Pemimpin Parti Politik Pemerintah dan Pembangkang Bersatu Sertai Protes
2017.12.08
Kuala Lumpur
Ribuan rakyat Malaysia termasuk pemimpin parti politik pemerintah dan pembangkang serta ahli pertubuhan bukan kerajaan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Jumaat, mengadakan bantahan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengisytihar Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Protes itu yang bermula dengan perarakan beramai-ramai dari beberapa buah masjid berhampiran sejurus selepas Solat Jumaat, iaitu kira-kira jam 1.45pm, menyaksikan patung replika dan gambar Trump dibakar dan dikoyakkan di hadapan kedutaan yang dikawal ketat oleh ratusan anggota polis Malaysia.
Antara pemimpin yang dilihat turut serta di dalam demonstrasi itu ialah Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti yang memerintah Malaysia dan Ketua Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Khalil Abdul Hadi, serta wakil dari parti-parti lain dan pertubuhan Islam.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan semasa perhimpunan itu berkata bahawa pengumuman Trump mengiktiraf kota suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel adalah sesuatu yang "tidak boleh diterima" dan "tidak sah" (illegal).
"Baitulmuqaddis adalah tanah yang dijajah. Anda tidak sepatutnya menjejakkan kaki ke Baitulmuqaddis dan menjadikan ia ibu negara Israel... Percayalah, ini hanya satu permulaan," kata Khairy.
Walaupun, gabungan parti-parti pembangkang dari Pakatan Harapan tidak menyertai himpunan itu secara rasmi, tetapi kelihatan beberapa pemimpin gabungan tersebut turut serta dengan menghantar memorandum bantahan sebelum solat Jumaat.
Antara pemimpin Pakatan Harapan yang kelihatan adalah Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu, Ahli Parti Keadilan Rakyat [PKR] Saifuddin Nasution dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kumpulan lebih 50 NGO Islam diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut menyerahkan memorandum bantahan pada pagi Jumaat itu.
Dua ditahan
Polis Malaysia menganggarkan kira-kira 1,500 orang menyertai perhimpunan berkenaan dengan pihak berkuasa negara itu bertindak membuka kertas siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi menyiasat beberapa pelanggaran undang-undang yang berlaku semasa protes berlangsung.
Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah undang-undang baru di Malaysia yang memperuntukkan kebebasan bersyarat bagi menjalankan dan menyertai protes atau demonstrasi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Roy Suhaimi Sarif memberitahu BeritaBenar bahawa mereka akan memanggil beberapa penganjur himpunan yang diadakan tanpa sebarang notis kepada polis terlebih dahulu, seperti yang diperuntukkan di bawah akta terbabit.
"Kita akan siasat kes ini. Mengikut undang-undang, polis boleh mendenda penganjur kerana tidak memberi notis kepada pihak berkuasa.
"Polis akan memanggil wakil pertubuhan yang menganjurkan protes berkenaan terlebih dahulu untuk diambil keterangan dan kenyataan,” tambah Roy Suhaimi.
Roy berkata polis juga menahan dua lelaki semasa himpunan itu kerana gagal menurut arahan polis, tetapi mereka dibebaskan tidak lama kemudian.
Difahamkan antara perlanggaran undang-undang ketika himpunan terbabit termasuk membawa kanak-kanak, melanggar sekatan polis dan membakar patung.
Trump pada Rabu mengisytiharkan secara rasminya Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan Amerika Syarikat akan memindahkan kedutaannya ke kota suci umat Islam itu dari Tel Aviv.
Pengumumannya itu mengejutkan dunia Islam yang telah sekian lama memperjuangkan isu Palestin, dan dianggap akan menjejaskan usaha mendapatkan keamanaan di rantau terbabit selain berpotensi mencetuskan ketegangan.
Pada Khamis, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa bercakap mengenai pengumuman Trump itu, semasa menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan parti yang memerintah berkata, "Minggu ini, kita terkejut mendengar rancangan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf satu daripada tiga kota suci untuk umat Islam ... sebagai ibu negara Israel. Saya yakin, kita sebagai umat Islam tidak boleh menerima ini,” .
"Kita mesti bersuara dengan jelas supaya dunia mendengar suara umat Islam di Malaysia, bahawa kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.”
Kerajaan Najib turut mengeluarkan kenyataan mengenai pengumuman Amerika Syarikat itu.
"Ia akan memberi kesan amat buruk bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan, tetapi turut menyemarakkan sentimen negatif sekali gus semakin menyukarkan usaha memerangi keganasan,” kata kenyataan itu. Ia menambah bahawa Malaysia mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai teras kepada perjuangan rakyat Palestin.
"Sebarang percubaan untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, menubuhkan atau memindahkan sebarang misi diplomatik ke kota itu, dianggap sebagai pencerobohan bukan sahaja terhadap umat Islam dan Islam tetapi juga melanggar hak-hak umat Islam dan Kristian," kata kenyataan itu.