihak tersebut berjaya ‘menghilangkan’ Thuzar Maung, suaminya, tiga anak mereka serta dua buah kereta dengan sangat pantas dan cekap.”

Robertson berkata polis juga harus menyiasat motif di sebalik penculikan Thuzar Maung memandangkan beliau menyokong kerajaan bayangan Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar, yang dianggotai bekas pemimpin kerajaan awam dan penentang junta lain.

“Pelaksanaan operasi penculikan itu sepatutnya menjadi petunjuk penting berikutan kemahiran yang ditonjolkan melangkaui sesuatu yang boleh dilakukan oleh orang biasa,” katanya.

Menerusi hantaran di laman sesawang HRW pada Julai lepas, sekumpulan lelaki yang tidak dikenal pasti telah menculik Thuzar Maung, 46, dan suaminya, Saw Than Tin Win, 43, serta tiga anak mereka berusia 16, 17 dan 21 tahun pada 4 Julai di kediaman keluarga itu yang terletak di Kuala Lumpur, menurut kenyataan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Rakaman itu menunjukkan sebuah kereta memasuki komuniti berpagar keluarga berkenaan pada tarikh tersebut dan pemandunya memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis. Pada sebelah petang, kenderaan sama beserta dua buah kereta milik keluarga tersebut dilihat meninggalkan pekarangan kawasan kediaman,” menurut HRW.

“Menurut rakan sekerja Thuzar yang memasuki rumah beliau pada keesokan harinya, iaitu 5 Julai, tiada sebarang kesan samun dilihat di dalam rumah itu,” tambah HRW.

James Bawi, seorang pelarian yang juga aktivis komuniti Chin iaitu etnik yang kebanyakannya kumpulan Kristian di Myanmar, memberitahu BenarNews bahawa beliau telah bertemu dengan setiausaha akhbar Menteri Dalam Negeri baru-baru ini dan menggesa pihak kementerian agar memulakan siasatan berhubung kes kehilangan keluarga itu.

“Dia (setiausaha akhbar) telah berjanji akan memaklumkan sebarang perkembangan mengenai kehilangan Thuzar Maung dan keluarganya,” kata beliau.

Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, Menteri Luar dan Dalam Negeri negara itu tidak memberikan respons kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen berhubung kes tersebut.

Sementara itu, jurucakap Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) di Myanmar berkata aktivis hak asasi manusia di negara asing perlu dilindungi.

"Kini kehilangan mengejut membuktikan bahawa nyawa pejuang hak asasi manusia, hak wanita adalah tidak selamat, bukan sahaja di Myanmar malah juga di negara asing," kata Aung Kyaw Moe kepada Radio Free Asia, entiti bersekutu BenarNews.

"Kami ingin menyatakan bahawa negara-negara serantau dan negara lain di mana aktivis hak asasi Myanmar bertugas atau menetap hendaklah menyediakan perlindungan yang sewajarnya. Bagi kes Thuzar Maung, kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil tindakan tanpa teragak-agak dan membantu keluarga terbabit dengan menyalurkan lebih banyak maklumat serta bantuan lain yang diperlukan.”

Di Malaysia, Thuzar Maung mengetuai Komuniti Pelarian Muslim Myanmar dan begitu lantang mengkritik puak junta diketuai Jeneral Kanan Min Aung Hlaing yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi pada Februari 2021.

Thuzar Maung dan keluarga kemudiannya melarikan diri ke Malaysia dari Mandalay bagi mengelakkan keganasan yang semakin berleluasa terhadap golongan Muslim di Myanmar.

Malaysia adalah antara negara Asia Tenggara yang begitu lantang menggesa agar tindakan diambil ke atas tentera Myanmar susulan penggulingan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada Februari 2021.

Bagaimanapun, Malaysia juga didakwa telah menghantar pulang ribuan rakyat Myanmar termasuk anggota tentera yang berpaling tadah, kata kumpulan hak asasi manusia itu.

Pada 2021, Malaysia menghantar pulang lebih 1,000 warga Myanmar dan mengambil tindakan untuk mengetepikan arahan mahkamah supaya menghentikan penghantaran pulang pelarian secara besar-besaran itu berikutan kebimbangan yang disuarakan oleh kumpulan hak asasi manusia mengenai hukuman yang bakal menanti sekembalinya mereka ke Myanmar.

Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur, Khin Khin Ei dan Kyaw Lwin dari Perkhidmatan Burma Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.