Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia minta Malaysia buka pusat tahanan imigresen
2024.06.04
Kuala Lumpur
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia pada Selasa berkata Malaysia perlu mengembalikan akses ke pusat tahanan imigresen kepada agensi pelarian PBB dan yang lain supaya mereka boleh menilai dakwaan ‘keadaan yang teruk serta layanan yang buruk.'
Bercakap kepada pemberita pada akhir lawatan tiga hari ke Malaysia di mana beliau juga bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Volker Türk berkata negara itu perlu mencari alternatif kepada penahanan imigresen, khususnya terhadap kanak-kanak dan kumpulan yang berada dalam keadaan lemah.
“Adalah penting bagi kerajaan untuk mengguna pakai sistem perlindungan pelarian yang komprehensif, mengukuhkan status undang-undang pelarian dan membolehkan mereka memiliki akses kepada pekerjaan, pendidikan formal, kesihatan dan perkhidmatan penting lain,” katanya pada sidang media di pejabat PBB di Putrajaya.
“Saya mendengar laporan yang membimbangkan daripada beberapa rakan dialog mengenai keadaan yang teruk dan layanan buruk di pusat tahanan yang perlu disiasat.”
Pada Mac, Shayna Bauchner, seorang penyelidik Asia di Human Rights Watch, berkata pihak berkuasa Malaysia menganggap pendatang sebagai penjenayah dan menahan mereka sewenang-wenangnya untuk tempoh yang lama tanpa akses kepada dunia luar.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) telah dinafikan akses ke depoh imigresen Malaysia sejak Ogos 2019.
Pada September 2023, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memperkenalkan program untuk memindahkan kanak-kanak ke pusat baharu di mana mereka akan berada di bawah pengawasan pegawai imigresen dan pihak berkuasa. Malah pengkritik telah menyifatkan kemudahan baharu itu - yang dikatakan sebagai tempat perlindungan mesra kanak-kanak – dilihat sebagai 'sangkar emas.'
Perlindungan pelarian
Türk telah menggesa agar diwujudkan pelan perlindungan pelarian yang komprehensif untuk menamatkan penjenayahan terhadap pendatang dan pelarian - untuk menawarkan mereka akses yang lebih baik kepada kesihatan, pendidikan dan bantuan undang-undang apabila "isu perniagaan dan hak asasi manusia bertembung.
Beliau memberi amaran bahawa menafikan hak asasi manusia boleh menjejaskan pelaburan asing di negara ini.
"Isu perniagaan dan hak asasi manusia adalah sebahagian daripada perbincangan kami kerana kami tahu bahawa apabila ia berkaitan dengan amalan perniagaan, jika amalan perniagaan tidak berorientasikan hak asasi manusia, ia akan membahayakan [pelaburan asing] pada masa hadapan," kata Türk.
Katanya beliau telah mendengar daripada orang ramai tentang keinginan untuk memastikan bahawa kemajuan itu adalah berasaskan hak asasi manusia.
“Apa yang sebenarnya [Malaysia] perlukan ialah melihat secara keseluruhan sistem migrasi daripada perspektif hak asasi manusia kerana ia membabitkan isu standard buruh [yang] membabitkan isu eksploitasi,” katanya.
Hampir 200,000 pelarian di Malaysia tidak dibenarkan bekerja secara sah – dan ramai yang hidup dalam keadaan yang begitu daif manakala anak-anak mereka sering dinafikan akses kepada pendidikan.
Oleh kerana Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, golongan itu dilihat sebagai pendatang tanpa izin dan perlu membayar kadar harga bagi warga asing yang lebih tinggi untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.
Sepanjang lawatan kerjanya, Türk bertemu dengan ahli kumpulan masyarakat sivil, komuniti pendatang dan pelarian bersama-sama pegawai kerajaan. Selepas meninggalkan Malaysia, pegawai PBB itu telah ke Thailand dan Laos.
Keganasan di Myanmar
Semasa pertemuan pada Isnin, Türk berkata beliau dan Anwar telah membincangkan isu jawatan pengerusi bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang akan disandang Malaysia pada 2025 - sambil menambah beliau menjangkakan rundingan berterusan mengenai satu daripada negara anggota.
“Sudah tentu Myanmar yang menjadi inti pati perbincangan kerana Myanmar adalah negara anggota ASEAN. Bagaimana untuk menanganinya apabila kita melihat bahawa keadaan semakin merosot ketika ini, akan menjadi sesuatu yang sangat penting," kata beliau.
