Malaysia: TikTok gagal patuhi undang-undang, kekang berita palsu

Menteri Komunikasi dan Digital berkata platform dalam talian itu perlu lebih proaktif meskipun berdepan masalah di negara Asia Tenggara lain.
Minderjeet Kaur & Iman Muttaqin Yusof
2023.10.12
Kuala Lumpur
Malaysia: TikTok gagal patuhi undang-undang, kekang berita palsu Figura mainan kelihatan di hadapan logo TikTok di dalam gambar ilustrasi yang diambil pada 15 Mac 2021.
[Dado Ruvic/Ilustrasi/Reuters]

Usaha yang dilakukan oleh TikTok untuk mengurangkan penyebaran berita palsu di Malaysia adalah tidak begitu memuaskan serta perlu diperbetulkan segera dan platform dalam talian milik China itu juga didapati gagal mematuhi undang-undang negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada Khamis.

Bagaimanapun, Fahmi tidak menyatakan secara khusus undang-undang yang dilanggar oleh aplikasi perkongsian video pendek itu namun berkata beliau telah memberi amaran kepada pihak pengurusan tertinggi TikTok dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur sehari sebelum itu bahawa ia perlu mula mematuhinya dengan kadar segera.

“Dalam perbincangan tersebut, saya tegaskan bahawa TikTok perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia… Saya tegaskan bahawa pematuhan TikTok terhadap undang-undang Malaysia berada pada tahap tidak memuaskan dan perkara ini perlu diperbetulkan segera,” kata Fahmi dalam satu hantaran di laman Facebook.

“TikTok juga perlu lebih proaktif dalam mengawal penyebaran berita palsu dan bahan berbaur fitnah di platform berkenaan.”

Menteri itu berkata TikTok mengakui kelemahannya dan menyatakan bahawa ia berpunca daripada ketiadaan wakilnya di Malaysia ketika ini.

“TikTok telah memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia. Sehubungan dengan itu, mereka memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan lanjut pada kadar segera bagi menyelesaikan isu-isu ini,” kata Fahmi.

BenarNews telah menghubungi ByteDance, yang merupakan pemilik TikTok, untuk mendapatkan komen namun belum menerima sebarang maklum balas.

Fahmi tidak memberikan butiran yang lebih terperinci dalam kenyataan beliau di laman Facebook namun beberapa penganalisis berkata peningkatan dalam ucapan berbaur kebencian ketika menjelangnya pilihan raya umum Malaysia pada November tahun lepas kebanyakannya berpunca daripada penyebaran berita palsu.

Kebanyakannya telah disebarkan secara dalam talian dengan TikTok menjadi platform pilihan, demikian menurut Mohamed Irshad, yang menganggotai kumpulan Ahli-Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia.

MY-CH-TikTok-pic-2.jpg

Seorang pekerja menyiapkan papan tanda sebelum Forum Impak TikTok Asia Tenggara 2023 di Jakarta, 15 Jun 2023. [Bay Ismoyo/AFP]

Pada Selasa, beberapa Ahli Parlimen daripada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen Malaysia berhubung isu terlepas pandang terhadap impak platform media sosial seperti TikTok kerana jangkauan ekstensifnya telah memburukkan lagi masalah ucapan berbaur kebencian, menurut mereka.

“Kami percaya bahawa kerajaan di seluruh rantau ini termasuk Malaysia perlu tegas dalam memastikan bahawa kesemua gergasi teknologi ini atau platform media sosial bertindak lebih bertanggungjawab dan sedia memikul tanggungjawab atas peranan mereka dalam memudahkan penyebaran kebencian dan perpecahan,” kata Irshad pada satu sidang akhbar.

Malah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis telah bertindak memanggil pengurusan TikTok untuk menjelaskan beberapa hantaran jelik yang dibuat secara dalam talian selepas pilihan raya umum November 2022.

