Kes ‘Jenayah Benci’ Terhadap Transgender, Lapan Ditahan Di Negeri Sembilan
2018.08.20
Kuala Lumpur, Malaysia
Polis Malaysia telah menahan lapan lelaki dipercayai terlibat dalam satu kejadian memukul seorang transgender di Seremban, Negeri Sembilan sehingga menyebabkan kecederaan patah tulang rusuk minggu lalu, beberapa hari selepas Menteri Hal Ehwal Agama Islam Mujahid Yusof Rawa menekankan bahawa golongan minoriti itu perlu dibela.
Ketua Siasatan Jenayah Daerah Seremban Sulizmie Affendy berkata, kesemua lapan suspek kini ditahan reman ekoran insiden itu, selepas abang mangsa melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
"Kami telah menahan lapan suspek yang terlibat di dalam kes memukul seorang transgender, dipercayai dengan senjata, di Taman AST Jalan Sungai Ujong, Seremban, pada Rabu lalu," kata Sulizmie kepada BeritaBenar pada Isnin.
Mangsa yang berusia 32 tahun, difahamkan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tulang rusuk serta kecederaan dalaman, dan telah dibenarkan keluar daripada wad pada Ahad, selepas mendapat rawatan selama hampir lima hari di Hospital Seremban.
Menurut Sulizmie lagi, dua suspek utamakes pukul tersebut, masing-masing berumur 24 tahun, telah ditangkap sehari selepas kejadian, manakala enam lagi berusia di antara 17 dan 18 tahun ditahan malam semalam di hadapan perkarangan balai polis daerah Seremban.
Kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa dengan menggunakan senjata.
Pada 10 Ogos lepas Mujahid berkata bahawa beliau mahu segala bentuk penindasan dan stereotaip ke atasgolongan minoriti Transgender dihentikan kerana mereka juga berhak mendapat layanan sama rata seperti warganegara yang lain.
Mujahid menambah keengganan memberi layanan saksama hanya akan menyebabkan golongan itu tidak boleh berdikari yang sekaligus sering mengakibatkan mereka terjerumus ke lembah pelacuran.
“Golongan transgender tidak boleh didiskriminasikan di tempat kerja dan sebagainya. Diskriminasi tidak membantu mereka berdikari. Saya menggesa masyarakat untuk beri mereka peluang. Mereka juga mahu menyumbang dan mendapatkan hak mereka,” katanya selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan aktivis transgender Nisha Ayub di Putrajaya.
Sementara itu, sewaktu dihubungi BeritaBenar pada Isnin, Nisha berkata kejadian itu menunjukkan bahawa masih ramai orang awam tidak menghormatigolongan transgender.
Aktivis itu berkata bahawa mangsa yang dipukul adalah seorang mak andam (juru make-up)dan kejadian ini adalah yang pertama menimpa mangsa.
"Setahu saya ini adalah kejadian pertama melibatkan mangsa yang bekerja sebagai juru make-up. Mangsa masih keliru mengapa beliau dipukul dan sewaktu kejadian mangsa tidak melakukan apa apa. Ini adalah satu bentuk 'jenayah benci‘ (hate crime) terhadap golongantransgender," kata Nisha.
Kejadian itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh di mana beliau mengeluarkan satu kenyataan bersama peguam hak asasi manusia Syahredzan Johan dengan berkata, bahawa komuniti transgender telah lama menjadi sasaran serangan dan gangguan di seluruh negara.
Menurut kenyataan bersama itu, beberapa kes serangan yang dilakukan telah mengakibatkan kecederaan serius dan juga kematian.
"Selalunya, pelaku-pelaku jenayah itu tidak di bawa ke muka pengadilan, sama ada kerana mangsa takut untuk membuat laporan kerana takut diserang sekali lagi atau pihak berkuasa enggan mengambil tindakan lanjut. Kami percaya bahawa ketidakpedulian terhadap kehidupan komuniti transgender ini disebabkan tindakan sesetengah pihak yang sentiasa memomokkan komunititersebut.
"Suara kebencian (hate speech)yang diajukan kepada komuniti ini telah mengurangkan rasa kemanusiaan yang sekaligus membuat mereka menjadi sasaran. Kami mengecam sekeras-kerasnya suara kebencian yang diajukan terhadap komuniti ini,"kata kenyataan bersama itu.
Dibunuh
Tahun lalu, Sameera Krishnan, 26, yang bekerja sebagai pengubah bunga, dijumpai mati di Kuantan, Pahang, dengan kesan tembakan dan tetakan pada tubuh badannya.Tujuh suspek telah ditahan polis kerana didapati cuba membunuh Sameera.
Dua tahun sebelum itu, Sameera, pernah diculik dan dipukul sekumpulan lelaki di Klang, Selangor tetapi berjaya diselamatkan apabila seorang penunggang motosikal ternampak Sameera diikat di tempat duduk bahagian penumpang di dalam kereta penculik.
Dua suspek yang menculik Sameera telah ditangkap dan dituduh di Mahkamah Klang. Butir dakwaan tidak dapat dipastikan jika mereka sudahpun disabitkan kesalahan.
Pada tahun yang sama, di Pulau Pinang remaja berusia 18 tahun T. Nhaveen meninggal dunia selepas disiksa sekumpulan enam lelaki yang memukulnya berulang kali dengan topi keledar, sebelum membawanya ke padang berhampiran rumahnya di Taman Tun Sardon, Gelugor.
Nhaveen yang cedera di kepala, pinggul dan duburnya serta terdapat kesan terbakar di belakangnya diisytiharkan “mati otak” di Hospital Pulau Pinang.
Doktor yang merawatnya berkata dubur Nhaveen koyak teruk mungkin disebabkan tusukan objek tumpul.
Polis menahan lima lelaki berusia antara 16 hingga 18 atas dakwaan merusuh.
Nhaven yang mempunyai perwatakan “lembut” bukan saja menjadi penyebab beliau dipukul dan diseksa, tetapi juga kerana enggan menyertai kumpulan kongsi gelap.
Isu LGBT kembali hangat dibincangkan di Malaysia baru-baru ini selepas kejadian penggunaan gambar dua aktivis LGBT Nisha dan Pang Khee Teik digunakan dalam satu pameran di Pulau Pinang mendatangkan kritikan hebat dari kumpulan fanatik Islam di Malaysia.
Gambar mereka kemudiannya diturunkan selepas mendapat arahan dari Putrajaya. Mujahid berkataarahan tersebut diberikan sebagai satu tindakan untuk melindungi kaum LGBT.