Malaysia Antara 12 Negara Capai Persetujuan Perjanjian TPP

S. Adie Zul
2015.10.05
151005-MY-TPP620 Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Michael Froman bersama sepuluh menteri perdagangan dari negara-negara terlibat dalam perundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di Atlanta, Amerika Syarikat. 5 Okt 2015.
The Yomiuri Shimbun

Kemaskini pada 10:54 p.m. ET - 2015-10-07

Malaysia dan 10 negara di Pasifik pada Isnin mencapai persetujuan di Atlanta bagi perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bersama Amerika Syarikat, yang bakal menjadi mercu tanda baru kepada sejarah liberalisasi perdagangan.

TPP dijangka akan memberi impak kepada hampir 40 peratus ekonomi dunia sekiranya ia diluluskan oleh ahli-ahli Kongres atau ahli-ahli Parlimen di negara-negara yang terlibat dalam perjanjian itu. TPP juga bakal menjadi pencapaian yang akan menentukan legasi Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Persetujuan itu, yang menamatkan perbincangan maraton selama lima tahun, melibatkan wakil dari AS dan para menteri perdagangan dari negara-negara terbabit: Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia.

Malaysia diwakili oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed dalam siri rundingan terakhir di Atlanta itu.

Objektif utama TPP adalah untuk menghapuskan sekatan dagangan, menetapkan standard untuk tenaga buruh dan alam sekitar serta melindungi hak intelek syarikat-syarikat multinasional.

TPP telah dikemaskini  untuk meningkatkan perdagangan diantara AS dan negara-negara yang terlibat.

Dari perspektif Malaysia, TPP akan membuka laluan pasaran kepada 793 juta penduduk, dengan nilai keseluruhan Keluaran Negara Kasar (GDP) berjumlah US$27 trilion - jauh lebih besar dari pasaran tempatan yang terhad kepada 29.5 juta penduduk dengan GDP bernilai US$300 bilion di Malaysia.

Dalam reaksinya selepas persetujuan dicapai, Mustapa berkata TPP akan sekaligus mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.

Mustapa dalam satu kenyataan seperti yang telah dilaporkan oleh Chanel News Asia pada Isnin sebagai berkata, TPP akan menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta membantu Malaysia untuk mengharungi pelbagai cabaran dalam pentas ekonomi global.

Lebih kompetitif

Menurut Mustapa, TPP akan membuka "peluang yang lebih besar kepada akses-pasaran" bagi syarikat-syarikat dari Malaysia untuk menembusi pasaran di rantau Amerika antaranya seperti Kanada, Mexico dan Peru, negara-negara di mana Malaysia tidak mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sebelum ini.

"TPP juga akan memberi peluang kepada para pengekspot Malaysia "kelebihan kompetitif berbanding saingan dalam kawasan serantau" untuk mengekspot barangan ekspot utama, seterusnya menjana hasil dan peluang pekerjaan untuk "puluhan ribu rakyat Malaysia", katanya.

Mustapa berkata Malaysia telah memenangi "beberapa konsesi" dalam rundingan TPP.

"Pihak-pihak yang terlibat bersetuju untuk mengambil kira hampir kesemua kebimbangan dan perkara-perkara sensitif yang kita telah bangkitkan, khususnya dalam perihal membabitkan syarikat milik kerajaan, syarikat-berkaitan kerajaan dan isu berkaitan Bumiputera.

"Elemen fleksibiliti yang telah dibenarkan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan yang lebih panjang dan perbezaan pendekatan terhadap perkara-perkara yang sensitif bagi Malaysia," katanya lagi.

Keputusan kolektif

Menyentuh mengenai hak intelek, Mustapa berkata Malaysia bertegas bahawa TPP tidak akan menafikan hak masyarakat untuk mendapatkan akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan yang mampu dibeli, serta pada masa yang sama memberi jaminan kepada para pengeluar bahan-bahan perubatan untuk terus mengeluarkan ubat-ubatan dan produk kesihatan yang baru.

Mustapa memberi jaminan bahawa keputusan Malaysia untuk terlibat dalam TPP adalah "keputusan kolektif" dan berkata, teks rasmi mengenai perjanjian itu, sebaik disiapkan kelak, akan boleh diakses oleh orang ramai dan akan dibentangkan di parlimen bagi tujuan perbahasan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan mengadakan perundingan dengan orang awam serta pihak-pihak berkaitan.

Sementara itu dalam satu pengumuman pada Isnin, pentadbiran White House berkata perjanjian itu mampu memberi kesan kepada hampir separuh daripada kuasa ekonomi global.

Obama dalam satu kenyataan berkata perjanjian itu "mencerminkan nilai-nilai Amerika dan memberi peluang yang adil kepada para pekerja kita untuk mengecapi kejayaan yang sepatutnya."

"Pendekatan saya dalam perdagangan sentiasa berpandu kepada prinsip penyatuan: memberikan peluang kepada pekerja dan perusahaan Amerika untuk bersaing secara adil, supaya kita boleh mengekspot produk-produk dengan cap 'Buatan Amerika' ke seluruh dunia yang mana akan menyokong pekerjaan berpendapatan tinggi di tanahair Amerika," katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, John Kerry dalam satu kenyataan media pada Isnin berkata, AS dan 11 negara terlibat telah mengambil langkah yang sangat penting ke arah mengukuhkan hubungan ekonomi dan mengeratkan lagi hubungan strategik di rantau Asia-Pasifik, berikutan persetujuan yang telah dicapai itu.

"Perjanjian bersejarah ini akan menghubungkan negara-negara yang mewakili hampir 40 peratus dari Keluaran Negara Kasar (GDP) global.

"TPP akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran, meningkatkan daya saing, serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Amerika," katanya.

Kerry berkata TPP akan mewujudkan lonjakan dalam masa terdekat kepada ekonomi AS selain membentuk hubungan strategik dan ekonomi di rantau Asia-Pasifik pada masa depan.

Baru-baru ini, Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) menegaskan TPP memberi inisiatif penting kepada Malaysia untuk meluaskan peluang akses pasaran serta meningkatkan daya saing negara.

Dalam kenyataannya, presiden MICCI Jalilah Baba berkata, TPP akan bantu meningkatkan keyakinan pelabur serta menarik pelaburan asing ke Malaysia seterusnya membina kapasiti negara melalui perjanjian dagangan bebas (FTA).

Katanya, untuk memastikan Malaysia terus mendapat akses pasaran di peringkat antarabangsa dan kekal sebagai lokasi pilihan di kalangan pelabur asing, Malaysia perlu terus berusaha untuk menambah perjanjian dagangan dua hala serta perjanjian perdagangannya.

Jalilah berkata sebagai kuasa ekonomi yang kecil tetapi aktif, Malaysia perlu terus mencari akses pasaran yang baru dan lebih besar.

"TPP akan membolehkan produk tempatan mendapat akses kepada pasaran yang mana Malaysia tidak mempunyai FTA seperti dengan AS, Kanada, Mexico dan Peru," katanya.

Selain itu, katanya Malaysia juga berpeluang menjadi pusat operasi untuk syarikat-syarikat luar dari negara-negara yang tidak terlibat dengan TPP.

Katanya lagi, Malaysia juga berpotensi untuk mengambil bahagian dalam jaringan bekalan di seluruh rantau, seterusnya dalam jangka masa panjang untuk merendahkan kos pengeluaran barangan selain meningkatkan kecekapan penghasilan produk.

"Dengan TPP, Malaysia akan mampu untuk bergerak dengan lebih pantas dan merebut peluang di pasaran antarabangsa yang baru."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.