Kesemua hantaran ini telah membayangkan bahawa rusuhan kaum mungkin berlaku jika parti yang kebanyakannya dianggotai etnik China menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas pilihan raya itu menghasilkan keputusan parlimen tergantung.

Dan ia ternyata tidak berakhir di situ – sesetengah berpendapat bahawa ia semakin meningkat – selepas Yang di-Pertuan Agong pada akhir November tahun lepas telah meminta Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan perpaduan yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.

Kerajaan pimpinan Anwar pada Jun berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat induk Facebook iaitu Meta Platforms atas kegagalannya mengeluarkan kandungan yang memudaratkan daripada platform media sosial meskipun permintaan dibuat berulang kali.

Sebulan selepas itu, kerajaan tersebut menyatakan bahawa ia mungkin tidak perlu berbuat demikian kerana Meta telah memberikan komitmen untuk menangani kandungan sedemikian di platformnya.

Pada Julai, Anwar mengeluarkan apa yang disifatkan beliau sebagai 'amaran terakhir' kepada sesiapa yang mengeksploitasi isu berkaitan bangsa, agama atau institusi diraja dengan motif menyebarkan kebencian dan rasa tidak puas hati.

Beliau berkata mana-mana insiden sedemikian akan disiasat dengan teliti tanpa sebarang pengecualian.

Aplikasi seperti TikTok memerlukan pemantauan manusia untuk lebih mengetahui maksud kandungan, kata Wathshlah Naidu, Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ).

“Untuk ini, TikTok perlu melabur dalam sumber manusia untuk mengkaji kandungan. Kini ia bergantung kepada AI [kecerdasan buatan] dan bot,” katanya kepada BenarNews.

“TikTok sepatutnya telus dengan orang ramai [mengenai] bagaimana kesemua algoritma ini digunakan untuk mencipta kandungan. Ketelusan ini adalah untuk menjadikan pengguna lebih menyedari bagaimana TikTok mencipta, memberitahu dan menyampaikan kandungan di platform itu.”

Iklan yang dibeli di TikTok

Aplikasi TikTok telah mengalami tekanan di Asia Tenggara baru-baru ini, rantau di mana Ketua Eksekutifnya berkata firma itu bercadang untuk melabur berbilion dolar AS dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana penganalisis menyatakan bahawa ia semakin diawasi dengan begitu berhati-hati di tempat lain di dunia.

Minggu lepas, Vietnam berkata TikTok Inc. telah gagal mengekang secara efektif kandungan yang mencabuli undang-undang negara itu, lapor agensi berita rasminya.

Bulan lepas, TikTok terpaksa menghentikan jualan produk melalui aplikasinya di Indonesia selepas negara terbesar di Asia Tenggara itu mengharamkan plaform media sosial daripada menjual produk secara dalam talian. TikTok Shop telah dituduh mengamalkan persaingan yang tidak adil serta menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana di Indonesia.

Kini Malaysia telah membangkitkan isu yang sama terhadap syarikat aplikasi video pendek itu.

Fahmi berkata beliau telah "menegaskan" kepada TikTok bahawa ia perlu mencari solusi kepada isu pembelian iklan di platform itu.

“Ini susulan aduan daripada premis perniagaan, orang ramai dan agensi media yang terjejas teruk akibat iklan yang ditempah secara langsung dengan platform media sosial,” katanya.

Pada awal minggu ini, beliau menjelaskan bahawa media tradisional telah berdepan isu kehilangan iklan kepada media sosial.

“Banyak syarikat tidak lagi berbelanja untuk iklan melalui media [tradisional] sebaliknya melalui platform media sosial, jadi ia menjejaskan media dan saya amat bimbang dengan isu ini,” kata Fahmi di satu majlis pada Isnin, menurut laporan agensi berita rasmi Bernama.

Fahmi juga berkata pada bulan lepas, pengeluar kandungan mendakwa hasil kerja mereka telah digunakan oleh platform media sosial namun mereka hanya memperoleh pulangan yang amat rendah, lapor Bernama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.