TikTok berhentikan 500 pekerja di Malaysia, tugas diambil alih AI
2024.10.11
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 11.30 pagi waktu tempatan ETS - 2024-10-11
Platform media sosial China TikTok berkata ia memberhentikan hampir 500 pekerja di Malaysia yang bertugas memadam kandungan yang tidak sesuai untuk menggantikannya dengan aplikasi kecerdasan buatan yang lebih murah tetapi penganalisis berkata penggunaan teknologi itu tidak akan berkesan seperti manusia.
Pemberhentian kerja oleh TikTok yang mana Malaysia pada tahun lepas menyatakan operasinya tidak mematuhi undang-undang dilakukan ketika negara Asia Tenggara itu menyediakan kerangka kawal selia ketat berkuat kuasa pada Januari 2025, yang mewajibkan platform media sosial memohon lesen operasi tahunan.
TikTok yang dimiliki oleh ByteDance turut berkata ia sedang memperhalusi model kawalan kandungan globalnya dengan pelaburan sebanyak AS$ 2 bilion melibatkan kepercayaan dan keselamatan pada tahun ini meskipun pakar mempersoalkan keberkesanan peralihan kepada AI.
BenarNews difahamkan pemberhentian pekerja itu, diumumkan secara dalaman mulai Rabu dengan menyasarkan kakitangan Operasi Kepercayaan dan Keselamatan Serantaunya yang bertanggungjawab terhadap kawalan kandungan, analisis kualiti dan pengurusan pasukan.
“Mereka telah melatih sistem AI untuk mengambil alih tugas kawalan kandungan buat sementara waktu sekarang. Kami pernah menandakan video yang melanggar dasar kandungan dan AI akan belajar daripada itu,” kata seorang pekerja ByteDance kepada BenarNews dengan meminta namanya dirahsiakan kerana mereka tidak dibenarkan bercakap secara terbuka.
"Kini mereka telah memutuskan AI boleh mengendalikannya dengan lebih baik dari segi kos dan kecekapan."
Pengawalan kandungan menyemak siaran yang dijana pengguna seperti teks, imej dan video dengan menentukan sama ada untuk memadam, menyekat atau membiarkan kandungan berdasarkan dasar platform.
Pada Mei lalui, TikTok mendakwa ia mempunyai lebih 40,000 orang pekerja dalam proses pengawalan kandungan di seluruh dunia.
Kakitangan di Malaysia bagaimanapun bukan saja bertanggungjawab mengawal kandungan di Asia Tenggara malah untuk wilayah lain.
Syarikat itu tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan untuk mengulas mengenai tindakan pemberhentian tersebut.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan kepada BenarNews, jurucakap TikTok berkata perubahan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan.
"Kami melakukan perubahan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi model operasi global untuk pengawalan kandungan," kata jurucakap TikTok dalam kenyataan itu.
"Kami menjangka pelaburan AS$2 bilion secara global dibuat membabitkan kepercayaan dan keselamatan bagi 2024 dan meningkatkan keberkesanan usaha kami dengan 80 peratus kandungan yang melanggar peraturan dibuang menggunakan teknologi automatik."
Pemberhentian mengejut
Salah seorang pekerja yang terjejas memberitahu BenarNew bahawa pemberhentian dilakukan secara tiba-tiba dan mengejut.
“Lewat Rabu, kami menerima e-mel yang mengatakan peranan kami telah terkesan. Syarikat memaklumkan bahawa mereka akan meminimumkan kakitangan dan kebanyakan tugas kini akan disalurkan kepada rakan kongsi luar,” kata sumber itu yang tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
“Ia bukan tentang prestasi, malah ketua pasukan juga terkesan,” kata sumber itu sambil menambah bahawa pampasan diberikan berbeza-beza berdasarkan tahun perkhidmatan.
Setakat ini, tiada butiran mengenai jumlah atau struktur pembayaran yang disediakan.
Tindakan pemberhentian dilakukan apabila ByteDance seperti firma teknologi global yang lain menghadapi peningkatan pengawasan kawal selia di seluruh dunia.
Kerajaan Malaysia telah menggesa platform media sosial termasuk TikTok untuk meningkatkan mekanisme kawalan kandungan mereka sebagai tindak balas kepada peningkatan penyalahgunaan dalam talian, maklumat salah dan kandungan berbahaya yang lain.
Malaysia memperkenalkan peraturan pelesenan untuk platform media sosial pada Ogos yang akan berkuat kuasa pada 2025 untuk memperluas pengawasan dan melindungi pengguna daripada penipuan, buli siber, maklumat palsu dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Pada awal tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan berlaku peningkatan dalam kandungan media sosial yang berbahaya dan menyeru platform media sosial untuk meningkatkan usaha memantau dan membuang kandungan berbahaya.
Pada April lalu Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menandatangani undang-undang yang akan mengharamkan TikTok daripada kedai aplikasi di AS melainkan ByteDance melepaskan perniagaan platform AS itu, lapor Radio Free Asia, sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews.
Agensi berita Associated Press melaporkan TikTok berhujah di mahkamah pada September lalu bahawa undang-undang yang berpotensi mengharamkan platform dalam beberapa bulan lagi adalah tidak berperlembagaan manakala Jabatan Kehakiman AS berkata risiko keselamatan negara yang ditimbulkan oleh aplikasi itu perlu ditangani.
Kementerian Perdagangan China berulang kali menyatakan penentangan terhadap penjualan paksa TikTok.
Keberkesanan dipersoalkan
Sementara itu, walaupun TikTok bergerak ke arah pengawalan kandungan berasaskan AI, pakar tetap melahirkan keraguan terhadap keberkesanan AI dalam menggantikan sepenuhnya peranan manusia.
Penganalisis polisi, Harris Zainul memberitahu BenarNews bahawa walaupun AI boleh meningkatkan kecekapan, ia mungkin tidak dapat mengatasi keberkesanan pengawalan yang dilakukan oleh tenaga manusia.
"AI boleh menjadi lebih cekap daripada pengawalan manusia, terutamanya pada skala seperti yang dilakukan oleh platform ini dengan kandungan yang dijana pengguna, tetapi kecekapan bukan jaminan untuk keberkesanan," kata Harris yang merupakan Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia.
"Masih terdapat persoalan tentang ketepatan algoritma, dan malangnya, tiada penilaian pihak ketiga terhadap sistem pengawalan kandungan yang dilaksanakan oleh platform ini."
Benjamin Loh, pensyarah kanan pengajian media di Taylor’s University di Malaysia menegaskan bahawa peranan kawalan kandungan menggunakan tenaga manusia, walaupun lebih mahal, ia diperlukan untuk platform yang beroperasi di negara berbilang bahasa dan mempunyai kepelbagaian seperti Malaysia.
"Pada ketika ini, AI pastinya tidak cukup dipercayai tetapi saya memahami rasional di sebaliknya kerana pengawalan menggunakan manusia jauh lebih mahal," kata Loh kepada BenarNews.
"Ia terutamanya dari aspek ekonomi dan kebanyakan penelitian kawal selia tertumpu kepada syarikat-syarikat tersebut untuk terus menggunakan pengawalan manusia."
"Namun dalam ruang media seperti Malaysia yang jauh lebih kecil dengan banyak bahasa, nuansa dan konteks yang berbeza, pastinya tidak ada 'data latihan' yang mencukupi untuk melengkapkan AI dengan betul untuk menangani isu di negara ini," katanya.