Tentera Laut Malaysia tubuh lembaga siasatan nahas dua helikopter terhempas

Menteri Pertahanan berkata semua acara sambutan ulang tahun ke-90 TLDM dibatalkan susulan tragedi mengorbankan 10 anggota tentera laut semasa sesi raptai.
Iman Muttaqin Yusof dan Nisha David
2024.04.23
Kuala Lumpur
Tentera Laut Malaysia tubuh lembaga siasatan nahas dua helikopter terhempas Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin melawat tempat helikopter terhempas selepas berlanggar di udara di Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, dengan petugas media hanya dibenarkan merakamkan visual bangkai helikopter HOM (M503-3) dari jarak 100 meter, di Perak, 23 April 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca nahas dua helikopter berlanggar di udara dan terhempas hingga mengakibatkan kesemua 10 kru terkorban semasa latihan acara raptai lintas hormat pada Selasa, kata Menteri Pertahanan.

Kedua-dua helikopter milik TLDM dari jenis AgustaWestland AW-139 M503-3 dan Eurocopter AS555SN Fennec yang masih baru digunakan oleh pasukan tentera laut itu terhempas di pangkalan tentera yang terletak di Lumut, di negeri Perak semasa latihan bagi menyambut ulang tahun ke-90 TLDM yang dijadual berlangsung pada Sabtu, kata Mohamed Khaled Nordin.

Pada pagi Selasa, klip video berdurasi 21 saat tular di media sosial menunjukkan insiden dua helikopter tentera bertembung di udara sebelum kedua-duanya terhempas.

“Tentera Laut Diraja Malaysia akan menubuhkan lembaga penyiasatan, dibantu oleh tentera udara dan Direktorat Am Kelayakan Teknikal Udara (DGTA) untuk membantu mengenal pasti punca nahas,” kata Mohamed Khaled kepada pemberita di pangkalan tentera laut Lumut.

“Kita juga membatalkan semua acara sambutan ulang tahun TLDM dan menggantikannya dengan majlis tahlil dan doa selamat atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Kapten Yang Dipertua TLDM,” katanya.

Sambutan Hari Ulang Tahun ke-90 TLDM pada mulanya dijadual berlangsung di Lumut pada Sabtu manakala Hari Terbuka Armada TLDM pada 3 hingga 5 Mei ini.

Mohamed Khaled berkata sebuah helikopter terhempas ke dalam kolam renang manakala satu lagi terjatuh di kawasan stadium dalam pangkalan tentera laut itu.

Secara keseluruhan, tujuh buah helikopter mengambil bahagian dalam raptai hari keempat pada Selasa.

Beliau juga berkata, kesemua 10 pegawai pelbagai pangkat yang terkorban itu berpangkalan di Lumut dan Kota Kinabalu, Sabah.

"Kita bantu uruskan jenazah dan lihat kepada semua manfaat dan faedah yang wajar diterima oleh ahli keluarga mangsa. Kita juga berterima kasih kepada semua kakitangan hospital dan Pangkalan TLDM," katanya.

"Dari segi pengebumian, ia akan ditentukan mengikut keluarga kerana ada yang mahu disemadikan di kampung masing-masing."

Semua jenazah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak untuk bedah siasat dan proses pengecaman.

HELIKOPTER_TERHEMPAS_LUMUT_01.jpg
Bangkai Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW-139 dari Skuadron 503 yang terhempas di Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM) Lumut, Perak, 23 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Laporan interim secepat mungkin

Terdahulu di Kuala Lumpur, Khaled memberitahu pemberita bahawa laporan interim insiden itu akan dikeluarkan secepat mungkin manakala laporan penuh mungkin mengambil masa.

“Disebabkan jarang berlaku kejadian seperti itu, kementerian akan bertindak pantas,” katanya.

Markaz Tentera Laut dalam kenyataan berkata seramai tujuh kru yang menaiki Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW-139 manakala tiga lagi dalam pesawat Fennec meninggal dunia di tempat kejadian ekoran nahas tersebut.