ASEAN telah cuba membantu memulihkan demokrasi dan keamanan di Myanmar selepas rampasan kuasa tentera Februari 2021, tetapi junta, yang diketuai oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, sebahagian besarnya telah menolak usaha blok serantau itu.
Dalam pada itu, aktivis pro-demokrasi telah membentuk kumpulan militia untuk memerangi tentera dengan kerjasama pemberontak etnik minoriti, tetapi keganasan telah menyebabkan kira-kira 3 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut anggaran PBB.
"Saya akan membincangkan perkara ini dengan Laos, Pengerusi semasa ASEAN, tetapi adalah penting bagi Malaysia untuk bersedia mengambil alih jawatan itu kelak," tambah Türk lagi.
Lilianne Fan, Pengarah Yayasan Geutanyoe, sebuah NGO yang bekerjasama dengan pelarian dan komuniti rentan di Asia Tenggara, berkata pertemuan Türk dengan pelarian Myanmar mengetengahkan keseriusan keadaan di sana.
"Ia khususnya berhubung peningkatan ketara keganasan terhadap orang awam termasuk kanak-kanak, wanita, warga emas serta pelarian, dan kemerosotan akses kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas akibat konflik di kebanyakan kawasan di negara itu," kata Fan.
“Türk memantau situasi di sana dengan teliti dan juga sangat prihatin terhadap kesan limpahan di rantau ini. Itulah sebabnya adalah penting untuk menggesa semua pihak di Myanmar agar menghormati Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa serta melindungi orang awam, dan bagi negara-negara di rantau ini untuk bekerjasama membangunkan rangka kerja serantau untuk perlindungan pelarian.”
Pada Isnin, Kementerian Luar Malaysia memaklumkan lawatan itu adalah sebahagian daripada penglibatan berterusan Malaysia dengan PBB untuk meningkatkan kesedaran hak asasi manusia.
James Bawi Thang Bik daripada Pertubuhan Etnik Myanmar, yang bertemu dengan Türk pada Isnin, melahirkan kebimbangan mengenai pendekatan semasa pihak berkuasa imigresen Malaysia.
“Mengapa kerajaan Malaysia menafikan akses UNHCR ke pusat tahanan?” katanya kepada BenarNews.
“Sebelum 2019, UNHCR mempunyai akses kepada kem-kem tahanan dan boleh mendapatkan dokumentasi yang diperlukan untuk pembebasan mereka. Kini, tanpa akses itu, pelarian yang dihantar pulang ke Myanmar selalunya terpaksa menghadapi bahaya yang lebih besar.”
Anggota masyarakat Chin di Malaysia, yang berjumlah kira-kira 80,000, orang telah terjejas teruk, kata Thang Bik.
Penglibatan masyarakat sivil
Sementara itu, gabungan 60 kumpulan masyarakat sivil yang diketuai pertubuhan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pusat KOMAS, menyuarakan kebimbangan semasa pertemuan dengan Türk.
Isu utama yang dibangkitkan oleh 22 kumpulan yang menghadiri mesyuarat itu termasuk kebimbangan mengenai apa yang mereka sifatkan sebagai pindaan regresif kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menghapuskan hak kewarganegaraan Malaysia bagi kanak-kanak yang dilahirkan kepada pemastautin tetap.
Gabungan itu juga memberi penekanan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) – undang-undang membenarkan penahanan tanpa bicara – yang menyaksikan peningkatan ketara dalam kes yang dilaporkan pada 2023.
Ahli menyatakan kebimbangan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digunakan tahun lepas bagi mengharamkan jam tangan bertema LGBTQ.
Perkahwinan bawah umur masih menjadi pertikaian di Malaysia. Walaupun aktivis mendesak agar umur perkahwinan yang sah ditetapkan pada 18 tahun, undang-undang keluarga Islam membenarkan perkahwinan bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun dengan kelulusan Mahkamah Syariah dan undang-undang sivil membenarkan gadis berumur 16 dan 17 tahun untuk berkahwin dengan kelulusan ketua menteri.
Aktivis Adrian Pereira, ahli Inisiatif Utara-Selatan, sebuah NGO yang memberi tumpuan kepada isu pendatang, buruh dan pelarian, berkata para hadirin melihat pertemuan itu sebagai peluang bagi PBB untuk lebih memahami landskap hak asasi manusia Malaysia.
"Cabaran selepas lawatan akan menjadi penting kepada pasukan negara PBB," kata Adrian kepada BenarNews. "Sekarang, bagaimana mereka boleh mengukur dan mendesak pembaharuan berasaskan hak dengan berkesan."