Perhimpunan pertama UMNO selepas pilihan raya tentukan hala tuju bersama kerajaan
2023.01.12
Kuala Lumpur
Corak hubungan masa hadapan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bersama kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim bakal ditentukan semasa Perhimpunan Agung parti itu yang sedang berlangsung dan pertama kali diadakan selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu, kata para penganalisis.
Semua mata kini tertumpu ke arah Presidennya Ahmad Zahid Hamidi, yang dijangka memberikan penjelasan mengenai keputusan membawa UMNO bekerjasama dengan Anwar, yang sebelum ini dianggap sebagai musuh ketat parti itu, iaitu semasa Anwar mencari sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.
Menurut seorang penganalisis, melihat kepada cara kebiasaan persidangan itu dikendalikan, di mana para perwakilan dan jurucakap dipilih oleh parti, beliau percaya bahawa persidangan kali ini akan terus memihak kepada Zahid dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang memutuskan untuk bersama dengan Pakatan Harapan pimpinan Anwar dan parti komponennya Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Secara tradisinya, PAU (Perhimpunan Agong Umno) adalah satu mesyuarat yang dikoreografikan. Jadi, ia bukanlah satu platform yang terbaik untuk menyukat sokongan sebenar para perwakilan terhadap kepimpinan parti.
“Saya rasa mereka yang diberikan peluang untuk bercakap berkemungkinan besar akan menyatakan sokongan mereka kepada pucuk pimpinan dan akan menghalakan kemarahan dan kritikan mereka ke arah Bersatu dan PAS," kata Tunku Mohar Mokhtar, seorang pakar politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.
Bersatu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia – pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan parti berteraskan Islam PAS – Parti Islam Se-Malaysia, adalah parti-parti komponen dalam gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).
PN adalah satu-satunya blok politik di Malaysia yang bukan sebahagian daripada kerajaan pimpinan Anwar.
Tambah Tunku Mohar, beliau juga tidak menjangkakan ada mana-mana perwakilan yang akan menyeru Zahid supaya meletakkan jawatan beliau dalam ucapan atau debat oleh mereka.
"Tradisi UMNO kebiasannya adalah berkisar kepada menghormati kepimpinan mereka. Beliau (Zahid) mencadangkan bahawa keputusan UMNO (untuk bekerjasama dengan PH) adalah demi menghormati titah raja.
“Tetapi melihat kembali pada episod yang berlaku selepas berakhirnya pilihan raya umum, Zahid sebenarnya kelihatan lebih cenderung ke arah menyokong Anwar walaupun sebelum titah diraja dikeluarkan.
“Mohamad Hasan pun telah meletakkan naratif rasmi dalam perhimpunan ini," kata Tunku Mohar, merujuk kepada ucapan Timbalan Presiden UMNO itu ketika merasmikan mesyuarat agung sayap-sayap parti pada malam Rabu.
PRU-15 pada November lepas menyaksikan kejatuhan UMNO dan gabungan pimpinannya Barisan Nasional, selepas hanya berjaya memenangi 30 daripada keseluruhan 178 kerusi yang ditandingi. Ia adalah kekalahan kedua UMNO selepas ia hilang kuasa buat pertama kali dalam pilihan raya umum pada 2018.
Selepas keputusan PRU-15 yang menyaksikan tidak ada satu parti pun berjaya mendapat majoriti jelas daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen yang sekaligus menyebabkan situasi Parlimen tergantung - Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah terpaksa campur tangan dan mengarahkan supaya parti-parti politik membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan.
Penjelasan timbalan presiden
Mohamad Hasan yang merupakan timbalan kepada Zahid dalam UMNO semasa berucap pada Rabu telah menjelaskan kepada para perwakilan mengenai sebab mengapa bekerjasama dengan PH adalah satu pilihan yang lebih baik buat mereka berbanding dengan mengadakan kerjasama dengan PN.
"Pokoknya, UMNO tidak menyertai PH, ataupun membelakangkan PN. Kita memilih, mengutamakan Malaysia. UMNO hanya menyertai, Kerajaan Perpaduan yang diusulkan oleh Yang di-Pertuan Agung.
"Bagaimanakah masa depan UMNO dalam segala perkembangan mutakhir ini? Sejujurnya, saya tiada jawapan. Semuanya adalah sangat subjektif.
"Kita perlu mengembalikan semula, Malaysia ke jalan sederhana. Malaysia mesti kembali ke jalan sederhana. Kita tidak boleh membiarkan, masa depan Malaysia dicorakkan oleh the ‘rightist’ atau ‘the leftist’," kata Mohamad kepada para perwakilan.
Beliau menambah, bekerjasama dengan PH juga dilihat sebagai pilihan yang lebih selamat berbanding PN.
"Mereka [Pakatan Harapan] tidak bermuka-muka dan berpura-pura, serta setiakawan macam kawan kita dulu. Mereka tak pura-pura. Kita pun tidak perlu berpura-pura.
"Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan dan membentuk kerajaan perpaduan.
"Tetapi jika kita dengan PN, kita hanyalah pemain ketiga, yang berkongsi kepentingan demografi yang sama. Ini akan menyukarkan UMNO mengurus segala perbezaan di masa akan datang," katanya lagi.
Bagaimanapun, ekoran kekalahan teruk tersebut, parti-parti komponen Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC telah meminta Zahid yang memimpin gabungan itu sejak 2018 supaya meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu mengambil alih dan membawa mereka ke hadapan.
Bagaimanapun, semua kecaman dan kritikan supaya Zahid meletakkan jawatan dan mengambil tanggungjawab atas kekalahan UMNO terhenti selepas Barisan Nasional pimpinannya menyertai kerajaan perpaduan itu.
Sokongan akar umbi
Azmil Mohd Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata situasi itu disebabkan Zahid kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri serta portfolio Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
"Ia berkemungkinan besar kerana Zahid kini memegang jawatan Kabinet yang mampu menyalurkan dana besar serta projek kepada kawasan dikuasai UMNO, dan ini membantu untuk meredakan tentangan terhadap kepimpinannya," kata Azmil kepada BenarNews.
"Ini adalah sebab utama mengapa beliau dilantik untuk memegang portfolio tersebut. Ia menjadi jambatan kepada Zahid dan para penyokong UMNO yang kebanyakannya berada di kawasan pedalaman dan separa pedalaman."
Azmil berkata terlalu banyak faedah didapati UMNO dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan dan kerjasama politik tersebut.
Seorang lagi penganalisis turut bersetuju dengan Azmil dan berkata bahawa Zahid selaku timbalan perdana menteri akan dapat memanfaatkan kedudukan itu untuk meraih kembali sokongan akar umbi.
"Saya percaya kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan akan diteruskan, dan ia akan mengukuhkan sokongan daripada akar umbi. Zahid mempunyai pengaruh besar dengan berada dalam Kabinet bagi mendapat sokongan akar umbi sebagai presiden UMNO," kata Azmi Hassan, felo kanan Akademi Kajian Strategik Nusantara, kepada BenarNews.
Mengenai persoalan jika perhimpunan agung kali ini akan memutuskan sama ada jawatan-jawatan utama dalam UMNO akan dipertandingkan dalam pemilihan parti yang akan datang, para penganalisis percaya sebarang keputusan tidak akan mengancam kedudukan Zahid sebagai presiden parti.
Oh Ei Sun dari Institut Kajian Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Zahid berkemungkinan akan menang besar dalam pemilihan parti kerana beliau tidak mempunyai lawan yang benar-benar kuat serta melihat daripada sokongan yang didapatinya dalam mesyuarat-mesyuarat UMNO mutakhir ini.
"Satu lagi, dengan UMNO kini berada dalam Kerajaan Perpaduan, golongan akar umbi akan mendapat manfaat politik paling besar," kata Oh kepada BenarNews.
Jawatan tidak dipertandingkan
Ketua sayap Wanita UMNO, Noraini Ahmad, dalam ucapan dasar beliau di persidangan sayap itu pada Khamis menyeru supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan.
Mohamad juga telah menyuarakan sentimen serupa pada malam sebelum itu, dan menyatakan bahawa beliau gusar mengenai kemungkinan perpecahan yang akan berlaku dalam parti sekiranya jawatan-jawatan utama dalam UMNO dipertandingkan, terutama sekali dengan situasi UMNO yang telah "jatuh terduduk" dalam pilihan raya baru-baru ini.
UMNO mesti mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei depan, iaitu enam bulan selepas pilihan raya umum diadakan. Akan tetapi, Majlis Kerja Tertinggi parti itu masih belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi dalam UMNO akan dipertandingkan.
Seorang pemimpin akar umbi Jamal Md Yunos, yang mengetuai UMNO Bahagian Sungai Besar di negeri Selangor, dalam satu kenyataan berkata beliau setuju dengan timbalan presiden UMNO bahawa jawatan-jawatan utama dalam parti itu patut dibiarkan tanpa pertandingan kerana ia mungkin menyebabkan perpecahan dalaman.
Kenyataan Jamal itu dibuat selepas bekas ketua pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan bahawa dua jawatan terpenting parti itu mesti dibuka untuk pertandingan.
"Hentikan kegilaan ini. Presiden adalah seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar bagi jawatan presiden UMNO. Berikan ruang untuk pertandingan. Jangan bunuh demokrasi dalam UMNO," kata Khairy dalam satu muatnaik di Instagram pada Khamis.
Dalam pemilihan parti pada 2018, Zahid dan Khairy telah berlawan untuk jawatan presiden, dengan Zahid mendapat 99 undi manakala Khairy pula 61. Seorang lagi calon, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah pula hanya mendapat 30 undi perwakilan.
Lebih 5,000 perwakilan UMNO menyertai Perhimpunan Agung parti itu yang berlangsung selama empat hari sehingga Sabtu ini.