Pilihan raya AS: Trump II akan jejaskan perdagangan, keselamatan di Asia Tenggara
2024.11.07
Washington
Kembalinya Donald Trump ke Rumah Putih mungkin akan menyebabkan perdagangan di Asia Tenggara menjadi perlahan dan meningkatkan ketegangan serantau di tengah-tengah jangkaan hubungan Washington-Beijing yang kian teruk, kata penganalisis.
Filipina berpotensi rugi besar jika Amerika Syarikat (AS) di bawah presiden dipilih berpatah balik, mengurangkan atau mempersoalkan hubungan dua hala yang mendalam pada ketika ini kerana kebuntuan Manila-Beijing yang makin berbahaya di Laut China Selatan, kata pakar keselamatan.
Negara-negara Asia Tenggara yang mendakwa tidak memihak dalam persaingan kuasa besar kini perlu mempersembahkan rentak diplomatik bagi menunjukkan sikap berkecuali, terutamanya kerana tiga daripada mereka baru-baru ini menyertai BRICS, blok ekonomi yang diterajui oleh pesaing Washington, Beijing dan Moscow.
Berbeza dengan pendekatan pentadbiran Demokrat yang mempunyai kaedah mengurangkan pengaruh besar China di Asia Tenggara, kerajaan Republikan di bawah Trump mungkin tidak menggemari strategi sedemikian jika ia melihat dirinya sebagai diperkecilkan, kata penganalisis.
Donald Trump ketika menjadi Presiden Amerika Syarikat kali pertama (baris belakang, kedua dari kanan) menghadiri sesi bergambar dengan Presiden Rusia Vladimir Putin (baris depan, kanan), Presiden China Xi Jinping (barisan depan, kiri) dan pemimpin Asia lain dalam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Danang, Vietnam, 11 November 2017. [Jorge Silva/Reuters]
Namun, kesan terbesar pentadbiran Trump kedua di Asia Tenggara membabitkan perdagangan kerana pemenang pilihan raya itu tidak merahsiakan nasionalisme ekonominya, kata Ahmad Mohsein Azman, seorang penganalisis BowerGroup Asia di Malaysia, sebuah perunding risiko politik.
Ahmad meramalkan "kelembapan dalam perdagangan dengan AS," dengan kembalinya Trump sebagai presiden.
“Tema berulang daripada kempen politik Trump ialah penekanan kepada ekonomi dalaman AS melalui platform ‘Dahulukan Amerika' kata Ahmad kepada BenarNews.
“Ini termasuk penggubalan dasar industri dan perdagangan untuk menggalakkan kembalinya industri utama dan peluang pekerjaan ke bumi Amerika. Tarif import baharu juga akan diperkenalkan.”
Semasa kempennya untuk kembali ke Rumah Putih, Trump berkata beliau bercadang untuk mengenakan cukai semua import sebanyak 10-20 peratus, kecuali barangan dari China yang akan mendapat tarif khas 60 peratus, semuanya dalam usaha untuk merangsang sektor pembuatan AS.
Sejak beberapa bulan lalu, Trump telah menyatakan tarif sebagai "perkara terhebat yang pernah dicipta”, “perkataan paling indah dalam kamus” dan "perkataan kegemarannya."
Malah beliau telah menamakan dirinya sebagai "Lelaki Tarif". Tarif import AS akan mempercepat peralihan kepada dunia yang lebih persaingan kuasa dan huru-hara, kata Ben Bland, pengarah Asia-Pasifik di Chatham House, sebuah badan pemikir hal ehwal antarabangsa berpangkalan di London.
“Kami tahu bahawa, dalam dasar luar negara, Trump suka kepada perang dagang, tidak berminat dengan peperangan sebenar dan mempunyai pandangan 'zero sum'," kata Bland dalam analisis ringkas di X.
"Naluri perlindungan yang mendalam Trump dan pergolakan dalam hubungan AS-China boleh menyukarkan kehidupan banyak negara di Asia."
Naib Presiden AS, Kamala Harris dibawa melawat ke dalam kapal pengawal pantai Filipina yang berlabuh di Puerto Princesa, Filipina, 22 November 2022. [Eloisa Lopez/Reuters]
Dengan Asia Tenggara menjadi tapak salah satu pentas geopolitik terkemuka dunia disebabkan isu Laut China Selatan yang dipertikaikan, perang perdagangan AS yang berpotensi memanaskan dengan China juga boleh mendatangkan risiko keselamatan serantau, kata penganalisis.
Syed Hamid Albar, bekas menteri luar Malaysia berkata Presiden AS yang baharu berkemungkinan mengguna pakai pendekatan melihat ke dalam, menumpukan perhatian kepada kepentingan Washington dengan mengenepikan semua yang lain.
