Malaysia perlu kapal tempur baharu tingkatkan tahap pertahanan negara

TLDM akan terus menggunakan kapal dibeli kerajaan pada 1980-an bagi operasi menjaga pertahanan perairan negara, jika tiada aset baharu.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2022.09.02
Kuala Lumpur
Malaysia perlu kapal tempur baharu tingkatkan tahap pertahanan negara Peserta protes Mana Kapal LCS berhimpun di hadapan sebuah kompleks membeli belah di Kuala Lumpur, 14 Ogos, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kelewatan projek pembinaan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) yang setakat ini menelan belanja kira-kira RM6 bilion (AS$1.4 bilion) telah melemahkan pertahanan negara Malaysia, demikian menurut seorang pegawai tinggi tentera, selepas kontraktor yang diupah kerajaan gagal menyiapkan walau sebuah daripada lima kapal yang sepatutnya disiapkan dan serahkan setakat Ogos 2022.

Pegawai memerintah Armada Timur Laksamana Madya Sabri Zali berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhadapan kekurangan kebolehan tempur di laut kerana kapal perang yang dioperasikan pada masa kini semuanya telah tua dan usang.

Bercakap di dalam satu sidang media pada Khamis, Sabri berkata tentera laut tidak mampu untuk bertindak tanpa aset kombatan sekiranya berlaku peperangan atau konflik di perairan negara itu.

"Keupayaan, kekuatan kita dalam melaksanakan peperangan maritim masih lagi amat rendah. Kita sedang mengusahakan. Saya rasa di peringkat Kementerian Pertahanan sedang mempertingkatan banyak usaha-usaha yang sedang berjalan.

"Sebagai contohnya kita semua tahu projek LCS akan diteruskan. Apapun yang telah berlaku sebelum ini, tindakan berasingan akan diambil tetapi projek perlu diteruskan kerana TLDM memerlukan aset-aset ini untuk mempertahankan kedaulatan dan perairan negara.

"Tanpa aset-aset kombatan ini kita tidak akan mampu berbuat apa-apa sekiranya berlaku konflik atau peperangan maritim. Saya berterus terang dalam hal ini," kata pegawai kanan tersebut selepas merasmikan majlis penutup latihan kesiapsiagaan TLDM yang dinamakan OSTEX EAST di Sandakan, Sabah.

Tambah Sabri, TLDM pada ketika ini mempunyai aset yang terhad, dan seluruh dunia mengetahui mengenai tahap kemampuan pasukan itu yang tertinggal di belakang negara-negara jiran.

Selain itu, aset ketenteraan yang dimiliki mereka juga perlu sentiasa dan dinaiktaraf untuk memastikan peralatan tersebut tidak lapuk dan usang, dan ini memerlukan peruntukan kewangan.

"Dari segi kemampuan saya tak perlu ulaslah. Kita punya kemampuan berbanding dengan negara-negara jiran, keupayaan tempur kita jauh ke belakang berbanding Singapura, Indonesia dan Thailand. Dan tidak lama lagi mungkin juga di belakang Filipina dan Brunei.

"Semua aset yang dibeli ini bukanlah seperti lampin pakai buang. Aset ini perlu diganti dan perlu dinaiktaraf. Apabila tidak ada peruntukan kewangan maka tidak boleh dilaksanakan. Apabila tidak dilaksanakan selama berpuluh tahun maka ia akan usang. Bila usang tidak boleh dioperasikan."

Masalah berdekad

Sementara itu, seorang penganalisis keselamatan dan pertahanan berkongsi sentimen laksamana tentera laut itu dan menyatakan bahawa TLDM menghadapi masalah kelompongan dari segi kebolehannya untuk beroperasi dan mempertahankan kedaulatan negara.

Menurut Shahriman Lockman dari Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia, tentera laut telah berdepan dengan isu kekurangan peruntukan untuk armada atas permukaannya sejak tahun 1990-an lagi.

"Kelewatan dan penggunaan peruntukan yang amat besar telah menambahkan lagi masalah yang dihadapi TLDM. Dan saya tidak jangka masalah ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat, kerana ia adalah masalah yang amat besar," kata Shahriman kepada BenarNews.

Tambah pakar itu, masalah yang dihadapi tentera laut itu akan menyebabkan mereka terpaksa berterusan mengharapkan kapal jenis frigat dan korvet yang dibeli kerajaan pada 1980-an untuk operasi menjaga pertahanan perairan negara.

Shahriman berkata Malaysia memerlukan pelan jangka masa panjang untuk membuat permodalan semula bagi armada TLDM, dan buat sementara waktu, pasukan itu perlu menggunapakai aset yang ada sebaik mungkin. Selain itu, TLDM juga boleh melihat peluang yang ada dari kerjasama Malaysia dengan rakan pertahanan lain seperti Australia, Amerika Syarikat, Perancis dan UK.

"Dalam jangka masa panjang, Malaysia perlu memberikan keutamaan kepada tentera laut dan juga tentera udaranya memandangkan jenis ancaman yang dihadapi masa kini," kata Shahriman.

Menurut Chasseur Group Associate Researcher, sebuah firma penyelidikan dan konsultansi analitik dengan kepakaran dalam bidang cabaran keselamatan, masalah kekurangan aset yang dihadapi tentera Malaysia juga berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan peruntukan di antara tentera dengan keperluan negara yang lain seperti pendidikan dan kesihatan.

"Ia agak bersifat simplistik untuk menyalahkan perkara yang dihadapi kini semata-mata pada isu penyelewengan, kerana faktor lain seperti birokrasi dan masalah perancangan juga menjadi penyebab.

"Tentera laut mengamalkan polisi 2-2-2 iaitu dua kapal di laut, dua kapal dalam simpanan, dan dua lagi kapal di dalam penyelenggaraan. Akan tetapi, (TLDM hanya memiliki) dua kapal frigat dari kelas Lekiu dan dua kapal korvet dari kelas Kasturi, yang mana adalah mustahil untuk mereka mengikut polisi tersebut.

"Sekiraya kapal LCS dihantar mengikut jadual, ia akan mampu menepati kriteria ini," kata firma berkenaan.

Tambahnya, TLDM memerlukan LCS untuk menggantikan aset maritim mereka yang berada dalam keadaan kritikal termasuk frigat dari kelas Lekiu dan korvet dari kelas Kasturi yang berusia hampir atau lebih 30 tahun.

Pada 2014, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 bilion) kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), syarikat pembuat kapal milik kerajaan, untuk membina enam buah LCS bagi kegunaan TLDM. Lima daripada kapal tersebut dijadualkan siap dan sepatutnya dihantar ke tangan TLDM secara berperingkat antara 2017 dan 2022, namun tidak ada satu pun yang berjaya disiapkan sehingga kini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.