Maklumat awal berhubung kejadian itu dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak yang menerima panggilan kecemasan pada jam 9.50 pagi.

Senarai rasmi yang dikeluarkan oleh TLDM menyatakan mangsa yang terkorban di dalam helikopter AW-139 ialah Muhammad Firdaus Ramli, Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Muhammad Faisol Tamadun, Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia Rohna.

Mangsa yang menaiki helikopter Fennec (M502-6) pula ialah Muhamad Amir Mohamad, Sivasutan Thanjappan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar pada Selasa merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menuntut siasatan menyeluruh.

“Saya mahu Angkatan Tentera Malaysia menjalankan siasatan rapi bagi mendapatkan maklumat penuh mengenai kejadian ini," titah baginda.

Sultan Selangor turut menzahirkan ucapan takziah dan berharap anggota keluarga anggota TLDM tabah menghadapi dugaan itu.

"Selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, beta menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan tragedi menyayat hati yang berlaku pada bulan Syawal dan semasa ulang tahun ke-90 TLDM," titah Sultan Sharafuddin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kenyataan turut menyatakan negara berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati membabitkan nahas dua helikopter itu.

"Tragedi ini memberi kesan mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia dan ia kehilangan besar buat negara," katanya.

ANAK_KAPAL_COLOR_01.jpg

Senarai 10 anggota tentera laut Malaysia yang terkorban (dari kiri atas) Sivasutan Thanjappan, Joanna Felicia Rohna, Mohamad Amir Mohamad, Mohd Shahrizan Mohd Termizi, Nor Rahiza Anuar. (Kiri bawah) Norfarahimi Saedy, Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Mohamad Faisol Tamadun, Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dan Mohamad Firdaus Ramli. [Ihsan Tentera Laut Diraja Malaysia]

Formasi penerbangan

Ketika nahas udara jarang berlaku di Malaysia, seorang pakar penerbangan memberitahu BenarNews bahawa tragedi pelanggaran atau kemalangan di udara pernah berlaku di beberapa tempat di luar negara terutamanya ketika pertunjukan udara tentera.

Presiden Persatuan Juruterbang Malaysia Abdul Manan Mansor berpendapat berdasarkan kepada klip pendek rakaman insiden helikopter terhempas pada pagi Selasa, nahas itu berkemungkinan disebabkan kurang pemahaman yang betul tentang formasi penerbangan 'bomb-burst' dalam raptai tersebut.

"Formasi tersebut hanya dilakukan oleh pesawat tentera dengan latihan menyeluruh dan ia tidak pernah melibatkan helikopter awam," katanya kepada BenarNews.

"Insiden itu boleh dielakkan dengan latihan yang betul, juruterbang terlatih, taklimat pra penerbangan mendalam dan kawalan di darat yang baik.”

Sekurang-kurangnya sembilan insiden nahas helikopter dilaporkan di Malaysia sejak 20 tahun lalu dengan pada Mac lepas, helikopter AW139 milik Maritim Malaysia terhempas di perairan Pulau Angsa, Klang, Selangor namun empat anggotanya terselamat.

Antara nahas terbesar ialah pesawat Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar, Sarawak mengakibatkan enam maut termasuk dua ahli parlimen, Noriah Kasnon (Sungai Besar, Selangor) dan Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar, Perak) pada 5 Mei 2016.

Pada 4 April 2015, helikopter Eurocopter AS365 terhempas di Semenyih, Selangor yang mengorbankan enam individu termasuk wakil rakyat Rompin Jamaluddin Jarjis.

Pada 13 Julai 2007, helikopter Nuri (Sikorsky S-61A-4) milik Tentera Udara Diraja Malaysia terhempas di Genting Sempah, Pahang hingga mengorbankan enam anggotanya. Bangkai pesawat dan mayat mangsa ditemui selepas lima hari pesawat itu dilaporkan hilang.

Pada 12 Julai 2004, helikopter jenis Bell 206 Long Ranger terhempas di Bario, Sarawak. Tujuh maut termasuk Menteri Muda Sarawak, Judson Sakai Tagal.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.