Asia hantar diplomat tertinggi ke majlis angkat sumpah Trump di tengah kebimbangan isu perdagangan, keselamatan

Donald Trump bincang isu perdagangan dan Taiwan dalam panggilan telefon dengan Presiden China Xi Jinping beberapa hari sebelum angkat sumpah.
Staf RFA
2025.01.21
Asia hantar diplomat tertinggi ke majlis angkat sumpah Trump di tengah kebimbangan isu perdagangan, keselamatan Presiden Donald Trump memberikan reaksi pada perhimpunan kemenangan di Capital One Arena, Washington, 19 Januari 2025.
[Jim Watson/AFP]

Upacara angkat sumpah Presiden Donald Trump pada Isnin dihadiri para pemimpin kanan negara ekonomi kedua dan ketiga terbesar dunia sekali gus mencerminkan kepentingan yang diletakkan oleh China dan Jepun terhadap hubungan baik dengan ekonomi terbesar dunia.

Kembalinya Trump ke Rumah Putih bagi penggal kedua menimbulkan persoalan asas mengenai Asia, terutamanya sejauh mana beliau akan melaksanakan amarannya tentang kenaikan tarif dan komitmen terhadap keselamatan sekutu lama ketika keadaan geopolitik dunia yang semakin berbahaya.

Pasukan Trump telah menjemput Presiden China Xi Jinping ke Washington untuk menghadiri upacara angkat sumpah tersebut namun beliau telah menghantar Naib Presiden Han Zheng bagi mewakilinya.

Jepun pula menghantar Menteri Luar Takeshi Iwaya yang menjadi diplomat tertinggi Jepun pertama menghadiri upacara itu yang kebiasaannya hanya dihadiri oleh duta besar.

Malaysia pula diwakili oleh Nazri Aziz, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang tampil dengan songkok dan sut baju Melayu hitam.

“Saya menghadiri majlis angkat sumpah di Capitol Hill. Ia merupakan amalan biasa untuk duta setiap negara dijemput, bukannya pemimpin negara mereka – walaupun ada pemimpin yang hadir, tetapi tidak semua,” katanya kepada BenarNews.

Dalam pada itu, Xi berbincang dengan Trump dalam panggilan telefon antara mereka pada Jumaat lalu dengan kedua-dua negara menekankan tentang impian masing-masing bagi menyediakan kehidupan lebih baik untuk rakyat, demikian menurut Kementerian Luar China.

“Presiden Xi menyatakan kesediaannya untuk memulakan langkah baru dalam mencapai kemajuan lebih besar membabitkan hubungan China-AS,” kata kenyataan itu mengenai perbincangan tersebut.

“Berdasarkan kepentingan bersama dan ruang kerjasama yang luas, China dan Amerika Syarikat boleh menjadi rakan kongsi dan sahabat bagi menyumbang kepada kejayaan masing-masing, serta memajukan kemakmuran bersama untuk kebaikan kedua-dua negara dan seluruh dunia,” petik kementerian itu daripada Xi.

Meskipun Beijing menunjukkan kesediaannya untuk berunding dengan Trump dan meredakan ancamannya untuk mengenakan tarif 60 peratus ke atas barangan China, kenyataan Trump sebelum majlis angkat sumpah mengenai usaha menguasai Greenland dan Terusan Panama telah mencetuskan spekulasi dalam media sosial China bahawa beliau mungkin bersedia membiarkan China mengambil alih Taiwan yang diperintah secara demokratik.

Dalam perbincangan pada Jumaat, Xi mengulangi penegasannya bahawa isu Taiwan adalah “garisan merah yang tidak boleh dicabar,” demikian menurut media negara itu.

trump-asia2.jpeg
Naib Presiden Amerika Syarikat J.D. Vance (kanan) bersalam dengan Naib Presiden China Han Zheng ketika mereka bertemu di Washington, 19 Januari 2025. [Ihsan Duta Besar China Xie Feng melalui X]

Sementara itu, Naib Presiden China Han ketika bertemu dengan Naib Presiden J.D. Vance, serta pemimpin perniagaan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk di Washington pada Ahad menekankan tentang “kepentingan bersama yang meluas” walaupun terdapat “beberapa perselisihan,” menurut kementerian China.

Delegasi Taiwan yang diketuai oleh Speaker Parlimennya Han Kuo-yu pula tidak dapat menghadiri majlis angkat sumpah itu “disebabkan kekangan ruang” di Rotunda Capitol, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan pada Isnin.

Sekutu lama

Sementara itu, komitmen Amerika Syarikat terhadap keselamatan Jepun dan Korea Selatan yang telah dilaksanakan sejak berdekad lamanya dipersoalkan apabila pada penggal pertama pentadbirannya, Trump meminta dua sekutu lamanya itu menanggung lebih banyak kos bagi penempatan tentera AS di negara-negara tersebut.

Kedua-dua sekutu itu sedang memerhatikan tentang petanda sama ada pentadbiran Trump akan memperjuangkan pakatan serantau seperti perjanjian trilateral antara AS, Jepun, dan Korea Selatan yang dimeterai ketika pentadbiran Biden bagi mengimbangi ancaman China dan Korea Utara atau sebaliknya. 

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi berkata kehadiran Takeshi sebagai Menteri Luar Jepun pertama pada majlis angkat sumpah Presiden AS memberikan petanda bahawa pentadbiran Trump menghargai hubungannya dengan Jepun.

“Saya ingin menggunakan peluang ini untuk membina kepercayaan dengan kukuh,” kata Hayashi kepada pemberita pada Isnin.

“Perikatan Jepun-AS akan terus menjadi asas kepada dasar luar dan keselamatan negara kita.”

Beliau turut mengulangi keperluan untuk mengadakan sidang kemuncak Jepun-AS dalam tempoh masa terdekat.

Pada Ahad, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba berkata beliau sedang menyelaraskan jadual untuk mengadakan sidang kemuncak pertama dengan Trump tanpa menyebutkan bilakah tarikhnya.

“Kita mesti bercakap secara bebas dan memperlihatkan kepentingan negara dari segi peranan yang akan dimainkan oleh Jepun dalam dasar luar termasuk keselamatan, ekonomi dan isu Ukraine,” katanya.

Korea alami perubahan?

Parti pemerintah Korea Selatan, Parti Rakyat Korea menyatakan harapannya agar perikatan dengan AS akan menjadi lebih kukuh di bawah era Trump.

“Saya berharap ini akan menjadi titik perubahan baharu bagi memperkukuh perikatan ROK [Republik Korea]-AS dan keamanan di Semenanjung Korea,” kata Kwon Sung-dong, ketua Dewan Perwakilan Kebangsaan dalam mesej tahniah kepada Trump pada Isnin, merujuk Korea Selatan dengan nama rasminya, Republik Korea.

Semasa penggal pertama pentadbirannnya,Trump mengadakan tiga pusingan perbincangan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Walaupun beliau gagal mencapai kemajuan ketika memujuk Kim untuk meninggalkan program nuklear dan peluru berpandunya, agensi perisikan Korea Selatan meramalkan bahawa Trump mungkin mampu mengorak sedikit langkah ke hadapan sekiranya dapat bertemu sekali lagi dengan pemimpin Korea Utara tersebut.

Dilaporkan oleh Radio Free Asia, perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.