Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan Lawat China Bincang Isu Keganasan Dan Pertahanan
2017.09.26
Kuala Lumpur
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Malaysia pada acara yang berbeza sedang mengadakan lawatan rasmi ke China untuk perbincangan hubungan dua hala yang melibatkan isu keganasan, pertahanan dan ketenteraan.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berada di China untuk menghadiri Perhimpunan Agung Interpol ke-86 bermula Isnin manakala Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein telah memulakan lawatan ke negara berkenaan untuk menemui para pegawai pertahanan China sejak Sabtu lepas.
“Pada perhimpunan kali ini, Malaysia akan memberi keutamaan kepada isu-isu berkaitan jenayah siber yang telah menyebabkan negara kerugian berpuluh juta ringgit," kata Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pendek yang diterima oleh BeritaBenar pada Isnin mengenai perhimpunan itu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia akan meningkatkan komitmen dalam memerangi jenayah antarabangsa seperti terkandung di dalam Resolusi 2178 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata beliau.
“Komitmen Malaysia termasuk ancaman keganasan, jenayah siber, jenayah terancang dan gerakan keganasan ekstremis dan radikal,” katanya mengenai sesi yang bakal dihadiri oleh wakil dari 157 buah negara anggota yang akan dirasmikan oleh Presiden China, Xi Jinping pada Selasa.
Perhimpunan yang bertema "Menghubungkan Polis bagi Dunia yang Lebih Selamat`` akan memberi fokus kepada usaha-usaha Interpol untuk menyediakan platform komunikasi yang lebih berkesan di kalangan semua negara anggota bagi meningkatkan kapasiti untuk memerangi semua bentuk jenayah antarabangsa, tambahTimbalan Perdana Menteri itu.
Tegasnya, perhimpunan agung kali ini turut melibatkan penekanan yang lebih tinggi oleh Interpol dalam mempromosikan kerjasama antara agensi polis seluruh dunia bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman antarabangsa dalam menghadapi peningkatan ancaman global.
Ahmad Zahid dalam lawatannya juga akan membuat kunjungan hormat untuk bertemu Perdana Menteri China Li Keqiang, Menteri Keselamatan Awam China, Guo Sheng Kun dan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-Undang Pusat Parti Komunis China, Meng Jianzhu,
“Kedua-dua belah pihak akan membincangkan kerjasama keselamatan dua hala, termasuk inisiatif anti keganasan melalui Counter-Messaging Centre (CMC) yang ditubuhkan di Malaysia,” kata Ahmad Zahid.
Menurut laporan agensi berita nasional, Malaysia dijangka akan meningkatkan lagi jalinan hubungan kerjasama dengan China serta negara anggota Interpol dalam membanteras jenayah rentas sempadan, keganasan dan jenayah siber dalam usaha untuk menjadikan dunia lebih selamat, menurut Duta Besar Malaysia ke China, Zainuddin Yahya.
Zainuddin dalam laporan itu juga berkata, tumpuan Malaysia adalah kepada usaha untuk menyediakan platform komunikasi yang berkesan di kalangan semua negara anggota Interpol untuk berkongsi maklumat serta mempertingkatkan keupayaan untuk memerangi jenayah antarabangsa dalam semua bentuk.
Sementara itu, Hishammuddin dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata Malaysia dijangka menerima salah satu daripada dua misi pesisir (LMS) yang dibina di China, pada Oktober 2019.
“Pembinaan 2 LMS ini berada di landasan yang betul serta mengikut jadual yang ditetapkan. Insyaallah kita akan memperolehi LMS pertama dari 2 LMS ini pada bulan Oktober 2019,” katanya dalam kenyataan itu.
Hishammuddin menambah dua kapal LMS tersebut sedang dibina oleh China Shipbuilding Offshore International Co. Ltd (CSOC) dan Boustead Naval Shipyard di negara itu.
“Ini memperlihatkan kerjasama erat yang terjalin di antara dua negara yang akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama dari segi keselamatan, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan,” tambahnya.
Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas telah mengadakan mesyuarat dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Pusat Parti Komunis China, Meng Jianzhu dan Kaunselor Negara China, Yang Jiechi serta Menteri Pertahanan China Jeneral Chang Wanquan.
“Pelbagai perkara dibincangkan dalam beberapa siri pertemuan ini mencakupi isu-isu keselamatan serantau, ancaman-ancaman keganasan yang dihadapi kini khususnya gerakan militan Daesh selain kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan China,” katanya lagi dengan menggunakan terma Negara Islam (IS) yang lain.
Beliau telah menamatkan lawatan ke China selama tiga hari pada Isnin.
Tambahnya, dalam menangani ancaman IS, kedua-dua negara memantau rapat usaha terbaru kumpulan tersebut untuk bertapak sekali gus mengukuhkan pengaruh di Asia Tenggara, terutama selepas mereka menghadapi tentangan sengit di Syria dan Iraq.
“Insiden di Marawi, Selatan Filipina membuktikan bahawa Daesh sememangnya berhasrat mewujudkan wilayah pemerintahan di Asia Tenggara. Lebih membimbangkan apabila terdapat pengganas yang mempunyai kaitan rapat dengan Daesh dari beberapa negara turut berperang menentang tentera Filipina di Marawi,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya kumpulan pengganas itu berjaya bertapak di rantau Asia Tenggara, ianya akan mengancam keselamatan dan kestabilan bukan sahaja negara-negara di rantau tersebut, tetapi akan merebak terutamanya ke negara-negara berhampiran termasuk China.