Serangan Bom Bangkok: Malaysia Tangkap Lapan Suspek
2015.09.23
Pihak berkuasa di Malaysia pada Rabu mengumumkan penahanan lapan suspek termasuk empat warga asing yang mereka kenal pasti sebagai Uighur, dipercayai mempunyai kaitan dengan pengeboman maut di sebuah kuil Hindu di Bangkok bulan lalu.
Penangkapan itu dibuat pada minggu lalu di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan di negeri pantai timur Kelantan, yang bersempadan dengan Thailand, kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.
Empat daripada suspek itu adalah Uighur dan empat yang lain ialah rakyat Malaysia yang disyaki membantu menyeludup empat warga asing berkenaan ke Malaysia dari Thailand selepas serangan itu, kata Noor Rashid.
"Polis mengesyaki empat warga asing itu mungkin terlibat dalam serangan bom di Bangkok berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh polis Thailand," katanya kepada pemberita.
"Tetapi ia tidak bermakna mereka terlibat dalam kejadian itu. Bagaimanapun, mereka akan ditahan untuk siasatan," tambahnya.
"Setakat ini, tidak ada bukti dan tiada pengakuan dirakamkan daripada mereka," kata Noor Rashid.
"Empat Uighur itu dipercayai sedang menunggu untuk diseludup keluar dari negara ini oleh empat penduduk tempatan itu, yang merupakan anggota sindiket pemerdagangan manusia di Malaysia, '' katanya.
Uighur adalah minoriti Islam berbahasa Turki di China, yang kebanyakannya tinggal di kawasan barat Xinjiang yang kini bergolak. Uighur juga terdapat di seluruh Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan, dan ramai daripada mereka tinggal di Turki.
Penangkapan itu menjadikan sejumlah 11 orang telah ditahan di Malaysia setakat ini sebagai sebahagian daripada siasatan antarabangsa terhadap pengeboman pengganas paling buruk di Thailand yang mengorbankan 20 orang - termasuk lima rakyat Malaysia - dan mencederakan 120 yang lain di Kuil Erawan pada 17 Ogos.
Pada 17 September, pegawai Malaysia mengumumkan mengenai penangkapan dua rakyat Malaysia dan seorang warga Pakistan yang berkaitan dengan penyiasatan kes itu, dan menahan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Setakat ini, pihak berkuasa Thailand telah menahan dua suspek.
‘Bukan orang dikehendaki’
Serangan itu berlaku semasa waktu puncak pada petang 17 Ogos berhampiran persimpangan Rajaprasong di pusat bandar Bangkok. Beberapa detik sebelum bom itu meletup, sebuah kamera keselamatan merakamkan seorang lelaki berbaju kuning meninggalkan satu beg di kuil itu, yang popular dalam kalangan pelancong.
Polis Thailand percaya lelaki itu adalah pengebom berkenaan. Mereka turut mengenal pasti lelaki lain sebagai dalang serangan itu dan menamakannya sebagai pemegang pasport China Abu Dustar Abdulrahman atau ‘Izan’.
Sebelum ini, pihak berkuasa Thailand berkata, kedua-dua lelaki itu telah melarikan dari negara itu dan mereka masih bebas.
Pada Rabu di Bangkok, jurucakap Polis Negara Thailand Leftenan Jeneral Prawut Thavornsir berkata, pengebom yang disyaki itu bukanlah antara suspek yang ditangkap di Kuala Lumpur, menurut Associated Press.
"Ia bukan orang yang kami kehendaki," lapor AP yang memetik Prawut sebagai berkata.