TUDM Lancar Peluru Berpandu Hidup Semasa Latihan di Sabah, Laut China Selatan

Hadi Azmi
2019.07.26
Kuala Lumpur, Malaysia
190726-MY-RMAF-Missiles1000.jpg Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beraksi semasa mengambil bahagian dalam latihan mengisi minyak di ruang udara Sabah, Malaysia, 25 Julai 2019.
[Ehsan TUDM]

Tentera Udara Diraja Malaysia [TUDM] berkata ia mengadakan latihan melancarkan peluru berpandu hidup di negeri Sabah dan perairan sekitarnya, termasuk Laut China Selatan, beberapa hari selepas tentera laut melakukan latihan serupa menyusuli uji tembak sekurang-kurangnya satu peluru berpandu oleh Beijing di perairan yang menjadi pertikaian bulan lepas.

Latihan 19 hari itu bermula pada 23 Julai dan akan berlangsung sehingga 10 Ogos di negeri berkenaan yang terletak di Kepulauan Borneo, kata TUDM dalam siaran medianya minggu ini.

TUDM "sedang menjalankan latihan tembakan misil udara ke udara dan tembakan udara ke bumi di Lapang Sasar Kota Belud," menurut pasukan itu pada Khamis. Kota Belud adalah sebuah daerah di Sabah yang bersempadan dengan Laut China Selatan.

Latihan itu "melibatkan ruang udara Sabah dan perairan sekitarnya," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, latihan tersebut adalah "untuk memastikan kesiagaan aset-aset dan persenjataan TUDM, terutamanya apabila melindungi kedaulatan ruang udara negara."

Latihan ini menguji kecekapan dan keupayaan juruterbang dalam mengendalikan pesawat dan melancarkan pelbagai persenjataan tetap ke sasaran, kata kenyataan rasmi sayap udara itu.

Kenyataan media itu tidak menyebut bila misil tersebut akan dilancarkan semasa latihan tersebut. Pegawai tentera udara juga enggan mengesahkan pada Jumaat sama ada peluru berpandu telah dilancarkan semasa latihan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cemas dan risau sekiranya mereka melihat pesawat TUDM terbang rendah serta mendengar bunyi letupan di beberapa kawasan sekitar ruang udara Sabah," tambah kenyataan itu lagi.

Latihan itu melibatkan 232 kakitangan serta menampilkan juruterbang jet pejuang Rusia dan Amerika Syarikat. Pada Khamis, juruterbang melepaskan bom graviti dari jet buatan Rusia pada sasaran di lapang sasar udara di Kota Belud, kata sumber tentera udara kepada BeritaBenar.

Para pegawai berkata Tentera Laut Diraja Malaysia [TLDM] dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut sama membantu dalam latihan di sekitar Sabah untuk memastikan zon sasaran selamat. Latihan serupa turut diadakan lima tahun lepas.

“Ia bukan latihan tahunan. Tentera Udara mengadakannya dari semasa ke semasa mengikut kehendak pasukan," kata jurucakap TUDM.

Semasa latihan berasingan yang diadakan di Laut China Selatan dari 1 hingga 18 Julai lepas, TLDM telah menembak peluru berpandu terarah dari sebuah kapal dan sebuah helikopter, umum Laksamana TLDM pada Selasa. Latihan itu diadakan di Kuantan dalam negeri Pahang di Semenanjung Malaysia, katanya.

Tembakan peluru berpandu itu adalah sebahagian daripada latihan lebih besar di laluan perairan yang menjadi pertikaian dan dilaksanakan semula setelah dihentikan selama beberapa tahun berikutan faktor kos, kata Panglima TLDM Mohd Reza Mohd Sany kepada media.

"Kali terakhir peluru berpandu ditembak ialah pada 2014. Selepas lima tahun, ia memberi kami peluang untuk menguji kesiapsiagaan peluru berpandu terarah kami, platform peluru berpandu serta anggota yang ditugaskan," katanya kepada pemberita sambil menambah bahawa peluru berpandu terbabit berjaya mengenai sasaran.

Ujian itu menyusuli pengumuman kerajaan China pada Jun bahawa ia akan mengadakan latihan ketenteraan selama dua hari di Laut China Selatan. Menteri pertahanannya memberi amaran bahawa China akan "mengambil tindakan tegas " bagi mempertahan tuntutan Beijing ke atas laluan perairan itu.

Para pegawai Amerika Syarikat mendakwa China telah melakukan ujian peluru berpandu dari struktur buatan manusia berhampiran gugusan Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan di Laut China Selatan pada akhir Jun lalu.

"Pentagon sedar tentang pelancaran peluru berpandu China dari struktur buatan manusia di Laut China Selatan berhampiran Kepulauan Spratly," jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat Lt Kol David Eastburn dipetik sebagai berkata.

China menuntut sebahagian besar perairan yang kaya mineral itu, yang menjadi laluan utama perkapalan antarabangsa di dunia. Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam dan Taiwan turut membuat tuntutan bertindih ke atas wilayah itu.

Latihan penting, kata penganalisis

Aruna Gopinath, penganalisis pertahanan Malaysia, berkata adalah penting bagi Malaysia mengadakan latihan peluru berpandu bagi memastikan tenteranya setanding dengan pihak di rantau tersebut.

“TUDM perlu dibekalkan dengan  pengetahuan supaya kita mampu menangani sebarang krisis. Kita perlu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan dari luar,” kata beliau yang sebelum ini berkhidmat dengan Pusat Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sebelum bersara.

Beliau berkata tuntutan bertindih ke atas perairan Sabah dan berkongsi sempadan maritim dengan wilayah Mindanao Filipina yang bergolak, seharusnya menjadi sebab pasukan pertahanan negara sentiasa berwaspada untuk berdepan sebarang keadaan.

“Lihat apa yang berlaku di Lahad Datu pada Feb 2013. Kita tidak menjangkakan wilayah kita diceroboh gerila Filipina dan mengambil mudah perkara itu. Kita perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang jenis pencerobohan,” kata Aruna.

Sekumpulan lebih  200 lelaki bersenjata yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Diraja Sulu  dan Broneo Utara telah belayar dengan bot flotila yang usang ke Lahad Datu dari sebuah pulau di Filipina untuk menceroboh sebahagian besar pantai di Sabah selama enam minggu kerana ingin menuntut hak Kesultanan Sulu, yang mengikut sejarah pernah memerintah Sabah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.