COVID-19: Top Glove Akui Pemberhentian Pekerja Yang Beri Maklumat Tidak Sepatutnya Berlaku
2020.12.23
Kuala Lumpur
Top Glove, pengeluar sarung tangan terkemuka dunia pada Rabu mengakui bahawa tindakan memberhentikan seorang pekerja asing yang mendedahkan maklumat mengenai ketidakpatuhan penjarakan sosial di sebuah kilangnya pada Mei lepas, tidak sepatutnya berlaku dengan beberapa pendekatan diambil syarikat untuk memperbaikinya termasuk membuka talian bantuan kepada pekerja.
Pengarah Urusan Top Glove, Lee Kim Meow dalam satu temubual di stesen radio BFM berkata bahawa Top Glove kini telah menyediakan tiga talian bantuan bagi mendengar rungutan daripada para pekerjanya dengan talian berkenaan berfungsi 24 jam sehari.
Lee terdahulu itu ditanya mengenai memberhentian seorang pekerja warga Nepal bernama Yubaraj Khadka, 27, selepas beliau mengambil dua keping gambar menunjukkan pekerja di sebuah kilang itu berasak-asak memasuki permis tanpa ada penjarakan sosial dan gambar berkenaan telah dikongsi dengan seorang aktivis hak asasi pekerja.
"Sekiranya insiden tersebut terjadi hari ini, pemberhentian itu tidak akan berlaku kerana kami telah menggunakan khidmat perunding, dan mereka telah membimbing kami apa yang sepatutnya dilakukan," kata Lee mengulas mengenai perkara tersebut dimana agensi berita antarabangsa Reuters ada melaporkan mengenainya minggu lalu.
Beliau memberitahu yang syarikat itu telahpun menjalankan kerja-kerja penambahbaik beberapa proses yang digunakan syarikat sejak tindakan terhadap Yubaraj diambil.
"Kami sebenarnya sudah bercakap dengannya, dan beliau mengakui berniat untuk memberikan gambar itu kepada seseorang, supaya orang itu boleh menggunakan gambar tersebut untuk memalukan Top Glove," kata Lee.
Lee turut mengakui untuk mengurus dan memantau lebih 11,000 pekerja asing di semua kilang syarikat berkenaan di seluruh Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah.
“Masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan. Kami sudah belajar dari kesilapan, dan kami boleh menjadi lebih baik di masa hadapan," tambah Lee.
Pekerja kilang Top Glove adalah antara penyumbang terbesar kes positif COVID-19 di Malaysia, dengan lebih 5,000 pekerjanya telah dijangkiti virus itu.
Pada awal bulan ini, seorang pekerja asingnya yang juga rakyat Nepal, Yamnarayanan Chaudhary Tharu, 29, pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah kilang Top Glove di Meru Klang, telah meninggal dunia kerana komplikasi kesihatan yang berpunca dari COVID-19.
Lee yang mengulas mengenainya berkata, Top Glove amat kesal dengan kematian itu dengan memberitahu bahawa segala yang perlu telah diuruskan syarikat dan pampasan juga telah dibuat kepada keluarga mendiang.
Siasatan
Pada Julai lepas, Top Glove turut menjadi tumpuan media apabila pihak berkuasa Amerika Syarikat menyekat kemasukan import sarung tangan getah keluarannya dengan berkata yang mereka mempunyai bukti terhadapnya amalan buruh paksa melibatkan pekerja kilang berkenaan di Malaysia.
Beberapa bulan selepas itu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia pula mengumumkan sebanyak 19 kertas siasatan terhadap enam syarikat di bawah Top Glove telah dibuka kerana dipercayai melanggar pelbagai undang-undang yang berkaitan fasiliti kediaman pekerja.
Ini termasuk isu hostel pekerja yang terlalu sesak dan tiada pengudaraan yang baik, serta penggunaan bangunan yang tidak mengikut peraturan pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, seorang pegawai kerajaan yang arif mengenai isu buruh berkata bahawa mana-mana pekerja yang berasakan bahawa diri mereka telah dibuang kerja secara salah, boleh memfailkan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Katanya, akta itu adalah berkenaan hak seseorang pekerja untuk mengadu kepada pihak berkuasa sekiranya beliau berasa telah diberhentikan kerja tanpa sebab atau alasan yang munasabah dari majikan.
Talian tidak mencukupi
Sementara itu, sebuah badan hak asasi pekerja menyifatkan tindakan Top Glove mengadakan talian bantuan itu sebagai tidak mencukupi, dan menggesa syarikat berkenaan supaya turut mereformasikan keseluruhan proses pengambilan pekerja mereka.
Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira memberitahu BeritaBenar bahawa talian bantuan hanyalah menyediakan aspek teknikal dalam mekanisme pembetulan.
"Pekerja perlu diberikan penerangan dan diperkasakan mengenai hak mereka. Ini sepatutnya dibuat melalui orientasi oleh kerajaan sebelum mereka pergi ke tempat kerja sebaik tiba di Malaysia. Tetapi malangnya ini tidak diberlaku.
"Jadi sekarang ini semua pihak cuba membetulkan situasi apabila penganiayaan telah berlaku. Reformasi secara komprehensif perlu dibuat dalam mekanisme pengambilan pekerja syarikat-syarikat, serta memperkasakan pekerja mereka dengan pengetahuan mengenai hak-hak mereka.
"Hanya selepas itu kewujudan talian bantuan menjadi sesuatu yang logik. Kalau tidak, para pekerja tidak tahu apa yang mereka ingin adukan walaupun mereka boleh membuat panggilan," kata beliau.
Tambah Pereira, proses yang digunakan dalam talian bantuan juga perlu dikaji semula, dan kebiasaannya ia memerlukan pihak ketiga untuk membantu pekerja sebelum syarikat menyelesaikan masalah yang dikenalpasti melalui panggilan di talian tersebut.
Aktivis hak asasi pekerja asing, Andy Hall pula menggesa supaya Top Glove memikirkan mengenai keselamatan dan kebajikan para pekerja mereka di sebalik peningkatan sasaran produktiviti dan kesuntukan masa pengeluaran mereka.
Tanpa para pekerja, syarikat itu tidak mungkin boleh mengaut keuntungan besar serta mengeluarkan sarung tangan mereka dengan cepat dan murah.
"Top Glove, para pembeli serta pelabur perlu memikirkan mengenai kesihatan, keselamatan, kerja dan kebajikan pekerja mereka, yang mana tanpa mereka melakukan semua kerja kotor, berbahaya dan sukar ini, sarung tangan syarikat tidak akan boleh dikeluarkan dengan begitu banyak dan menguntungkan," katanya.