“Sebarang tindakan oleh negara lain yang dianggap bertentangan dengan kepentingan AS berkemungkinan menyebabkan tindakan balas,” kata Syed Hamid kepada BenarNews.
Pakar hal ehwal antarabangsa Indonesia, Poltak Partogi Nainggolan bersetuju pendekatan tradisi pelbagai hala Washington akan menjadi lemah di bawah Trump hingga mungkin menjejaskan kestabilan rantau utama.
“Di Asia-Pasifik, khususnya di Laut China Selatan, ketegangan mungkin akan meningkat disebabkan dasar-dasar Trump yang tertumpu ke dalam,” kata pakar Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN) itu kepada BenarNews.
Pendekatan pengasingan ini mungkin membimbangkan Filipina, menurut Susannah Patton, pengarah Program Asia Tenggara di The Lowy Institute, sebuah badan pemikir Australia.
“Filipina yang mempunyai pakatan yang paling luas dengan AS di bawah pentadbiran [Joe] Biden berpotensi mengalami kerugian paling banyak,” kata Patton.
“Kegagalan untuk menyokong Manila jika ia terus diuji oleh Beijing di Laut China Selatan akan memberi tekanan besar kepada pakatan itu,” katanya sebagai sebahagian daripada rangkuman pendapat daripada pakar institut itu yang diterbitkan secara dalam talian.
Beijing menuntut sebahagian besar perairan Laut China Selatan, tetapi tuntutannya bertindih dengan Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam, semua anggota ASEAN, serta Taiwan.
Negara-negara yang mempunyai tuntutan bertindih sering mendakwa China melakukan pencerobohan ke atas perairan di zon ekonomi eksklusif mereka.
Manila 'berdebar'
Daripada banyak negara yang mempunyai tuntutan bertindih, perairan dan kapal Filipina mengalami paling banyak ancaman daripada kapal China.
Amerika Syarikat di bawah Trump akan terus menyokong Filipina untuk menentang China, kata Derek Grossman, penganalisis pertahanan kanan di Rand Corp, sebuah badan pemikir Amerika.
Sekiranya Naib Presiden Kamala Harris berjaya mengalahkan Trump dalam pilihan raya, maka pakatan itu akan terus berkembang dan mendalam untuk menentang China di Laut China Selatan, tulis Grossman di X.
"Jika Trump, maka mungkin sama, walaupun lebih banyak mempersoalkan dibangkitkan tentang kegunaan pakatan itu terutamanya perbelanjaan berterusan ke atasnya. Itu akan membuatkan Manila gementar,” tambahnya.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan Indonesia pada perhimpunan untuk mengutuk AS di Monumen Nasional, Jakarta selepas Presiden Donald Trump ketika itu membuat keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, 17 Disember 2017. [Darren Whiteside/Reuters]
BRICS, Gaza ... dan Trump sukar dijangka
Negara-negara Asia Tenggara juga mungkin perlu menilai semula strategi dasar luar mereka dengan pentadbiran Trump yang baharu, kata pakar diplomasi.
Syed Hamid Albar, bekas menteri luar Malaysia berkata beliau percaya Trump akan mudah tersinggung, jadi adalah penting untuk berurusan dengan berhati-hati.
"Malaysia mesti berhati-hati dalam pendekatan dasar luarnya, terutamanya mengenai Israel dan Palestin," katanya.
"Trump tidak mesra dan peramah."
Selain itu, penglibatan Malaysia dengan BRICS "memerlukan Anwar untuk berhati-hati bergerak secara diplomatik, di mana ia boleh merumitkan lagi kedudukan negara," kata Asrul Hadi Abdullah Sani, rakan kongsi di firma penasihat strategik ADA Asia Tenggara kepada BenarNews.
Penganalisis Indonesia, Muradi percaya bahawa Jakarta harus menyokong "forum negara berkuasa sederhana" untuk menangani apa yang dikatakannya akan meningkatkan ketegangan di bawah pentadbiran Trump kali kedua.
“Tanpa sebarang inisiatif, kami berisiko untuk terjebak sama ke dalam persaingan AS-China. Kemasukan kami ke BRICS baru-baru ini sudah meletakkan kami di tengah-tengah kuasa besar ini,” katanya.
Kajian tentang personaliti Trump akan banyak membantu dan Thailand harus melakukannya, kata Dulyapak Preecharush, pakar Asia Tenggara dari Universiti Thammasat di Bangkok.
"Pasukannya mesti memahami prinsip analisis dan psikologinya terhadap pelbagai pendirian," kata Dulyapak kepada BenaNews.
"Ciri istimewa Trump ialah seorang yang sukar dijangka."
Muzliza Mustafa, Minderjeet Kaur dan Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur; Pizaro Gozali Idris di Jakarta dan Nontarat Phaicharoen dan Ruj Chuenban di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.