Anggota Parlimen Pembangkang Didapati Bersalah, Dihukum Atas Kesalahan Hasutan

Fahirul N. Ramli
2016.09.28
Kuala Lumpur
160928-MY-chua-620.jpg Chua Tian Chang, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiba di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur untuk menghadapi hukuman atas kesalahan hasutan, 28 September 2016.
[Fahirul N. Ramli/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia pada Rabu menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara terhadap pemimpin kanan pembangkang Chua Tian Chang, atas kesalahan mengeluarkan kata-kata yang disifatkan sebagai menghasut dalam ucapannya yang mengkritik kerajaan tiga tahun lepas.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur juga mengenakan denda terhadap Chua, anggota Parlimen  Batu, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak RM1,800 (AS$435), kerana mengeluarkan kata-kata yang boleh memberi kecenderungan untuk menggalakkan orang ramai “menukar kerajaan sekarang" melalui "kaedah haram".

"Tertuduh menggunakan kata-kata seperti 'bangkit', 'turun ke jalan' , yang telah diucapkan selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 diumumkan," Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan,* dalam penghakimannya setelah mendapati Chua bersalah atas Kesalahan menghasut, sambil berkata bahawa kenyataan yang dibuat mempunyai kecenderungan oleh tertuduh untuk menghasut.

Chua merupakan antara tujuh anggota Parlimen dan dua wakil rakyat dari parti pembangkang yang telah didakwa di bawah Akta Hasutan yang berusia 68 tahun itu, menurut laporan.

Kerajaan Perdana Menteri Najib Razak, yang berdepan dengan dakwaan rasuah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mendakwa dan menahan aktivis politik dan pengkritik di bawah undang-undang berkenaan.

Chua mungkin berdepan dengan hukuman maksimum tiga tahun dan/atau denda RM5,000 (AS$1,208), tetapi hakim menetapkan hukuman tiga bulan dikenakan keatas ahli politik itu sementara menunggu rayuan.

Peguam Chua bernama N. Surendran, seorang anggota Parlimen yang turut didakwa kerana menghasut berkata,  anak guamnya akan membuat rayuan.

Kejutan, kemarahan terhadap keputusan

Chua telah disabitkan dengan komen yang dibuatnya semasa forum awam di Dewan Perhimpunan Cina  Kuala Lumpur dan Selangor pada 29 Mei 2013.

Ucapan beliau tidak menyebabkan apa-apa insiden keganasan atau tidak diingini, Surendran berkata dalam hujahnya yang mahukan hukuman ringan bagi pihak anak guamnya. Lima yang lain, seorang Anggota Parlimen dan empat aktivis sosial, menghadapi tuduhan yang sama kerana membuat komen di forum yang sama dan akan dibicarakan secara berasingan.

Melissa Sasidaran, seorang pegawai dari Lawyers for Liberty, terkejut dengan keputusan mahkamah terhadap Chua itu. Apa yang dilakukan hanyalah memanggil orang ramai untuk membantah keputusan pilihan raya umum 2013 - yang "tidak menyalahi undang-undang," Sasidaran memberitahu BeritaBenar.

Sabitan terhadap Chua merupakan "halangan kepada perjuangan berterusan untuk kebebasan bersuara di negara ini," Shamini Darshni, Pengarah Amnesty International, Malaysia berkata dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa pihak berkuasa supaya menghentikan dakwaan orang di bawah Akta Hasutan.

"Kita juga menyeru agar semua tuduhan hasutan terhadap aktivis, ahli politik dan mereka yang berani bersuara, termasuk kartunis Zunar, peguam Eric Paulsen, aktivis Khalid Ismath dan Anggota Parlimen pembangkang N. Surendran, digugurkan," kata Darshni.

Peguam: Hakim terkhilaf

Lim Chee Wee, bekas pengerusi Majlis Peguam, berkata kepada Berita Benar bahawa hakim perbicaraan mungkin telah tersilap dalam pendiriannya terhadap perkataan "bangkit" dan "turun ke jalan” yang dikatakan boleh menyebabkan hasutan.

Lim, yang juga anggota Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata Perdana Menteri Najib perlu menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan undang-undang keharmonian yang digubal oleh Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN).

Najib telah berjanji pada 2012 untuk memansuhkan akta tersebut, tetapi mengubah keputusan beliau malah memperkuatkan lagi undang-undang berkenaan.

Akta Hasutan yang digubal oleh penjajah British pada tahun 1948 untuk memerangi komunis, telah dipinda oleh pentadbiran kerajaan Malaysia berikutan rusuhan kaum pada tahun 1969.

Undang-undang mentakrifkan "hasutan" secara meluas dan meletakkan banyak had ke atas kebebasan bersuara, terutamanya mengenai isu-isu politik yang sensitif, menurut laporan oleh Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia.

Pada bulan Jun, pertubuhan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, ia telah mendokumenkan 220 kes pada 2015 di bawah Akta Hasutan. Kebanyakan kes-kes itu melibatkan pembela hak asasi manusia dan ahli politik pembangkang, demikian menurut satu laporan yang mendakwa bahawa orang-orang tahanan tertakluk kepada hukuman penjara yang panjang, penafian jaminan dan penderaan.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.