Lima Pemandu Teksi Ditahan Selepas Adakan Tunjuk Perasaan
2016.03.29
Kuala Lumpur
Kekecohan berlaku di ibu negara Malaysia berikutan satu tunjuk perasaan oleh lebih 300 orang pemandu teksi di Kuala Lumpur yang menghalang lalu-lintas sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk di sekitar kawasan ibu kota.
Para pemandu teksi itu menunjuk perasaan akibat hilang sabar terhadap pemandu kereta persendirian Uber dan GrabCar yang dikatakan mengganggu sumber pendapatan mereka.
Demonstrasi itu menyebabkan Jalan Ampang ke Jalan Bukit Bintang terpaksa dilencongkan lebih dua jam oleh pihak berkuasa.
Timbalan Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Mohd Hussain mendakwa demonstrasi merupakan tanda protes terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang gagal mengekang aktiviti pemandu Uber dan GrabCar yang dilihat semakin berleluasa.
“Kami bukan nak demo saja-saja, kami buat ini sebab kami sudah terseksa kerana pemandu Uber dan GrabCar telah mengacau periuk nasi kami. Sedangkan mereka tidak ada lesen, tapi SPAD nampaknya macam tutup mata, kami nak makan apa?” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Barisan lebih 100 buah kenderaan teksi pemandu-pemandu teksi di bahu jalan sepanjang Jalan Bukit Bintang telah menghalang perjalanan pengguna lain sehingga menyebabkan Polis mengambil tindakan mengarahkan mereka bersurai.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata, lima pemandu teksi ditahan kerana enggan berundur dan menghalang tugas polis, dengan dua buah teksi turut dirampas.
"Pemandu teksi berkenaan telah diminta untuk bersurai tetapi masih enggan berbuat demikian dan menghalang polis daripada menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan.
Tindakan terburu-buru
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Abdul Aziz Kaprawi berkata, pemandu teksi yang melancarkan tunjuk perasaan itu tidak seharusnya melakukan tindakan drastik dan terburu-buru itu sehingga menyusahkan orang awam.
“Kementerian sedang menjalankan kajian dan berhubung dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.
SPAD di dalam satu kenyataan media mengatakan yang jabatan itu amat sensitif terhadap isu-isu yang dihadapi oleh industri teksi serta sedang berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai untuk meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi.